Skip to main content

Singapura

Suhaimi Salleh antara 3 muka baharu dalam lembaga pengarah Mediacorp

Anggaran Waktu Membaca:
Suhaimi Salleh antara 3 muka baharu dalam lembaga pengarah Mediacorp

Cik Eng Chin Chin, Encik Sng Ren Yeong dan Encik Suhaimi Salleh.

Diterbitkan : 20 Nov 2023 01:02PM Dikemas Kini : 20 Nov 2023 01:17PM
SINGAPURA: Mediacorp pada Isnin (20 Nov) mengumumkan pelantikan Cik Eng Chin Chin, Encik Sng Ren Yeong dan Encik Suhaimi Salleh bagi lembaga pengarahnya.

Pelantikan itu berkuat kuasa pada Jumaat (17 Nov).

Encik Suhaimi adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SSA Group, kumpulan syarikat yang menawarkan latihan dan huraian pembangunan modal insan, khidmat runding cara dan penyelesaian teknologi.

Beliau juga merupakan mantan presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Beliau juga pernah berkhidmat dalam Lembaga Gabenor Politeknik Temasek, Majlis Politeknik Ngee Ann, Majlis Pengangkutan Awam (PTC) serta Majlis Amal.

Beliau sebelum ini juga pernah berkhidmat dalam lembaga pengarah SG Enable dan merupakan pengerusi jawatankuasa auditnya.

Dua lagi muka baharu adalah Cik Eng Chin Chin dan Encik Sng Ren Yeong.

Cik Eng adalah mantan rakan kongsi KPMG Singapore. Beliau kini berkhidmat dalam lembaga pengarah Olam Agri Holdings, anak syarikat makanan dan perniagaan hasil tani Olam Group.

Beliau juga merupakan pengerusi jawatankuasa audit dan anggota jawatankuasa pematuhan risiko dan pasaran syarikat tersebut.

Encik Sng pula adalah pengarah urusan strategi dan penyelesaian Kecerdasan Buatan (AI) di Temasek dan bertanggungjawab ke atas pembinaan usaha niaga AI dan pelaburan pelabur.

Beliau juga menganggotai lembaga pengarah beberapa syarikat yang ditubuhkan oleh Temasek termasuk minden.ai, syarikat teknologi di sebalik yuu Rewards Club di Singapura. Ia diterajui oleh Encik Sng sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ketika itu untuk mempertingkatkan pendampingan antara pengguna dan jenama dengan penggunaan pembelajaran mesin dan AI.

"Chin Chin, Ren Yeong dan Suhaimi adalah anggota penting kepada lembaga Mediacorp, dengan latar belakang mereka serta kepakaran dan pengalaman yang mendalam dalam bidang masing-masing. Kami mengalu-alukan mereka ke dalam keluarga Mediacorp dan mengalu-alukan pandangan mereka yang akan membantu mengemudi pertumbuhan Mediacorp ke peringkat seterusnya," kata pengerusi Mediacorp, Niam Chiang Meng.

Mediacorp hari ini (20 Nov) turut mengumumkan bahawa Encik Yap Chee Keong dan Encik Zainul Abidin Rasheed mengundurkan diri sebagai anggota lembaga pengarah semasa mesyuarat agung tahunan Mediacorp pada 20 Sep lalu.

“Bagi pihak Mediacorp, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Chee Keong dan Zainul atas sumbangan mereka yang tidak ternilai dan perspektif bernas sepanjang penggal mereka,” kata Encik Niam.

"Pandangan, ulasan dan saranan mereka telah membolehkan Lembaga Pengarah membuat keputusan yang lebih strategik dan berkesan. Hasilnya, kami lebih kukuh dan mencapai kemajuan besar dalam perjalanan kami, daripada mengguna pakai teknologi terkini kepada meningkatkan strategi berbilang platform kami dalam mendampingi masyarakat dan lebih ramai pihak berkepentingan.”
Sumber : CNA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita