Sukan Asia Ke-19: Pasukan sepak takraw negara sasar pingat perak bagi kategori regu dan kuadron

(Gambar: PERSES)
SINGAPURA: Pasukan sepak takraw negara akan berangkat ke Hangzhou, China esok (28 Okt) bagi temasya Sukan Asia ke-19.
Pasukan enam pemain itu tidak sabar untuk turun ke gelanggang dan membawa pulang pingat dalam kategori regu dan kuadron.
LATIH SEHARI DUA KALI, LAWAN PERSAHABATAN DENGAN PASUKAN LUAR NEGERI TIMBA PENGALAMAN
Para pemain berlatih secara intensif sejak tiga minggu lepas sebagai persiapan akhir untuk ke temasya Sukan Asia.
Latihan diadakan sebanyak dua kali sehari untuk memperbaiki teknik-teknik asas para pemain selain meningkatkan daya kecergasan mereka, kata salah seorang pemain, Muhammad A'fif Safiee.
Afif berkata: "Pasukan-pasukan yang beraksi di Sukan Asia ini sangat tangkas dan lincah. Kita perlu capai tahap permainan yang sama, dan perlu tingkatkan kecergasan kita agar dapat bertahan lama dalam gelanggang."
Para pemain turut menimba kemahiran dan pengalaman melalui perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab sepak takraw di luar negara.
Mereka telah ke Batam dan Pekan Baru di Indonesia sejak tiga minggu.
"Pengalaman di luar negara sangat membantu kami. Di Singapura, susah untuk kami timba pengalaman di mana kami berlawan dengan pasukan-pasukan dengan corak permainan yang berbeza-beza dan berubah-ubah," kata Afif.
Beliau menambah, "Pasukan-pasukan dari negara lain, antara corak permainan mereka termasuk rembatan servis yang laju. Jarang kita dapatkan permainan sebegitu di Singapura. Jadi, kita dapat pelajari dengan serta-merta cara-cara untuk membalas hantaran mereka."
Selain memperbaiki teknik dan kelincahan mereka di dalam gelanggang, Afifi juga berkata bahawa para pemain dapat meningkatkan keyakinan mereka apabila menentang pasukan-pasukan lebih baik.
Afif berkata: "Kita menerima maklum balas baik juga daripada para pemain lawan yang merupakan pemain skuad negara mereka juga. Mereka menasihatkan kami untuk bermain di dalam gelanggang menggunakan akal, dan bukan semata-mata menghantar bola ke gelanggang lawan untuk mendapatkan mata."
Sukan Asia di Hangzhou, China merupakan temasya sukan yang kedua disertai Afif.
Beliau berharap pasukan Singa akan dapat meraih sekurang-kurangnya pingat perak dalam kategori regu dan kuadron.
Singapura meraih pingat gangsa bagi kedua-dua kategori itu di Sukan Asia ke-18 di Palembang, Indonesia.
Singapura akan menentang pasukan Jepun dan India bagi kategori kuadron pada Isnin depan (2 Okt).
Senarai barisan pemain negara:
Muhammad Yusof Mohammed Hasli
Muhammad Irfain Zurkanaen
Asy-Syariq Mohamad Khalid
Muhammad A'fif Safiee
Umar Mohammad Mohtar
Muhammad Ramli Sa'ari
PRESIDEN ASTAF HALIM KADER
Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Encik Abdul Halim Kader yakin pasukan Singapura berupaya membawa pulang pingat dalam Sukan Asia ke-19.
"Pasukan Singapura mempunyai peluang yang cerah bagi meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam acara regu apabila bertemu dengan pasukan Vietnam.
Pasukan Singapura berada dalam kumpulan A bersama pasukan Malaysia dan Vietnam bagi acara regu.
"Saya percaya dan penuh yakin pasukan Singapura dapat mendahului Vietnam dalam acara ini," jelas Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.