Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sukan Komanwel: Srikandi S'pura Nur’Aini Mohamad Yasli jadi atlit wanita Para pertama wakili negara dalam acara angkat berat

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sukan Komanwel 2022 akan menampilkan program sukan Para terbesar dalam sejarah temasya sukan itu.

Sebanyak lapan acara para bakal dipertandingkan. 

67 atlit akan mewakili Singapura dalam sembilan acara sukan pada temasya di Birmingham yang bermula 28 Julai ini.

Kontinjen Singapura termasuk dua atlit para dalam acara angkat berat dan renang.

Srikandi angkat berat Para Nur’Aini Mohamad Yasli merupakan atlit para wanita yang pertama mewakili Singapura dalam acara 'powerlifting' di temasya sukan antarabangsa tersebut.

"Tentu sekali tekanannya ada tetapi saya berasa amat teruja dan berbesar hati kerana dapat mewakili Singapura dalam Sukan Komanwel kali ini kerana ia kali pertama saya bertanding dalam sukan temasya ini," kata Nur'Aini. 

"Dalam sukan yang dikuasai lelaki, seorang wanita pula yang mewakili Singapura kali ini. Kalau kita berani mengembangkan had kebatasan diri, kita boleh mencapai kecemerlangan juga," tambah beliau.
 
Nur'Aini dipilih berdasarkan prestasi cemerlang sejak musim pertandingan 2020.

Beliau mencipta sejarah sebagai yang pertama dari Singapura untuk bertanding dalam Paralimpik Tokyo dan menang pingat gangsa di acara Piala Dunia ‘Powerlifting’ di Dubai tahun lalu. 

Nur'Aini berkata: "Alhamdulillah latihan yang pelatih saya rancangkan selama ini berbaloi. Pada mulanya, apabila saya bermula dalam sukan 'powerlifting' ini pada 2017, saya tidak pernah jangkakan akan bertanding dalam Sukan Komanwel, tetapi Alhamdulillah saya berada di mana saya ada sekarang ini."

BERTANDING DENGAN ATLIT LEBIH 'BESAR' BOLEH ANGKAT LEBIH BERAT

Nur'Aini biasanya bertanding dalam kategori bawah 45 kilogram.

Namun sekitar dua minggu sebelum sukan temasya Komanwel berlangsung, berat badan Aini sudah melebihi 45 kilogram. 

Namun beliau tidak merasa bimbang. 

Menurut Nur'Aini, format pertandingan sukan temasya Komanwel bagi sukan angkat berat para, menggabungkan lima kategori berat badan iaitu bawah 41 kilogram, bawah 45 kilogram, bawah 50 kilogram, bawah 55 kilogram dan bawah 61 kilogram. 

Ini bermakna bahawa kesemua atlit para angkat berat akan dirangkumkan dalam kategori bawah 61 kilogram. 

Nur'Aini berkata: "Saya gembira kerana tidak perlu mengamalkan diet yang terlalu ketat untuk pertandingan ini."

Meskipun begitu, ia juga bermakna bahawa beliau akan bertanding dengan atlit para lain yang bersaiz lebih besar, dan mampu mengangkat berat yang lebih. 

"Rasa takut memang ada juga tetapi saya mengambil perasaan ini sebagai satu motivasi. Kalau mereka boleh buat saya pun boleh buat. Kita juga tidak tahu betapa menakjubkan badan manusia ini boleh menjadi sangat kuat," jelas Nur'Aini. 

"Namun begitu, ia juga akan menjadi satu pengalaman menarik kerana ia satu peluang untuk berjumpa dengan para atlit baru. Saya juga tidak terbatas kepada pertandingan dalam kategori saya sahaja. Saya berharap dapat melakukan yang terbaik," tambah beliau. 

INTENSITI LATIHAN DIPERTINGKAT, ANGKAT TIMBANGAN BERAT YANG LEBIH

Nur'Aini mempunyai sekitar dua minggu lagi untuk berlatih, mencabar daya kekuatannya dan mencapai prestasi tahap terbaik bagi Sukan Komanwel kelak. 

Beliau berlatih secara intensif tiga kali seminggu.

"Dalam masa tiga jam sesi latihan, saya buat latihan seperti 'bench press', iaitu latihan utama bagi sukan ini. Saya juga ada latihan berbeza seperti latihan daya kekuatan dan ketahanan serta latihan teknik. Saya juga perlu menjalani latihan gim supaya otot-otot saya kuat untuk lakukan 'bench press'," kongsi  Nur'Aini. 

"Selalunya saya mengangkat berat sekitar 60 kilogram. Untuk pertandingan akan datang, saya berlatih mengangkat berat kira-kira 70 kilogram berulang kali."

Nur'Aini yang turut mendapat penghormatan menjadi pembawa bendera kontinjen Singapura, akan berangkat ke Birmingham, United Kingdom pada 27 Julai dan akan beraksi pada 4 Ogos kelak.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan