SUKAN SEA 2025: Pasukan silat SG mara ke separuh akhir, sekurang-kurangnya 2 pingat gangsa terjamin
THAILAND: Pasukan Silat negara akan membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat gangsa menerusi acara-acara seni di Sukan SEA ke-33 di Thailand.
Ini selepas pasukan Regu Lelaki negara berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir pada Sabtu (13 Dis).
Trio Muhammad Nazrul Mohd Kamal, Muhammadinil Mustafar Mohd Isa dan Muhammad Affiz Mohamed Zakri berjaya mencatatkan 9.930 mata di peringkat suku akhir.
Mata itu mencukupi untuk mengalahkan seteru mereka dari Laos yang mendapat 9.920 mata.
Dijamin sekurang-kurangnya pingat gangsa, ia bermakna pasukan regu lelaki berjaya memperbaiki prestasi pingat mereka berbanding Sukan SEA lalu di Kemboja di mana mereka pulang dengan tangan kosong.
Muhammad Affiz berkata: "Kami rasa sangat lega kerana kami tahu kami tidak akan pulang tangan kosong tahun ini. Namun, matlamat kami belum tercapai lagi. Kami masih melalui perjalanan ini langkah demi langkah dan kami ingin memenangi pingat emas. Kami akan terus memberikan yang terbaik untuk pertandingan ini."
Selain Singapura, pasukan regu dari tuan rumah Thailand, Indonesia dan Filipina juga melangkah ke peringkat separuh akhir, yang akan diadakan di IMPACT Arena Muang Thong Thani pada Ahad (14 Dis).
Regu lelaki negara akan menentang pasukan dari Filipina di peringkat separuh akhir nanti.
"Kami akan cuba untuk mempamerkan dan memberikan persembahan lebih baik dari segi keseimbangan kami dan juga perkara terperinci seperti ketepatan langkah. Kami akan memberikan tumpuan terbaik semasa menentang pasukan dari FIlipina nanti," ujar Affiz lagi.
NURIN INSYIRAH BERJAYA RAIH PINGAT GANGSA DI SUKAN SEA SULUNG BELIAU
Turut berjaya ke peringkat separuh akhir ialah Nurin Insyirah Mohamed Aidil, dalam acara seni tunggal puteri.
Atlet berusia 21 tahun itu berjaya mengalahkan pesilat dari Laos dengan mata 9.930 - 9.920.
Nurin merupakan antara enam pesilat negara yang membuat penampilan sulung mereka di Sukan SEA Thailand tahun ini.
Nurin berkata: "Saya sangat gembira dan bangga kerana sudah melangkah sejauh ini. Tetapi, yang penting adalah saya lakukan yang terbaik dan menikmati perjalanan ini."
Meski dijamin sekurang-kurangnya pingat gangsa untuk Sukan SEA kali ini, Nurin tetap menyasarkan pingat yang lebih besar, iaitu pingat perak ataupun emas.
Namun, beliau akur perlu memperbaiki persembahannya terlebih dahulu.
Nurin berkata: "Semasa persembahan peringkat suku akhir, rakan sepasukan saya sering menjerit untuk saya tenangkan diri. Jadi saya pun cuba perlahankan langkah-langkah saya tetapi akhirnya tetap mengakhiri persembahan terlalu awal."
"Jadi saya rasa saya perlu lebih tenang semasa persembahan. Saya percaya sekarang ini saya lebih mendalami 'langkah demi langkah'. Saya perlu fokus pada tenaga di langkah-langkah akhir dan berharap akan dapat capai sasaran yang saya tetapkan," tambah beliau lagi.
Di peringkat separuh akhir pada Ahad (14 Dis), Nurin akan menentang pesilat dari Brunei Darussalam.
PESILAT TUNGGAL LELAKI SG TERLEPAS PELUANG RAIH PINGAT
Di sebalik khabar gembira bagi pasukan pesilat Regu lelaki dan Tunggal puteri, dukacita pula mencengkam pesilat Tunggal lelaki, Muhammad Iqbal Abdul Rahman.
Beliau tidak berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir selepas kalah tipis di tangan pesilat dari Indonesia, Syarief Hidayatullah Suhaimi.
Meskipun memberikan segala jiwa raganya di dalam gelanggang, Iqbal hanya dapat mengutip 9.935 mata, berbanding lawannya yang berjaya mendapat 9.955 mata.
Iqbal berkata: "Sudah tentu ia bukan satu perasaan yang menyenangkan apabila tersingkir daripada pertandingan, tetapi saya telah memberikan sepenuh tenaga di gelanggang dan saya berpuas hati dengan persembahan saya."
"Pengajaran yang saya ambil daripada kejohanan ini ialah saya tidak mempunyai sebarang penyesalan selepas persembahan tersebut," tambah beliau lagi.
Antara matlamat pesilat berusia 32 tahun itu juga adalah untuk memperbaiki prestasi pingat gangsa yang diraihnya di Sukan SEA Kemboja pada 2023.
Namun, hasrat itu tidak kesampaian buat juara dunia dua kali itu, yang terpaksa pulang dengan tangan kosong untuk Sukan SEA kali ini.
Iqbal akur perit untuk menerima keputusan, dan lebih berat lagi untuk beliau yang sebenarnya perlu bertanding di Sukan SEA kali ini dengan kecederaan yang dialaminya sejak awal tahun ini.
Iqbal berkata: "Ia merupakan satu cabaran yang besar, namun dengan bantuan dan bimbingan pasukan profesional di Institut Sukan Berprestasi tinggi (HPSI) termasuk doktor, jururawat, ahli fisioterapi, jurulatih kecergasan serta jurulatih silat, saya berjaya mengatasinya, membuat persiapan rapi dan berada dalam keadaan bersedia untuk kejohanan ini.”
Iqbal pernah menjuarai acara Tunggal Lelaki di Sukan SEA Vietnam pada 2022.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.