Skip to main content

Singapura

Suhu bawah permukaan setinggi 122°C dicatat di Sembawang tunjukkan potensi tenaga geoterma

Di sebidang tanah yang kecil hanya 600 meter dari Mata Air Panas Sembawang, para penyelidik mengesan suhu bawah tanah setinggi 122 darjah Celsius — yang tertinggi pernah direkodkan di Singapura setakat ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Suhu bawah permukaan setinggi 122°C dicatat di Sembawang tunjukkan potensi tenaga geoterma

Sampel batu granit yang diperoleh dari 1,200m di bawah tanah di tapak Sembawang. (Gambar: NTU)

Diterbitkan : 03 Jul 2025 09:42PM
SINGAPURA: Di sebidang tanah yang kecil hanya 600 meter dari Mata Air Panas Sembawang, para penyelidik mengesan suhu bawah tanah setinggi 122 darjah Celsius — yang tertinggi pernah direkodkan di Singapura setakat ini.

Diukur pada kedalaman kira-kira 1.76 kilometer, penemuan ini mengatasi penemuan sebelumnya di Admiralty di mana suhu setinggi 70 darjah Celsius dicatat pada kedalaman 1.12 kilometer.

Dr Jonathan Poh, zamil penyelidik di Institut Penyelidikan Tenaga @ NTU (Universiti Teknologi Nanyang), menyifatkan penemuan itu sebagai satu "pencapaian besar" dalam usaha penerokaan tenaga geoterma di Singapura.

Data ini akan menyumbang kepada kajian kebolehlaksanaan geoterma dan membuka kemungkinan penggunaan tenaga ini sebagai sumber tenaga masa depan. Buat masa ini, kira-kira 95 peratus tenaga Singapura dijana melalui pembakaran gas asli, iaitu bahan api fosil.

Tenaga geoterma, yang berasal daripada haba yang tersimpan di bawah permukaan bumi, adalah sumber tenaga boleh diperbaharui yang bermanfaat untuk penggunaan seperti penyejukan dan pemanasan industri, menurut para penyelidik.

Kajian ini diketuai oleh kira-kira 15 orang penyelidik dari NTU dan TUMCREATE, dengan kerjasama Surbana Jurong.

TUMCREATE merupakan sebuah platform penyelidikan yang melibatkan kerjasama antara Universiti Teknikal Munich, universiti-universiti lain, agensi awam serta rakan industri.

Penemuan ini adalah sebahagian daripada kajian nasional yang disokong oleh Yayasan Penyelidik kebangsaan dan Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga (EMA).

Empat orang penyelidik daripada pasukan tersebut berkongsi penemuan mereka dengan pihak media pada hari Khamis (3 Jun).
Related article image
Tapak seluas 900 meter persegi di Jalan Gambas di Sembawang, di mana lubang bor kedua digerudi. (Gambar: NTU)
KENAL PASTI TAPAK

Ketika para penyelidik meneroka potensi tenaga geoterma di Singapura, rancangan awal mereka adalah untuk menggerudi beberapa telaga cetek di pelbagai lokasi dalam negara bagi mengenal pasti tapak yang sesuai.

Namun, mereka mendapati bahawa kawasan utara Singapura sentiasa lebih panas. Berdasarkan analisis mereka, aliran haba di bahagian utara Singapura sekurang-kurangnya dua kali ganda purata benua global, walaupun Singapura tidak terletak di zon gunung berapi.

Unutk mengenal pasti tapak menggerudi yang sesuai, pasukan penyelidik menggambil kira beberapa kriteria. Pertama, lokasi perlu mempunyai akses jalan raya yang baik dan kawasan terbuka seluas kira-kira 1,600 meter persegi.

Tapak-tapak tersebut juga perlu berada pada jarak yang selamat dari mata air panas dan rekahan kerak bumi.

Dengan kekangan tanah di Singapura, para penyelidik berkata tapak di Admiralty dan Sembawang memenuhi semua keperluan yang ditetapkan.

Kedua-dua tapak terletak di atas granit Simpang, sejenis batu yang mengandungi bahan semula jadi menjana haba pada kepekatan tinggi, menjadikannya sangat sesuai untuk penjanaan tenaga geoterma.

“Jika kerak bumi tebal dan kaya dengan granit seperti ini, ia berkemungkinan menyumbang sehingga kira-kira 40 peratus daripada jumlah aliran haba yang diukur di permukaan,” kata Dr Jonathan Poh.

Berdasarkan data yang ada, para penyelidik menganggarkan bahawa suhu boleh mencecah sehingga 230 darjah Celsius pada kedalaman 5 kilometer, jauh melebihi had minimum 150 darjah Celsius yang biasanya diperlukan untuk menjana tenaga elektrik.

Kini, mereka sedang meneroka pelbagai teknologi pengekstrakan haba yang sesuai digunakan dalam konteks perbandaran dan kepadatan tanah seperti di Singapura.
Sumber : CNA/NI/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita