Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sudah tiba masa mansuh Seksyen 377A; masyarakat SG lebih bersedia menerimanya, kata Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, K Shanmugam berkata masanya sudah tepat untuk memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan kerana masyarakat lebih bersedia untuk menghadapinya.

Encik Shanmugam berkata demikian pada Isnin (28 Nov) semasa Parlimen mula membahaskan langkah memansuhkan undang-undang yang menganggap hubungan seks sesama lelaki sebagai satu jenayah.

Encik
Shanmugam berkata: "Sudah tiba masanya untuk kita memansuhkan Seksyen 377A. Ia memalukan dan menyakitkan golongan 'gay'."

"Kebanyakan individu 'gay' tidak menyebabkan kemudaratan kepada orang lain. Mereka hanya ingin hidup dengan aman dan ingin diterima sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat, sama seperti warga Singapura yang lain."

Mereka mungkin adalah anggota keluarga kita, kawan atau rakan sekerja, dan mereka punya harga diri, berhak dihormati dan diterima, kata Encik Shanmugam lagi.

"Mereka tidak harus disisih disebabkan kecenderungan seksual mereka."

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan hasrat Pemerintah untuk memansuhkan Seksyen 377A, di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ogos.

Perkara tersebut dibincangkan dalam perbahasan Parlimen pada Isnin, selain satu lagi Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan bagi melindungi penakrifan perkahwinan daripada dicabar dari segi undang-undang.

Encik Shanmugam menekankan jika Seksyen 377A dimansuhkan, ia menjadi jelas bahawa golongan gay bukan penjenayah.

Beliau menarik perhatian bahawa dalam sesetengah agama, amalan homoseksual dianggap sebagai dosa.

“Sesetengah dosa adalah jenayah. Tetapi bukan setiap dosa adalah jenayah,” kata Encik Shanmugam.

"Pendirian kami di Singapura, bagi sesuatu kelakuan menjadi jenayah, secara amnya harus ada isu yang menjejas ketenteraman awam atau kepentingan awam."

Secara amnya bukan fungsi undang-undang jenayah untuk campur tangan dalam kehidupan peribadi rakyat, tambah beliau.

Encik Shanmugam menekankan jika Seksyen 377A dimansuhkan, hanya hubungan seks sesama lelaki dewasa atas kerelaan bersama dan dilakukan secara privet, tidak dianggap sebagai jenayah.

Tambah beliau, jika dibandingkan dengan kali terakhir isu itu dibahaskan di Parlimen pada 2007, Singapura kini berada di tahap di mana masyarakat boleh menerima pemansuhan itu, tambahnya.

PERANAN MAHKAMAH

Seksyen 377A pernah dicabar beberapa kali di mahkamah atas dasar Perlembagaan.

Jika Parlimen tidak menjalankan tugasnya dan menangani undang-undang yang "kemungkinan tidak mengikut perlembagaan", ia mungkin menyebabkan mahkamah tidak mempunyai pilihan lain, kata Encik Shanmugam.

"Jika Parlimen tidak melakukan apa yang perlu ia lakukan, mahkamah akan melakukan perkara yang tidak ingin ia lakukan."

Di Singapura, mahkamah mengiktiraf bahawa Parlimen adalah tempat lebih sesuai untuk menghuraikan isu-isu masyarakat yang rumit.

Ini memandangkan isu-isu sedemikian dapat bincangkan dan dibahas secara terbuka.

Sebaliknya, jika isu sedemikian dibawa ke mahkamah untuk dihuraikan, keputusan mahkamah tidak menawarkan tolak ansur atau jalan tengah.

Beliau memberi contoh Amerika Syarikat di mana keputusan mahkamah mengenai isu sedemikian boleh menjejas teruk fabrik masyarakat dan memecah belahkan masyarakat.

Encik Shanmugam berkata amalan homoseksual kekal sebagai isu yang sangat memecahbelahkan di seluruh dunia.

"Jika kita tidak menangani perkara ini dengan berhati-hati, isu homoseksual boleh menjadi sesuatu yang sangat memecahbelahkan walaupun dalam kalangan mereka yang berkongsi kepercayaan yang sama."

Jika undang-undang dicabar di mahkamah, mereka tidak boleh mempertimbangkan norma sosial dan akibat keputusan itu terhadap masyarakat, kata Encik Shanmugam.

"Bagaimanapun di Parlimen, kami kini mencadangkan pindaan kepada Perlembagaan untuk terus melindungi perkahwinan heteroseksual."

Sebagai contoh, jika takrif perkahwinan diubah melalui cabaran mahkamah, boleh berlaku kesan susulan terhadap isu berkaitan perkahwinan sejenis, kandungan media, perumahan dan sebagainya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan