Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suhu kian panas boleh cetus lebih banyak risiko penyakit berjangkit baru di S'pura

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Hab perjalanan global Singapura menyaksikan ribuan pelawat tiba di negara ini setiap tahun.

Namun suhu yang semakin meningkat juga boleh membawa 'pelawat' lain ke negara ini, iaitu penyakit berjangkit.

Kajian yang dijalankan baru-baru ini, yang diterbitkan dalam jurnal saintifik 'Nature Climate Change' pada bulan Ogos mendapati perubahan iklim memburukkan lebih 200 penyakit berjangkit dan puluhan keadaan yang tidak boleh menular, seperti gigitan ular yang berbisa.

Para pengkaji mendapati 218 daripada 375 penyakit berjangkit manusia - atau 58 peratus - dilihat menjadi semakin buruk oleh salah satu daripada 10 jenis cuaca ekstrem yang dikaitkan dengan perubahan iklim.

Ini termasuk malaria, cacar monyet dan Zika.

Sejak beberapa tahun lalu, Singapura juga mencatat jumlah rekod kes denggi, sedang suhu terus meningkat.

Setakat Isnin (10 Okt), negara ini sudah melebihi 28,000 kes - lebih lima kali ganda jumlah kes yang dilaporkan bagi keseluruhan tahun 2021, sebanyak 5,258.

"Sedang iklim berubah, spesies nyamuk secara geografi juga berubah dan atas sebab itulah kita melihat semakin banyak kes denggi lebih jauh dari khatulistiwa berbanding sebelum ini," kata Prof Madya Alex Cook, naib dekan kajian di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock Universiti Nasional Singapura (NUS).

Untuk memerangi denggi, negara ini menggunakan pelbagai strategi menghapuskan nyamuk termasuk pengabutan (fogging) dan melepaskan nyamuk jantan khas Aedes yang membiak dengan nyamuk betina bagi menghasilkan telur yang tidak menetas.

Bagaimanapun, mencegah penyakit berjangkit baru dan kian muncul daripada memasuki negara ini suatu cabaran berbeza, kata para pakar.

"Kita agak beruntung kerana di mana kita berada ini, kita berdepan dengan ribut besar dan taufan, jadi kita tidak terdedah kepada penyakit bawaan air," kata Prof Madya Yann Boucher dari Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock NUS.

"Namun masalahnya bagi Singapura adalah disebabkan ia sebuah hab perjalanan, penyakit akan datang dari tempat-tempat lain," tambah beliau, sambil menarik perhatian kepada cacar monyet, COVID-19 dan Zika, yang mana kesemuanya diimport ke negara ini.

Meskipun Singapura sudah meningkatkan usaha bagi memantau dengan lebih teliti penyakit berjangkit - termasuk menguji air kumbahan - para pakar yang ditemui Mediacop berkata lebih banyak yang harus dilakukan untuk memahami apa yang berlaku di negara-negara lin.

Merujuk kepada penularan Streptococcus Kumpulan B pada 2015 di Singapura, yang menyebabkan lebih 10 orang dimasukkan ke hospital, Profesor Madya Cook menekankan pentingnya berkongsi maklumat.

Berkongsi sentimennya, Profesor Madya Boucher berkata pemantauan bagi penyakit berjangkit perlu diteliti secara lebih universal, berbanding mengehadkannya kepada setiap negara masing-masing.

Selain meningkatkan pemantauan, Singapura juga membuat perubahan kepada prasarana bagi membantu mengurangkan penularan penyakit.

Ini termasuk memastikan putaran udara yang betul di bangunan-bangunan dan menyediakan sistem saliran yang baik bagi mencegah penyakit bawaan air.

Pada akhirnya, para pakar berkata tumpuan harus diberikan kepada usaha mengurangkan pengeluaran karbon bagi menangani masalah perubahan iklim.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan