Sukan jadi wadah pencegahan dadah, pupuk disiplin dan kebersamaan
SINGAPURA: Sukan bukan sekadar aktiviti riadah.
Dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah, ia boleh menjadi wadah untuk membina disiplin, rasa kebersamaan dan daya tahan masyarakat.
Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Edwin Tong berkata penglibatan dalam sukan atau minat lain boleh menjadi pemangkin untuk masyarakat bersatu dalam menangani kesan negatif dadah.
Beliau berkata demikian di acara pertandingan futsal masyarakat, edisi keempat ‘Dribble Against Drugs' anjuran Rumah Peralihan PERTAPIS dengan sokongan Dana Reben Kuning pada Sabtu (14 Feb).
“Melabur dalam masyarakat, serta mempunyai minat dan semangat terhadap sukan atau bidang lain, merupakan antara pemangkin penting untuk kita bersatu dan lebih kukuh dalam memerangi kesan negatif dadah,” kata Encik Tong yang juga merupakan Menteri Undang-undang.
NILAI SUKAN BENTUK DAYA TAHAN DAN KEPIMPINAN
Sukan menurut Encik Tong, bukan sahaja membentuk ketahanan diri, nilai kepimpinan dan keyakinan individu, malah memperkukuh semangat berpasukan dalam masyarakat.
Justeru, acara futsal tersebut antara "pendekatan yang berkesan dalam menyampaikan mesej ini terus ke peringkat akar umbi dengan impak yang kuat, pada masa yang sama membolehkan peserta menikmati suasana yang menyeronokkan".
"Ini merupakan antara cara untuk kita terus membina dan memperkukuh persekitaran bebas dadah yang kukuh di Singapura," tambah beliau.
PERANAN MASYARAKAT DALAM USAHA PENCEGAHAN DADAH
Acara itu mengundang masyarakat awam untuk bermain futsal dan berinteraksi dengan para sukarelawan serta penghuni Rumah Peralihan PERTAPIS.
Interaksi secara santai sebegini diharap dapat memudahkan proses integrasi para penghuni dengan masyarakat awam.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PERTAPIS, Firdaus D’Cruz berkata penglibatan masyarakat sebegini menjadi kunci dalam memastikan usaha pencegahan.
“Walaupun situasi dadah di Singapura kekal rendah, kami percaya usaha ini tetap memerlukan kerjasama masyarakat. Kami perlu berganding bahu untuk terus menumpukan dan meningkatkan usaha mencegah serta membanteras dadah di Singapura,” ujarnya.
Hampir 900 peserta dan pengunjung memeriahkan acara tersebut, dengan lebih 80 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan futsal yang berlangsung sepanjang hari.
Berbeza dengan edisi terdahulu, di mana para penghuni PERTAPIS turut menyertai perlawanan, tahun ini seramai lapan penghuni memainkan peranan untuk sama-sama menganjurkan dan menjayakan acara itu.
Selain itu, terdapat juga reruai pendidikan, yang dikendalikan agensi seperti Biro Narkotik Pusat (CNB), MENDAKI dan pertubuhan masyarakat lain, yang turut menyediakan maklumat mengenai bahaya dadah, sokongan pemulihan dan inisiatif berasaskan masyarakat.
Semua hasil kutipan daripada acara tersebut akan disalurkan bagi menyokong program pemulihan dan selepas jagaan di Rumah Peralihan PERTAPIS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.