Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Subvarian Omicron tidak merebak lebih cepat dalam kanak-kanak berbanding dewasa; kes naik secara berkadar, kata pakar

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dua kematian pesakit COVID-19 di bawah usia 12 tahun dalam tempoh sebulan lalu tidak bermakna virus tersebut merebak lebih pantas atau menyebabkan kadar kematian lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak. 

Pengarah Perubatan Divisyen Jagaan Utama Fullerton Health, Dr Faizal Kassim berkata jenis virus Omicron BA4 dan BA5 yang menyebabkan sebilangan besar jangkitan COVID-19 di Singapura sekarang boleh merebak dengan cepat, tidak kira di kalangan kanak-kanak atau orang dewasa.

Namun oleh kerana varian-varian itu lebih mudah menular, jumlah kanak-kanak yang dijangkiti mungkin meningkat secara berkadar.

"Maklumat daripada seluruh dunia ia menunjukkan yang kadar kematian di kalangan kanak-kanak di bawah 12 tahun sebenarnya amat rendah. Dan juga di Singapura ini sejak mulanya COVID-19 dua tahun yang lalu kematian di kalangan kanak-kanak memang tidak kelihatan sampai sekarang," katanya.

Buat masa ini hanya kanak-kanak berusia di antara 5 hingga 11 tahun diluluskan mendapatkan vaksin di Singapura.

Kementerian Kesihatan (MOH) masih mengkaji keselamatan dan keberkesanan vaksin bagi kanak-kanak berusia enam bulan hingga 5 tahun.

"Kalau kita bandingkan kanak-kanak dengan dewasa yang divaksin atau belum divaksin, kadar jangkitan sama. Cuma mereka yang sudah divaksin itu kirakan dia punya gejala-gejala dan tahap seriusnya jangkitan itu agak terkawal, agak rendah," tambah Dr Faizal.

Konsultan Kanan daripada Perkhidmatan Penyakit Berjangkit, Jabatan Pediatrik dari Hospital Wanita dan Kanak Kanak KK (KKH), Profesor Madya Thoon Koh Cheng menggalakkkan kanak-kanak golongan usia itu cepat mendapatkan vaksinasi apabila ia disarankan di peringkat nasional.

Ini kerana, vaksin dapat melindungi mereka daripada risiko menghadapi komplikasi teruk termasuk radang paru-paru serta keradangan otot jantung, otak dan tulang belakang. 

KANAK-KANAK PERLU SEGERA DIVAKSIN APABILA DITAWARKAN

Dr Faizal yang bersetuju dengan pendapat itu juga menasihatkan keluarga dan ibu bapa untuk memainkan peranan demi melindungi anak-anak mereka dan kanak-kanak lain.

Ini termasuk menjaga kebersihan diri dengan mencuci dan menggunakan cecair pembasmi kuman, memakai pelitup apabila di luar, dan berjumpa doktor apabila sakit.

"(Ibu bapa) Jangan terburu-buru hendak menghantar anak-anak ke sekolah. Kalau dia baru hendak pulih daripada selesema, kadang-kadang mungkin ia memakan masa 5 hingga 7 hari, untuk mereka dapat cergas semula. Ini kirakan untuk jaga kesihatan anak-anak kita dan juga anak-anak yang lain yang datang ke sekolah itu," kata Dr Faizal yang turut menggalakkan istirehat yang cukup, di samping meminum air yang lebih dan mengambil vitamin C.

Beliau juga menyarankan ibu bapa untuk sentiasa menyediakan kit Ujian Pantas Antigen (ART) di rumah.

"Misal kata ada sesiapa di rumah yang ada gejala selesema, batuk, sakit tekak, jangan takut. Teruskan lakukan ART dan kanak-kanak juga. Dan kalau anak-anak kita mendapat gejala, jangan kita uji anak-anak kita sahaja, kita kena uji satu isi rumah," ujar Dr Faizal.

Ini, kata Dr Faizal adalah untuk menentukan sama ada kanak-kanak di rumah mungkin terkena jangkitan daripada salah satu anggota keluarga.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan