Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sukar kekalkan arkitek muda yang tinggalkan firma untuk gaji lebih tinggi, masa bekerja lebih baik

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mengekalkan arkitek lebih sukar dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat pasaran buruh yang ketat dan pekerja lebih muda meninggalkan syarikat untuk gaji dan peluang yang lebih baik, menurut firma-firma.

"Budaya kerja yang tidak sihat" di seluruh industri, di mana pelanggan dalam sektor privet mahupun swasta mengharapkan bahawa para arkitek dan perunding harus sentiasa dalam keadaan tunggu sedia sepanjang 24 jam, menyebabkan kakitangan meninggalkan firma, kata rakan pengasas MKPL Architects, Siew Man Kok.

Tugas seorang arkitek juga "rumit", tambah beliau.

"Bagi arkitek muda, mereka ada jangkaan tertentu mengenai kehidupan bekerja untuk diri mereka," kata Encik Siew kepada Mediacorp.

"Seperti saya suatu masa dahulu, semasa saya baru tamat pengajian, kami ingin menggunakan rekaan dan kreativiti kami secara langsung apabila sudah mula bekerja. Ini menjadi cabaran bagi kebanyakan mereka bergantung kepada jenis firma yang mereka ceburi."

Ketua Pegawai Eksekutif DP Architects, Seah Chee Huang memberitahu Mediacorp bahawa isu mengekalkan bakat "adalah perkara nyata" yang dihadapi oleh sektor dan firmanya "buat sekian lama".

Kehilangan bakat yang berpotensi merupakan "isu yang besar" dari sudut pertubuhan, kata Encik Seah.

Arkitek lebih muda kini ada lebih banyak pilihan, kata beliau. Mereka juga lazimnya ingin berhijrah ke luar negara untuk pekerjaan dan mendapatkan pengalaman dalam projek-projek yang berbeza.

Isu seperti bekerja untuk tempoh yang panjang dan tekanan kerja juga mendorong arkitek muda untuk meninggalkan industri dan menyebabkan persaingan untuk bakat "lebih teruk", kata Encik Seah.

PELUANG LEBIH BESAR, LEBIH KESEIMBANGAN KERJAYA DAN KEHIDUPAN

Untuk mengekalkan bakat, firma harus ada program pembangunan profesional yang kukuh, kata Encik Seah yang juga mantan presiden Institut Arkitek Singapura (SIA).

Ini akan membantu para kakitangan melakar laluan kerjaya mereka dan menyesuaikan bakat mereka dengan projek-projek yang ada.

Pengarah dan Pengasas Forum Architects, Tan Kok Hiang memberitahu Mediacorp bahawa firma beliau "tidak ada masalah" untuk mengekalkan kakitangan sehingga gelombang meletak jawatan berlaku pada pertengahan 2021.

Semasa bekerja dari rumah, kakitangan terutama sekali mereka yang baru sahaja tamat pengajian, kurang berinteraksi dengan kakitangan yang berpangkat lebih tinggi lain.

Untuk mengekalkan bakat dan meningkatkan semangat para pekerja, firma itu membenarkan kakitangan mereka untuk pilih berapa kerap mereka mahu bekerja dari rumah atau dari pejabat, kata Encik Tan.

Firma itu juga sedar bahawa kakitangan inginkan keseimbangan dalam kerjaya dan kehidupan mereka, tambah Encik Tan.

"Kami (cuba) untuk lebih berhati-hati dengan cara kami membahagikan kerja dan tugasan," kata Encik Tan.

Firma Encik Siew juga menyaksikan gelombang peletakan jawatan dalam kalangan para arkitek dan juruteknik ketika pandemik mula pulih.

"Ia berkaitan dengan pasaran buruh yang lebih ketat, saya rasa lebih ramai orang meninggalkan kerja dengan harapan untuk mendapat gaji yang lebih baik," tambah beliau.

Sepanjang pandemik, para arkitek yang bekerja daripada rumah di firma beliau "berasa lebih lega" kerana para pelanggan juga terpaksa menangguhkan beberapa projek, jumlah mesyuarat juga berkurangan dan mereka beralih ke wadah online.

KEMASUKAN PARA PENUNTUT KEKAL STABIL

Firma yang diwawancara oleh Mediacorp menyatakan bahawa memilih bakat sangat sukar.

Mereka turut menyatakan bahawa jumlah penuntut jurusan arkitek yang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana adalah kecil. Ijazah sarjana diperlukan untuk mengamalkan seni bina di Singapura.

"Mereka juga sedar bahawa mereka sudah menghabiskan bertahun-tahun belajar dan apabila mereka mula bekerja, para penuntut merasakan daripada segi kepuasan bekerja, gaji dan tempoh bekerja, ia tidak setanding dengan usaha yang diberikan.

Dalam tinjauan Ogos lalu oleh Institut Arkitek Singapura, hanya tujuh peratus lulusan muda berkata mereka berkemungkinan kekal dalam kerjaya itu dalam jangka panjang.

Kemasukan penuntut program Seni Bina dan Reka Bentuk Lestari dari Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) "kekal stabil" menurut jurucakap universiti itu.

Program tersebut mempunyai "proses pemilihan yang ketat" dan "persekitaran pembelajaran yang kecil". Para penuntut juga akan dibimbing sehingga mereka menamatkan pengajian, kata jurucakap SUTD.

Pengambilan pelajar seni bina dari Universiti Nasional Singapura (NUS) juga "kekal agak stabil selama ini", kata jurucakap Kolej Reka Bentuk dan Kejuruteraan.

Seorang lulusan jurusan tersebut, Chua Sheng Chuan memberitahu Mediacorp bahawa daripada 150 penuntut dalam kohortnya, hanya 20 bekas pelajar kini merupakan arkitek, lima tahun selepas mereka menamatkan pengajian.

Encik Chua yang kini menubuhkan firma pembinaan kayu sendiri, Calvary Carpentry, mengatakan bahawa beliau memutuskan untuk tidak mengambil ijazah sarjananya walaupun sudah menjalani latihan amali di beberapa firma arkitek.

Firma arkitek harus menjadi sebahagian daripada kumpulan yang lebih besar yang mendorong "perubahan yang lebih positif" dalam sektor profesional, kata Encik Seah.

"Masih ada banyak yang perlu kami lakukan untuk membuatkan sektor ini lebih menarik dari segi prospek dan peluang. Gaji yang lebih baik bukan sahaja buat para arkitek yang lebih muda tetapi untuk bakat yang kami ada," tambah beliau.

"Sudah tiba masanya bukan sahaja daripada perspektif firma tetapi dari keseluruhan profesion dan sektor ini untuk terus memandang isu tersebut dengan lebih mendalam dan menyuntik beberapa perubahan positif."
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan