Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sudah boleh tidak berpelitup di tempat terbuka, tapi jauh lebih ramai pilih pakai pelitup

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Orang ramai menyuarakan rasa "bebas" dan "gembira" mereka kini boleh menghirup udara tanpa dihalangi pelitup.

Namun hakikatnya, jauh lebih ramai orang memilih untuk masih memakai pelitup di kawasan luar, pada hari pertama kelonggaran berkuat kuasa pada Selasa (29 Mac).

Malah pemerhatian BERITAmediacorp mendapati 90 peratus orang ramai memilih untuk terus memakai pelitup. 

SUARA LEGA ORANG RAMAI...

Setelah masuk tahun ketiga 'dirantai' oleh kewajipan memakai pelitup sebaik sahaja keluar rumah - walaupun ketika berada di tempat terbuka - hari ini suatu sejarah tercipta.

Pemandangan di mana berjalan tanpa pelitup bukan lagi suatu kesalahan, boleh kelihatan di sana sini.

"Saya gembira! Boleh bernafas udara segar," kata seorang rakyat di luar stesen MRT Jurong East. 

"Bagi saya, sudah dua tahun saya pakai pelitup agak rimas, nak bernafas pun susah. Jadi ada rasa bebas juga," jelas Encik Muhd Danish, pekerja restoran Turkish Mevlana di Kampung Gelam. 

Seorang pengunjung di Kampung Gelam, Encik Shaiful Bahri pula merungut tentang penggunaan pelitup: "Panaslah!"

"Akhirnya tidak perlu gunakan pelitup, lebih rasa lebih bebas dan saya rasa orang lain masih pakai sebab mereka juga takut dan ambil langkah berjaga-jaga," tambahnya. 

LEBIH RAMAI MASIH AMALKAN KEWASPADAAN, GUNAKAN PELITUP

Namun demikian, hakikatnya lebih ramai lagi dilihat masih memilih untuk berselindung di balik pelitup,
dan keadaan seperti itu kelihatan di serata negara.

Siang tadi, pantauan BERITAmediacorp di Kampung Gelam misalnya mendapati hanya satu daripada setiap 10 pengunjung di kawasan itu tidak berpelitup. 

Ketika ditanya mengapa mereka terus mengamalkan 'norma baru' itu, ramai yang menjawab mereka lebih suka bersikap waspada.

Encik Abdul Hakim, pengunjung di Kampung Gelam berkata: "Sebenarnya saya sudah menjadi kebiasaan, selama dua tahun gunakan pelitup, sudah kebiasaan."

"Peraturannya pun di kawasan dalam, seperti pusat beli-belah pun perlu pakai, jadi sebenarnya keluar pergi mana-mana pun perlu bawa pelitup juga," tambah Encik Hakim.  

Ibu Encik Hakim, Cik Sutini berkata: " Ikut peribadi masing-masing untuk menjaga kesihatan, menjaga supaya tidak dijangkiti virus, kita hati-hati. Jadi orang lain tidak gunakan tak mengapa, tapi untuk jaga kesihatan, kalau boleh saya pakai."

SAIZ KUMPULAN 10 ORANG: PERNIAGAAN SEMAKIN RANCAK

Berhubung kebenaran di mana orang ramai kini boleh berkumpul lebih daripada lima orang kepada maksimum 10 orang,
ia jelas dimanfaatkan orang ramai dengan sebilangan peniaga melaporkan penjualan yang semakin rancak hari ini (29 Mac).

Pemilik restoran The Malayan Council, Encik Hafiz Alkhatib berkata: "Ada peningkatan 15 hingga 25 peratus dalam penjualan."

Malah, Encik Hafiz juga sudah menjangkakan perniagaan rancak semasa bulan Ramadan nanti. 

"(Untuk bulan Ramadan) sudah ada beberapa tempahan untuk saiz kumpulan pelanggan 10 orang. Malah tempahan untuk pertengahan Ramadan pun sudah masuk, agak mengejutkan juga," kongsi Encik Hafiz. 

Salah satu perniagaan di Kampung Gelam, The Pancake Place, juga melihat penjualan hari ini semakin meningkat. 

"Kalau dibandingkan hari-hari lain, ada peningkatan penjualan sehingga 20 peratus hari ini. Untuk makan malam nanti sudah ada tempahan untuk enam orang, dan kita mengharapkan lebih ramai lagi yang akan datang," jelas Cik Noris, Penyelia restoran tersebut. 

Yang pasti, pelanggan dan peniaga kedua-duanya menghela nafas cukup lega, sedang kehidupan semakin terus kembali normal.

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan