Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sukan SEA: Pesilat negara selesa dengan kemudahan di perkampungan atlit

Pelbagai kemudahan disediakan buat para atlit dari 11 negara termasuk tempat penginapan dan makan di perkampungan atlit yang terletak berdekatan dengan Stadium Negara Morodok Techo.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Pelbagai kemudahan disediakan buat para atlit dari 11 negara termasuk tempat penginapan dan makan di perkampungan atlit yang terletak berdekatan dengan Stadium Negara Morodok Techo.

Selain ruang untuk berehat, makanan juga disediakan 24 jam sehari dan terdapat ruang untuk berlatih sepanjang masa.

Antara yang dapat menikmati kemudahan di situ adalah pesilat negara Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin, 18 tahun.

"Tempat makan memang panjang. Dari hujung sampai ke hujung dan ia juga 24 jam, jadi saya akan nampak orang makan di sini setiap kali," kongsi Nurshahfareeq, menerusi satu wawancara eksklusif bersama BERITAmediacorp.

Di perkampungan atlit itu juga para peserta dapat berlatih sebelum beradu kehandalan masing-masing sepanjang lebih dua minggu temasya Sukan SEA ke-32 berlangsung.

Ia boleh menampung lebih 5,000 atlit.



"Suasana itu macam sangat seronok saya tengok. Kalau malam pun ada orang tengah berlatih, pagi-pagi pun ada orang berlatih. Negeri-negeri lain juga berlatih di luar. Oleh kerana ini adalah pertama kali bagi saya, jadi saya seperti terperanjat melihat itu semua," ujar Nurshahfareeq.

Beliau juga berasa amat teruja kerana ini merupakan kemunculan sulungnya di Sukan SEA.

Beliau dan 20 pesilat negara lain tiba di Kemboja semalam (4 Mei) dan mereka menetap di perkampungan atlit.

Pertandingan silat akan bermula esok (6 Mei) dan Nurshahfareeq akan bertanding menerusi acara tanding Kelas H.

"Kita berlatih lebih kepada tendang menendang untuk kita bersedia untuk Sukan SEA itu tapi tidak sepenat mana. Untuk badan kita sentiasa sejuk, atau sentiasa panas begitu. Perasaan saya sungguh gementar tetapi jurulatih dan rakan-rakan pasukan semua tolong saya untuk macam berbual dengan saya. Lepas itu saya relaks. Alhamdulillah. Saya boleh tenang," kata Nurshahfareeq yang pernah mewakili negara di Kejuaraan Dunia Pencak Silat di Malaysia pada Julai 2022.

Anak muda itu juga berharap dapat mengharumkan negara.

"Harapan saya ialah untuk dapatkan pingat emas yang pertama untuk saya. Jadi insya-Allah saya akan dapat. Doakan untuk kami semua, untuk pasukan Singapura," kata Nurshahfareeq.

Pasukan silat negara turut menyertai kontinjen atlit Singapura dalam acara pembukaan Sukan SEA ke-32 pada Jumaat (5 Mei).

Mereka dijangka akan kembali ke tanah air pada Khamis (11 Mei) nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/FA
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan