Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sukar beri baju raya terpakai sebab masalah kebersihan, M³@Geylang Serai beri baju raya baru kepada keluarga memerlukan

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAMediacorp: Sambutan Lebaran kali ini lebih berwarna-warni lagi buat 65 keluarga berpendapatan rendah dengan baju raya baru.

Acara yang dinamakan 'Projek Khas Untukmu' itu dijalankan oleh M³@Geylang Serai dan disokong oleh Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kembangan Chai Chee, Geylang Serai MAEC dan Wisma Geylang Serai pada Ahad (2 April).

"Pada tahun lepas dan tahun 2021 kami adakan Bazar Bestari dianjurkan oleh MudaSG, tetapi baju-baju yang diagihkan adalah baju terpakai. Jadi selepas acara itu, ia sukar untuk membahagikan baju-baju kepada penerima bantuan dan rumah anak yatim kerana masalah kebersihan. Jadi timbul idea untuk mengagihkan baju baru yang ditaja," kata Ketua Projek & Secretariat M³@Geylang Serai, Cik Maria Zahid.
Ketua Projek & Secretariat M³@Geylang Serai, Cik Maria Zahid. (Gambar: Nurfazirah Azman)
Acara itu bertujuan untuk menyepadukan sokongan daripada pelbagai pertubuhan di kawasan Kembangan-Chai Chee dan menghulurkan bantuan untuk menyempurnakan perayaan Hari Raya para penduduk yang tinggal di tujuh blok sewa di kawasan berkenaan.

Cik Maria juga memberitahu BERITAMediacorp bahawa secara purata 220 set baju yang diagihkan itu ditaja oleh 3 butik yang terletak di kawasan Geylang Serai iaitu Begum Bridal, Peniwern dan sebuah lagi butik yang ingin jenamanya dirahsiakan.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada penaja, usaha sukarelawan dan mereka yang menyokong kami dari segi perancangan dan penganjuran. Saya harap penduduk akan rasa gembira dan berharap inisiatif ini dapat dikenang dan dihargai," kata Cik Maria.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
Setiap keluarga dibenarkan untuk mengambil tiga set baju. Antara pilihan yang ditawarkan kepada mereka adalah baju kurung Melayu, kurta dan baju raya buat kanak-kanak.

Turut hadir pada acara tersebut adalah Datuk Bandar CDC Tenggara, Fahmi Aliman.

Beliau memuji inisiatif "Projek Khas Untukmu" itu dan berharap ia dapat diperluaskan lagi ke seluruh Singapura pada masa akan datang.

"Saya rasa ini satu projek yang boleh dikembangkan lagi di mana ramai orang boleh membantu memberikan baju-baju baru daripada kedai-kedai yang ada di Wisma Geylang Serai ataupun kedai-kedai di Joo Chiat. Kita boleh menggembleng tenaga untuk membantu bukan sahaja di kawasan Kembangan-Chai Chee ini malah di kawasan-kawasan lain yang saya rasa memerlukan untuk menyemarakkan lagi semangat Raya tidak lama lagi", kata Encik Fahmi Aliman.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
Seramai 11 sukarelawan hadir untuk menyumbang tenaga pada Ahad pagi dengan tiga antara mereka merupakan relawan daripada MudaSG iaitu kumpulan sokongan belia di bawah naungan M³ dan MAEC.

"Saya rasa amat berbesar hati kerana saya dapat memberi sedikit sumbangan bukan sahaja pada persiapan Hari Raya mereka tapi juga kepada kenangan Hari Raya mereka," kata sukarelawan Aola Azizan, yang berusia 24 tahun.

Selain itu, sukarelawan Yasser Tarhah Zahid, 20 tahun, berpuas hati melihat senyuman yang diukir para penerima habuan.

"Saya rasa sangat gembira apabila mereka membawa pulang baju dan berpeluang untuk membantu mereka yang tinggal di daerah ini. Saya sangat gembira melihat senyuman mereka," kata Encik Yasser.
(Gambar: Nurfazirah Azman)
(Gambar: Nurfazirah Azman)
Para penduduk juga diberikan pilihan untuk memilih cenderahati untuk dibawa pulang seperti beg mengandungi kain cadar dan beras, perhiasan bunga, set sudu garpu, pelitup muka N95 dan permainan HotWheels.

Selepas acara tamat pada pukul 12.00 tengah hari, masih ada sekurang-kurangnya baki 20 peratus baju.

Cik Maria memaklumkan bahawa baki baju itu akan diberikan kepada penduduk Melayu/Islam semasa sesi bertemu dengan penduduk Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin di Kembangan-Chai Chee.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan