Skip to main content

Singapura

SUKAN SEA 2025: Kemboja tarik diri di tengah konflik sempadan dengan Thailand

Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN SEA 2025: Kemboja tarik diri di tengah konflik sempadan dengan Thailand
Delegasi Kemboja mengibar bendera negara mereka semasa upacara pembukaan Sukan SEA ke-33 di Stadium Kebangsaan Rajamangala di Bangkok pada 9 Disember 2025. (Gambar: AFP/Lillian Suwanrumpha)
Diterbitkan : 10 Dec 2025 01:17PM Dikemas Kini : 11 Dec 2025 08:36AM
SINGAPURA: Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja (NOCC) menarik keluar seluruh delegasi sukan negaranya daripada Sukan SEA ke-33 pada Rabu (10 Dis), atas sebab-sebab keselamatan di tengah pertempuran sempadan yang semakin memuncak dengan Thailand.

Dalam satu kenyataan yang disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Sukan SEA Chaiyapak Siriwat, Setiausaha Agung NOCC H E Vath Chamroeun berkata: "Dengan penuh dukacita, saya memaklumkan bahawa disebabkan oleh kebimbangan serius serta permintaan daripada keluarga atlet kami agar ahli keluarga mereka pulang dengan segera, NOCC terpaksa menarik keluar kesemua delegasi kami dan mengatur penerbangan pulang mereka dengan segera atas sebab-sebab keselamatan."

"Keputusan ini tidak dilakukan dengan mudah," tambahnya.

Sukan SEA membuka tirai secara rasmi di Bangkok pada Selasa (9 Dis) dan akan berakhir pada 20 Disember.

Kemboja sudah pun menarik diri daripada lapan acara sukan di Sukan SEA Thailand atas sebab-sebab keselamatan sebelum seluruh delegasinya menarik diri, walaupun mereka masih menghadiri upacara pembukaan pada Selasa (9 Dis).

"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul akibat pemergian awal ini dan amat menghargai pemahaman dan sokongan anda," menurut Encik Vath, sambil menambah bahawa delegasi Kemboja akan berhubung bagi menguruskan aturan pelepasan dan urusan rasmi lain.

Thailand melancarkan serangan udara ke atas Kemboja pada Isnin (8 Dis), dengan kedua-dua pihak saling tuduh menuduh satu sama lain kerana mencetuskan semula pertempuran di sempadan yang dipertikaikan, yang mengorbankan enam orang awam Kemboja dan seorang askar Thai.

Angka korban meningkat kepada 10 pada Selasa (9 Dis), dengan pertempuran sempadan itu menyebabkan lebih 140,000 penduduk di kedua-dua negara dipindahkan.

Thailand dan Kemboja sudah lama mempertikaikan kedaulatan ke atas beberapa kawasan di sepanjang sempadan darat mereka.

Ketegangan meningkat pada Julai lalu selepas seorang askar Kemboja terbunuh dalam satu serangan berbalas tembakan yang kemudiannya mencetuskan pertempuran selama lima hari.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menjadi perantara perjanjian gencatan senjata yang menghentikan pertempuran tersebut.
Sumber : CNA/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita