Sudah 6 bulan COVID-19 di S'pura: Ini pengalaman keluarga Suhaila Rahmat dan Mohamed Sofiyan
Sebelum wabak COVID-19 melanda, jadual seharian keluarga Cik Suhaila Rahmat dan suaminya Mohamad Sofiyan sangat padat.
SINGAPURA: Sebelum wabak COVID-19 melanda, jadual seharian keluarga Cik Suhaila Rahmat dan suaminya Mohamad Sofiyan sangat padat.
Mereka sekeluarga biasanya akan keluar rumah pada awal pagi dan berkumpul semula pada waktu petang.
"Suami saya adalah seorang ketua pembangunan belia dengan kelab bola sepak Tampines Rovers dan jurulatih senaman. Beliau biasanya mula bertugas seawal 7.30 pagi.
"Saya pula akan menghantarkan kedua-dua anak saya ke sekolah sebelum ke pejabat di Pasir Panjang," kata Cik Suhaila, seorang eksekutif di syarikat farmaseutikal berbilang negara, Novartis.

Kedua-dua anak mereka yang berusia enam dan lapan tahun akan ditempatkan di pusat jagaan pelajar sehingga beliau dan suami pulang dari kerja dan mereka akan makan malam bersama-sama.
PENYESUAIAN SEWAKTU TEMPOH "CIRCUIT BREAKER"
Seperti banyak keluarga yang lain, mereka terpaksa membuat banyak penyesuaian apabila arahan pemutus rantaian jangkitan atau 'Circuit Breaker' dilaksanakan. Keluarga empat beranak itu terpaksa berkongsi ruang dalam flat lima bilik mereka.
"Suami saya melakukan sesi latihan jasmani dan latihan bola sepak melalui kaedah Zoom dari ruang tamu flat kami.
"Sering kali, saya yang harus memberi beliau ruang sedang saya melakukan kerja-kerja pejabat atau bermesyuarat secara online," jelas beliau.
Cik Suhaila akur, seperti keluarga lain yang mempunyai anak-anak yang bersekolah, beliau harus juga memastikan anak-anaknya mengikuti bahan-bahan pembelajaran di rumah.
Pasangan itu juga sentiasa memikirkan cara-cara lebih kreatif untuk menghiburkan hati sedang mereka duduk sahaja di rumah.
"Keluarga kami gemar melakukan kegiatan di luar rumah seperti berbasikal dan juga berenang. Untuk hiburkan hati anak-anak, suami saya telah membeli kolam renang getah dan kami bermain air di dalam dapur!" katanya berseloroh.
RAMBANG MATA DENGAN MENU KHIDMAT PENGHANTARAN MAKANAN
Biasanya, Cik Suhaila hanya perlu menyediakan makan malam untuk keluarganya, atau mereka akan keluar makan pada hujung minggu.
"Saya menjadi buntu semasa tempoh pemutus rantaian kerana harus menyiapkan makan sebanyak tiga kali sehari. Mujur, ada khidmat penghantaran makanan seperti Deliveroo and Grab dan banyak sekali pilihan makanan yang tersedia. Kami mencuba banyak hidangan yang lazat.
"Tetapi berat badan kami suami isteri naik!" kata Cik Suhaila lagi.
UBAH GAYA HIDUP SELEPAS FASA KEDUA
Encik Sofiyan sudah boleh menyambung semula latihan bola sepak dan senaman di luar. Bagaimanapun syarikat Cik Suhaila pula meminta semua kakitangannya bekerja dari rumah sehingga akhir tahun ini, atau apabila keadaan COVID-19 menjadi bertambah baik.
Meskipun rindukan rutin dan pergaulan bersama rakan-rakan kerja, Cik Suhaila akur bahawa beliau harus membuat lebih banyak penyesuaian untuk terus bekerja dari rumah.
"Saya kini sedaya mungkin tidak memesan makanan dari luar dan menyediakan sendiri sarapan, makan tengah hari dan makan malam untuk kami. Saya juga sediakan makanan yang lebih sihat."
Suaminya juga menggalakkan Cik Suhaila untuk bersenam sebelum memulakan tugas dari rumah ataupun semasa waktu rehat.
SUAMI "RINGAN TANGAN" BANTU BUAT KERJA RUMAH
Satu lagi perubahan ketara bagi keluarga ini ialah mereka tidak lagi menggunakan khidmat pembersihan untuk rumah mereka.
Encik Sofiyan yang mempunyai jadual kerja yang lebih fleksibel kini lebih ringan tangan dengan membantu isterinya melakukan kerja-kerja rumah.
"Biasanya, semua kelas latihan saya berlangsung pada waktu pagi. Saya pulang sekitar waktu tengah hari dan sambung semula kerja pada lewat petang. Semasa tempoh 'Circuit Breaker' saya sudah biasa bantu mencuci rumah, mencuci pinggan mangkuk, sidai baju, vakum, mengemop. Jadi ia sudah menjadi kebiasaan bagi saya," kata beliau.
Menurut Encik Sofiyan lagi, dengan membantu melakukan kerja-kerja rumah, isterinya boleh menumpukan perhatian penuh pada kerja-kerja pejabat dan meluangkan masa bersama anak apabila mereka pulang dari sekolah.
"Positifnya ialah kita lebih menghargai masa bersama keluarga dan satu sama lain. Setiap masa itu adalah peluang untuk kita merapatkan lagi silaturahim antara keluarga," tambah beliau.
Beliau turut berkongsi bahawa mereka tidak lagi menggunakan khidmat pembersih setiap hujung minggu.
ANAK-ANAK JUGA LEBIH FAHAM
Pasangan itu berkata anak-anak mereka juga faham tentang peri pentingnya untuk terus menjaga kebersihan dan mengamalkan jarak selamat.
"Semasa kami duduk di rumah dalam tempoh pemutus rantaian jangkitan, kami banyak menonton siaran berita dan juga pesanan-pesanan berkaitan COVID-19 dan mereka lebih faham."
"Meskipun kami sudah boleh makan di luar atau pergi bersiar-siar, kami tetap memantau keadaan. Misalnya, sekiranya kami dapati keadaan di Taman East Coast sesak, kami akan mengajak anak-anak kami ke taman yang lebih kecil dan mereka akan faham," jelas Cik Suhaila.
TIDAK BOLEH BERCUTI DI LUAR NEGARA
Namun satu perkara yang sangat mereka harapkan adalah peluang untuk pergi makan angin, sesuatu yang mereka lakukan setiap akhir tahun.
"Perkara yang sangat kami rindukan adalah bercuti ke luar negara. Kalau kita dapat memandu keluar negeri seperti ke Malaysia pun jadilah," kata Encik Sofiyan.
Pasangan ini sudahpun membuat perancangan untuk melakukan "staycation" dan melancong dalam negeri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.