Skip to main content

Singapura

Suhu cuaca S'pura mungkin cecah 40°C seawal 2045: Saintis

Rakyat Singapura mungkin berdepan dengan cuaca panas, dengan suhu pada beberapa hari dalam setahun mungkin mencecah sehingga 40 darjah Celsius, menjelang 2045 dan selewat 2065.

Anggaran Waktu Membaca:
Suhu cuaca S'pura mungkin cecah 40°C seawal 2045: Saintis

Suhu cuaca di Singapura mungkin cecah 40B0C seawal 2045 (Ilustrasi: Raymond Limantara/TODAY)

Diterbitkan : 05 Jul 2019 12:43PM Dikemas Kini : 05 Jul 2019 12:49PM

SINGAPURA: Rakyat Singapura mungkin berdepan dengan cuaca panas, dengan suhu pada beberapa hari dalam setahun mungkin mencecah sehingga 40 darjah Celsius, menjelang 2045 dan selewat 2065.

Demikian menurut hasil simulasi yang dijalankan oleh sebuah pasukan ahli sains di Pusat Penyelidikan Iklim Singapura, yang merupakan sebahagian daripada Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS).

Dr Muhammad Eeqmal Hassim, seorang penyelidik kanan pusat itu, memberitahu Mediacorp pada Khamis (4 Jul) bahawa itu adalah senario paling buruk jika negara-negara di dunia terus menghasilkan pengeluaran gas hijau pada kadar "sedia ada".

"Ia (hari-hari dengan suhu cuaca setinggi 40 darjah Celsius) tidak akan berlaku sekali sahaja. Ia mungkin berlaku pada beberapa hari seawal 2045," katanya.

Dr Eeqmal memberi amaran itu selepas gelombang haba selama empat hari di Eropah yang meragut nyawa sekurang-kurangnya tujuh orang.

Agensi berita Reuters melaporkan bahawa daerah Gard di Perancis terjejas teruk akibat gelombang haba itu, dengan suhu cuaca meningkat kepada paras maksimum 45.9 darjah Celsius pada 28 Jun - iaitu hari paling panas yang pernah dicatatkan dalam sejarah negara itu.

CUACA S'PURA SEMAKIN PANAS

Singapura mungkin terlepas daripada gelombang haba sedahsyat itu yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi Dr Eeqmal menekankan bahawa keadaan cuaca di negara ini bertambah panas.

Dr Eeqmal berkata: "Jika anda bercakap dengan orang-orang lebih tua, mereka akan teringat cuaca Singapura yang lebih dingin (ketika mereka masih muda)."

Seorang profesor iklim dari Britain menghasilkan projek bertajuk 'Show Your Stripes', sekaligus menekankan lagi pengamatan Dr Eeqmal. Grafik berwarna-warni yang direka oleh Profesor Ed Hawkins dari Jabatan Meteorologi Universiti Reading menunjukkan bagaimana sesebuah negara menjadi lebih panas sejak seabad lalu.

Menurut Dr Eeqmal, suhu cuaca di Singapura secara purata meningkat sebanyak 0.29 darjah Celsius sejak empat dekad lalu.

ANAK-ANAK MUDA BERI HARAPAN

Sungguhpun masa depan kelihatan gelap, tahap kesedaran dalam kalangan rakyat Singapura mengenai betapa pentingnya usaha menangani perubahan iklim semakin meningkat, menurut sebuah pertubuhan bukan mencari untung yang terdiri daripada para pencinta alam sekitar.

Naib Presiden Earth Society, Low Chip Khoon, berkata menerusi program-program pendampingan yang bertujuan untuk mendidik orang awam mengenai kesan perubahan iklim, pihaknya mendapati bahawa golongan muda lebih prihatin tentang perubahan iklim berbanding golongan lain.

"Mungkin mereka tahu sekiranya mereka tidak mengambil tindakan terhadap perubahan iklim, bumi ini tidak akan lagi sesuai untuk mereka diami," ujarnya.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita