Skip to main content

Singapura

SUKAN SEA 2025: Charmaine Chang sumbang pingat pertama SG dalam acara boling perseorangan wanita sejak 2022

Atlet Singapura Charmaine Chang menang pingat emas dalam acara boling perseorangan wanita di Sukan SEA 2025 pada Isnin (15 Dis) dengan kemenangan jelas 234-191.
Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN SEA 2025: Charmaine Chang sumbang pingat pertama SG dalam acara boling perseorangan wanita sejak 2022

Atlet boling SG Charmaine Chang sedang beraksi di Sukan SEA ke-33 pada 15 Dis 2025. (Gambar: SNOC/Kelly Wong)

Diterbitkan : 15 Dec 2025 07:01PM Dikemas Kini : 15 Dec 2025 08:39PM
SINGAPURA: Atlet Singapura Charmaine Chang menang pingat emas dalam acara boling perseorangan wanita di Sukan SEA 2025 pada Isnin (15 Dis) dengan kemenangan jelas 234-191.

Atlet berusia 26 tahun itu mengalahkan pesaing dari Malaysia, Natasha Roslan untuk menyumbang pingat emas pertama Singapura dalam acara itu menyusuli kejayaan Cherie Tan dalam acara yang sama tiga tahun lalu di Sukan SEA ke-31 di Vietnam.

Sukan boling tidak disertakan dalam Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Rakan seperjuangan Colleen Pee, yang Chang kalahkan dengan mata 244-234 dalam pusingan separuh akhir sebelum ini pada Isnin, berkongsi pingat gangsa dengan peserta Indonesia, Sharon Limansantoso di Blu-O Rhythm & Bowl di Bangkok.

Persekutuan Boling Singapura memuat naik video ke laman Facebooknya, untuk mengucapkan tahniah kepada Chang dan Pee.

Ia juga menyatakan bahawa Chang menang Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa MWA-Thailand di tempat yang sama pada Julai lalu.

"Detik membanggakan, prestasi hebat dan pingat untuk Singapura," menurut persekutuan itu.

Dalam acara perseorangan lelaki, Jomond Chia dan Mike Ong kalah di tangan pesaing dari Thailand dan Vietnam dalam peringkat suku akhir pada Isnin.

Acara bergu dan berpasukan berlangsung pada Selasa hingga Jumaat, dengan pasukan Singapura bertanding dalam ketiga-tiga acara.

Saksikan Sukan SEA ke-33 Thailand 2025 secara langsung di mewatch. Daftar masuk secara percuma di www.mewatch.sg/thailand2025 untuk mengikuti semua aksi, dan ikuti TikTok, Instagram dan Facebook Mediacorp Sports untuk kemas kini sukan terkini!
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita