Skip to main content

Singapura

SUKAN SEA 2025: Atlet Melayu cemerlang dalam Taekwondo, Wushu

Anggaran Waktu Membaca:
SUKAN SEA 2025: Atlet Melayu cemerlang dalam Taekwondo, Wushu
Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudhairi (kiri) dan Adib Farham Ramli (kanan)
SINGAPURA: Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudhairi, 26 tahun merupakan satu-satunya atlet Melayu dalam sukan Taekwondo yang mewakili negara untuk Sukan SEA Thailand kali ini.

Lebih 10 tahun lamanya Diyanah sudah giat aktif dalam sukan itu, meski pada awalnya berkecimpung dalam seni Melayu.

"Sejak sekolah rendah, saya lakukan tarian Melayu, saya dahulu dalam Sriwana, jadi saya berjoget dan sebagainya. Keluarga saya terkejut juga kerana dari tarian saya beralih ke Taekwondo. Saya rasa ia sesuatu baharu yang boleh saya cuba. Walaupun ia bukan satu sukan masyarakat Melayu tetapi saya rasa untuk kita, ke mana kita pergi, kita akan lakukan terbaik dan capai sebaik mungkin."
Related article image
Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudhairi (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Pengalaman Diyanah dalam pasukan negara telah membuahkan hasil.

Pada Sukan SEA 2023, Diyanah berjaya merangkul pingat perak bagi kategori Poomsae perseorangan wanita, serta pingat gangsa dalam kategori Ganda bercampur.

Untuk Sukan SEA Thailand kali ini pula, Diyanah akur bahawa persaingannya sangat sengit.

Diyanah akan bertanding dalam kategori Ganda bercampur bersama pasangannya Khaw Hoong Keat, Nicholas Adam, 20 tahun.
Related article image
Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudhairi dan Khaw Hoong Keat, Nicholas Adam (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Diyanah berkata: "Memang kita nak dapatkan pingat. Jadi untuk kita, kita pun tidak tahu siapa pesaing kita pada pusingan pertama. Kalau pasukan dari Thailand, kita perlu lakukan yang terbaik."

"Malaysia, Vietnam, dan Thailand, ketiga-tiga pasukan ini adalah juara dunia jadi kita bertanding dengan yang terbaik di dunia tetapi kita juga adalah yang terbaik untuk Singapura, jadi saya rasa kita tidak patut merendahkan diri sangat," tambah Diyanah lagi.

Selepas berlatih di Korea Selatan dan Taiwan selama sebulan pada bulan November, Diyanah merasakan prestasi diri sudah berada di kemuncaknya dan sudah siap sepenuhnya untuk beraksi di Thailand.

DARI GELANGGANG SILAT KE ARENA WUSHU

Bagi atlet wushu, Adib Farhan Ramli pula, meskipun sudah berpengalaman, SEA Games kali ini lebih berdebar bagi dirinya.

Ini kerana sebelum ini beliau mewakili negara dalam sukan silat tapi kali ini dalam wushu pula.

Dalam silat, beliau pernah menjadi Juara Asia pada 2018 dan mewakili negara dalam beberapa lagi pertandingan antarabangsa.

Namun dalam Sukan SEA 2025, kategori berat badannya tidak dipertandingkan sekali gus menutup peluangnya mewakili negara dalam sukan yang sudah mendarah daging dengan dirinya.

Adib mengimbas kembali detik itu: “Apabila saya dapat tahu saya tidak boleh memasuki Sukan SEA, saya amat kecewa dan putus harapan. Saya rasa inilah peluang terakhir untuk menjadi atlet yang mewakili Singapura."

"Saya malah berbincang dengan ibu bapa saya tentang keputusan untuk tidak lagi bermain silat, dan mungkin tidak lagi aktif dalam sukan. Faktor usia dan komitmen lain membuatkan saya rasa sudah sampai waktunya untuk berhenti," tambah Adib lagi.
Related article image
Adib Farhan Ramli (Gambar: Petikan gambar Mediacorp)
Mujur bagi Adib, satu langkah telah diambil oleh Institut Sukan Berprestasi Tinggi di bawah Majlis Sukan Singapura (SportSG) pada Ogos lalu.

Institut itu mengorak satu program strategi rentas sukan tempur untuk memanfaatkan potensi atlet menerusi kemahiran yang boleh dibawa merentas sukan kombat berbeza-beza.

Menerusi program itu, Adib kini dapat kembali ke gelanggang — bukan lagi sebagai pesilat tetapi sebagai atlet Wushu Sanda.

Adib bukan satu-satunya pesilat yang beralih arah ke sukan berlainan untuk Sukan SEA Thailand.

Siti Khadijah Shahrem, 24 tahun, turut menjalani transformasi sama - melangkah dari gelanggang silat ke arena wushu.

Mereka sekali gus menjadi atlet bukan berbangsa Cina yang pertama mewakili negara dalam sukan itu.

Wushu Sanda merupakan disiplin tempur dari China yang memerlukan sarung tangan, pelindung kepala dan teknik berbeza sama sekali.

“Bila saya dapat tahu saya terpilih untuk Sanda, saya amat gembira. Saya benar-benar menantikan peluang ini kerana ia bukan peluang yang semua atlet akan dapat. Saya sendiri terkejut apabila diberitahu," jelas Adib.

Wushu terbahagi kepada dua cabang: Taolu iaitu persembahan rutin koreografi, dan Sanda iaitu pertempuran kontak penuh.

Lantas, sukan Wushu Sanda amat berbeza dengan Pencak Silat.

“Sejujurnya, sangat susah untuk saya belajar dan faham Sanda. Tekniknya jauh berbeza daripada silat. Ada banyak peraturan yang saya tidak pernah latih — seperti serangan dan tendangan ke muka, sesuatu yang tidak dibenarkan dalam silat. Prosesnya mencabar dan bukan mudah untuk menguasainya dalam masa singkat,” kata Adib.

Namun, cabaran itu turut membuka ruang untuknya membawa mesej yang lebih besar.

Adib berkata, “Sebagai seorang atlet Melayu, saya amat bangga kerana saya boleh tunjukkan kepada anak muda kita bahawa kita boleh berkembang dan belajar perkara baharu, termasuk sukan yang sering dianggap milik kaum lain. Saya mahu memecahkan stigma — walaupun ini sukan Cina, saya mahu buktikan bahawa atlet daripada kaum lain juga boleh berjaya.”

Meskipun baharu dalam sukan Wushu Sanda, Adib menetapkan sasaran besar untuk Sukan SEA Thailand iaitu pingat emas dalam kategori Lelaki 70kg.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita