Skip to main content

Singapura

Sukar jadi bebas jika sudah berdekad dalam sistem politik: George Goh

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Jul 2023 08:39PM Dikemas Kini : 27 Jul 2023 11:09PM
SINGAPURA: Sukar bagi seseorang untuk menjadi bebas "semalaman" setelah berkecimpung dalam sistem politik Singapura selama beberapa dekad.

Bakal calon presiden, George Goh Ching Wah, berkata demikian pada Khamis (27 Jul) ketika diminta mengulas tentang mantan Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam.

Semasa melancarkan kempennya secara rasmi pada Rabu (26 Jul), Encik Tharman menegaskan bahawa beliau bebas daripada mana-mana parti politik.

"Jika anda berkhidmat 20 tahun dalam sektor awam... (bermakna) anda sudah cukup lama dalam sistem politik itu. Anda sudah berada di dalamnya selama lebih 20 tahun," kata pengasas peruncit Harvey Norman Ossia berusia 63 tahun itu.

"Jika anda letak jawatan, katakan, selepas sebulan atau dua, kemudian anda isytiharkan anda calon bebas. Bagi saya, saya rasa ia agak sukar. Bagi saya, saya tidak boleh melakukannya."

Pada Khamis (27 Jul), Encik Goh ditemani isterinya, Lysa Sumali, ke acara perusahaan sosial Dignity Kitchen, di mana beliau membantu membungkus makanan buat warga emas.

Beliau mengulangi kepada media tentang kedudukannya yang bebas daripada sebarang afiliasi politik.

"Saya seorang calon bebas, semua orang tahu, kerana saya datang daripada sektor swasta," ujar Encik Goh.

"Saya tidak berkhidmat dalam sebarang pertubuhan yang ada kaitan dengan pemerintah seperti GIC atau MAS... Saya lakukan hal sendiri."

Dalam sidang media pada Rabu (26 Jul), Encik Tharman turut menyebut mantan Presiden Ong Teng Cheong - seorang menteri Kabinet dan juga pengerusi PAP buat sekian lamanya - sebagai contoh seorang calon bebas.

Menurut Encik Tharman, tidak ada yang menganggap mendiang sebagai calon yang masih terikat dengan sektor awam walaupun Encik Ong sememangnya ada kaitan dengan PAP sebelum itu.

Ditanya tentang perkara ini, Encik Goh menyifatkan Encik Ong sebagai seorang "lelaki sangat istimewa" yang arif dalam sektor awam dan swasta.

Beliau akur Encik Ong sudah membangunkan syarikat seni bina Ong & Ong sebelum terjun ke dalam politik, dan beliau faham betapa susahnya untuk "membina sesuatu dari bawah" dalam sektor swasta.

Encik Goh seterusnya berkata bahawa apabila mendiang menjadi Presiden, Encik Ong memahami perlunya menjadi bebas; melakukan semak dan imbang; dan mencari tahu mengenai penyata kedudukan kewangan apabila ia berkaitan rizab negara.

"Tidak ada presiden yang saya lihat sekarang ini adalah seperti dirinya. Tidak ada. Saya tidak melihat yang seterusnya, mampu seperti beliau - seorang usahawan sektor privet, dan pada masa yang sama (mempunyai pengalaman politik)," kata Encik Goh.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita