Skip to main content

Singapura

SUKAN SEA 2025: Suzanna Gunawi korbankan masa, tenaga dan suara jadi tukang sorak atlet SG

Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN SEA 2025: Suzanna Gunawi korbankan masa, tenaga dan suara jadi tukang sorak atlet SG
Cik Suzanna bersama relawan Team Nila Beats. (Gambar: Suzanna Gunawi / Fatyn Abdul Samad)

SINGAPURA: Dalam lautan sukarelawan berbaju ungu Team Nila, terserlah sosok penuh bersemangat Cik Suzanna Gunawi, 59 tahun. 

Nenek kepada empat orang cucu ini merupakan penyokong dalam pasukan sorak rasmi Team Nila Beats.

Dalam Sukan SEA 2025 di Thailand, Cik Suzanna sekali lagi bakal menggalas tugas yang amat diminatinya iaitu bersorak dan memberikan semangat kepada atlet-atlet Singapura yang beraksi.

“Kami akan berlepas pada 12 Disember untuk menyorak untuk pasukan Singapura di Bangkok. Kami akan di sana selama lima hari,” kata Cik Suzanna yang teruja mempersiapkan diri untuk tugasan tersebut.


BERMULA DENGAN KEMEJA-T TEAM NILA

Cik Suzanna (bawah kanan) bersama relawan Team Nila. (Gambar: Suzanna Gunawi)

Perjalanan Cik Suzanna bersama Team Nila bermula pada Jun 2018, dengan cara yang tidak dijangka.

“Saya sertai Team Nila pada bulan Jun 2018. Bermula dengan buat ‘flashmob’ di Jurong East MRT. Dari situlah saya rasa seronok sangat dan fikir mahu berkecimpung lagi,” katanya sambil ketawa kecil.

Namun, alasan yang mendorong Cik Suzanna pada awalnya cukup unik.

“Saya dan kawan-kawan dari program ‘Lose to Win’ suka kumpul kemeja-T. Apabila nampak kemeja Team Nila warna ungu dan belakangnya tertulis ‘Sports Volunteer’, kami rasa tertarik. Itu yang mendorong kami menyertai Team Nila secara dalam talian, tanpa tahu apa yang menanti,” kongsi Cik Suzanna kepada wartawan Fatyn Afiqah. 

‘Flashmob’ ialah satu persembahan sekumpulan orang secara tiba-tiba, yang latihannya dilakukan secara spontan hanya dua jam sebelum dipersembahkan. 

Tidak disangka dirinya, ia menjadi pintu gerbang kepada Cik Suzanna untuk menceburi dunia sukarelawan yang kini menjadi sebahagian besar hidupnya.

BIJAK IMBANGI KERJAYA, SUKARELAWAN & KELUARGA 

Cik Suzanna (tengah) bersama cucu-cucunya. (Gambar: Suzanna Gunawi)

Di luar tugas sukarelawan, jadual harian Cik Suzanna yang bertugas sebagai pegawai pentadbiran jualan, cukup padat.

“Saya bekerja sepenuh masa, dan saya nenek kepada empat orang cucu berumur antara 2 hingga 10 tahun. Ahad adalah hari keluarga, kami berkumpul, makan bersama dan saya memasak untuk semua,” jelasnya.

Namun jadual setiap minggu tetap terisi dengan aktiviti Team Nila.

“Rabu adalah latihan untuk Team Nila Beats. Hari Sabtu pula saya banyak buat kerja sukarela di Kompleks Renang ActiveSG Heartbeat @ Bedok. Jadual saya tetapkan sendiri, saya tentukan apa yang saya mahu,” katanya.

Pada mulanya, anggota keluarga kurang memahami komitmennya.

“Anak-anak mula-mula tidak faham, tapi lama-lama mereka memahami. Sebab saya ibu tunggal, saya tidak ada banyak aktiviti lain. Saya tidak suka duduk rumah. Saya suka libatkan diri dalam sukan. Kerja sukarela ini beri saya kepuasan diri," kata Cik Suzanna. 

Kini, mereka sebaliknya yang menjadi pendorong utamanya. 

“Cucu saya yang umur 10 tahun pernah cakap, ‘Saya bangga dengan Nani.’ Saya terus rasa terharu,” tambahnya lagi. 

BERSEMANGAT UNTUK TERUS BUAT SUMBANGAN MESKI ADA ISU KESIHATAN

Cik Suzanna (keempat dari kiri) bersama atlet Singapura dan relawan Team Nila. (Gambar: Suzanna Gunawi)

Cik Suzanna kini merupakan ahli aktif Team Nila Beats, pasukan sorak rasmi yang memainkan peranan penting untuk menaikkan semangat atlet.

Perjalanannya ke pasukan itu berlaku secara kebetulan.

“Saya dahulu terlibat dalam ‘One Team Marching’ semasa Hari Kebangsaan. Saya menyertai pasukan perarakan ketika itu. Namun, pada awal 2023 saya diserang kencing manis kronik dan terpaksa dimasukkan ke hospital. Disebabkan keadaan itu, saya tidak dapat meneruskan aktiviti perarakan,” jelas Cik Suzanna. 

Ketika itu, pemimpin pasukannya mencadangkan agar beliau menyertai pasukan sorakan yang baru ditubuhkan.

“Mereka ingin menubuhkan Team Nila Beats dan bertanya sama ada saya berminat. Saya berfikir, kalau tidak dapat menyertai perarakan, sekurang-kurangnya saya masih boleh menyumbang dengan suara. Dari situlah saya mula menyertai pasukan ini sejak Februari 2024,” kata Cik Suzanna. 

BANGKITKAN SEMANGAT TEAM SG

Bagi Sukan SEA 2025, Cik Suzanna merupakan antara 135 sukarelawan Team Nila akan berlepas ke Thailand untuk Sukan SEA 2025. 

Ini termasuk pasukan sorakan Team Nila Beats yang memainkan peranan penting membangkitkan semangat atlet.

Sejak penubuhannya, Team Nila telah mengumpulkan lebih 50,000 sukarelawan dengan lebih 1.5 juta jam sukarelawan disumbangkan.

Sumber : BERITA Mediacorp/Ft/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita