Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sudah bersediakah badan Melayu/Islam hadapi ledakan teknologi?

Penubuhan Unit Transformasi Digital di bawah Yayasan Mendaki akan membantu memacu lagi usaha pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO) dalam menerapkan penggunaan teknologi dalam operasinya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penubuhan Unit Transformasi Digital di bawah Yayasan Mendaki akan membantu memacu lagi usaha pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO) dalam menerapkan penggunaan teknologi dalam operasinya.

Menteri Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim mengumumkan penubuhan unit baru itu sempena majlis ulang tahun Mendaki yang ke-35, malam semalam (15 Nov).

MMO yang BERITAMediacorp temui menyebut dua bidang yang sedang diterokai termasuk pengumpulan dana dan khidmat lebih cekap kepada penerima bantuan.

MENDAKI AKAN BINA KEUPAYAAN DIGITAL, JADI CONTOH BAGI MMO LAIN

Bersediakah pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam kita hadapi cabaran ledakan teknologi?

Bagaimana pula perkembangan dalam teknologi mempengaruhi cara mereka beroperasi?

Menurut Dr Yaacob, Unit Transformasi Digital Mendaki adalah sebahagian usaha badan bantu diri itu membantu masyarakat Melayu/Islam mengharungi zaman digital.

Sebagai permulaan, pelan induk ICT Mendaki itu akan mengambil masa enam bulan untuk membuat kajian tentang aspek di mana operasinya boleh menggunakan teknologi digital.

Ini akan dilakukan dengan bantuan agensi-agensi pemerintah seperti Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan GovTech.

"Mereka boleh beri penilaian apakah yang sesuai bagi pihak Mendaki untuk menggunakan teknologi, bukan semua yang dilakukan di Mendaki boleh kita gunakan teknologi. Yang lebih penting adalah proses yang kita rasa kritikal, kalau kita menggunakan teknologi itu, ia akan membawa kepada kebaikan," kata Dr Yaacob.

Mendaki juga akan membina keupayaan dan menjadi contoh kepada MMO lain.

Kursus dan seminar akan diadakan dengan IMDA dan GovTech untuk menerangkan kepada MMO lain bagaimana mereka boleh memanfaatkan teknologi dalam operasi mereka.

"Kami telahpun memikirkan beberapa perkara. Salah satunya adalah apabila kita mendapatkan dana. Itu adalah salah satu projek di mana kita akan menggunakan digital supaya kita dapat menjalankan projek itu dengan lebih baik, dengan lebih cekap," kata Encik Izzudin Taherally, Presiden 4PM.

Namun sebelum pelaksanaan dapat dilakukan, beberapa cabaran turut disuarakan.

Cik Rahayu Mohamad, Presiden Pemudi Islam Singapura (PPIS) pula berkata: "Pertama sekali pihak kami harus memikirkan apakah keperluan yang kami harus lengkapi, mungkin dari sudut kemahiran para pekerja kami. Dan juga mungkin memastikan bahawa ada satu budaya untuk kita mendakap teknologi supaya kita akan lebih baik lagi untuk memberikan khidmat kita kepada para penerima bantuan."

Menurut beliau, ini termasuk memberikan pengalaman lebih baik kepada pengguna, menerusi operasi, program dan khidmatnya.

Unit Transformasi Digital Mendaki dijangka ditubuhkan tahun depan.   

Sumber : BERITA Mediacorp/NF/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan