Suhaimi Yusof sampai ke menara gading, genggam ijazah kepujian kelas pertama
Gambar: Instagram/ suhaimiyusof_official
SINGAPURA: Kisah dua beranak ini membuktikan pembelajaran adalah satu proses sepanjang hayat.
Awal minggu lalu, pelakon dan pelawak tanah air, Suhaimi Yusof, akhirnya bergelar seorang siswazah universiti setelah "tercicir daripada tiga universiti" 30 tahun yang lalu.
Menurut Suhaimi, 52 tahun, apabila beliau pertama kali mencuba untuk melanjutkan pelajarannya, beliau menyedari dirinya "tidak mempunyai daya tahan untuk berbuat demikian".
"Saya memilih kerjaya berbanding pelajaran. Jadi rakan-rakan saya melanjutkan pengajian mereka di NUS dahulu manakala saya tidak," kongsi beliau.
"Saya dapati ia tidak mudah (untuk belajar), ia adalah sesuatu yang memerlukan tekad yang kuat dan disiplin yang tinggi," kata beliau dalam satu video yang dimuat naik ke akaun Instagramnya.
JANGAN KATAKAN TIDAK
Kini, sekitar 30 tahun kemudian, Suhaimi akhirnya berjaya mencapai matlamatnya apabila beliau berjaya menggenggam segulung ijazah dengan kepujian kelas pertama dalam jurusan penerbitan media penyiaran, yang dianugerahkan oleh Universiti Teesside.
Pelawak itu memburu ijazahnya di Universiti MDIS bersama rakan selebriti Fauzie Laily, 37 tahun, yang turut dianugerahi ijazah yang sama.
"Terima kasih kepada rakan lama saya, Encik Fuadi Rahmat, yang juga pensyarah kanan di MDIS, yang membuka lembaran ini kepada saya. Dialah yang membuka pintu, sentiasa memberi perangsang kepada diri saya, selanjutnya kejayaan ini ibarat saty hikmah kepada diri saya," tulis Encik Suhaimi.
Suhaimi kemudian berkongsi bahawa beliau mencedok inspirasi untuk melanjutkan pengajian selepas melihat anak perempuannya, Nurjannah Binte Suhaimi, 25 tahun, berjaya melangkah ke Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Nurjannah lulus dengan Sarjana Muda Seni Halus dalam Seni Reka Bentuk pada 2021.
"Semasa anak perempuan saya menuntu di NTU, saya fikir bukankah seronok untuk menamatkan pengajian dengan anak perempuan saya pada tahun yang sama?!? Itu adalah sesuatu yang berjaya kami kecapi pada 2021," tulis beliau.
Suhaimi menambah konvokesyen beliau ditundakan ke tahun ini berikutan langkah-langkah sekatan COVID-19 yang diperketatkan.
"Jika saya boleh sampai ke menara gading, sesiapa saja juga boleh melakukannya," kata beliau mengakhirinya catatan Instagram tersebut
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.