Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Subvarian Omicron baru XBB.1.16: Apa yang perlu anda tahu tentang Arcturus

Anggaran Waktu Membaca:
Subvarian Omicron baru XBB.1.16: Apa yang perlu anda tahu tentang Arcturus

(Gambar: Alain Jocard/AFP)

Diterbitkan : 14 Apr 2023 06:28PM Dikemas Kini : 14 Apr 2023 06:54PM
SINGAPURA: India sedang mengalami lonjakan kes COVID-19, dipercayai disebabkan subvarian Omicron XBB.1.16 yang juga dikenali sebagai Arcturus.

Saluran berita India New Delhi Television melaporkan pada Khamis (13 Apr) bahawa negara itu mencatatkan lebih 10,000 kes baru COVID-19 dalam tempoh 24 jam, iaitu 30 peratus lebih banyak daripada hari sebelumnya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini menyatakan ia sedang memantau subvarian XBB.1.16.

Berikut ialah beberapa perkara yang perlu anda tahu tentang subvarian baru COVID-19 itu:

APAKAH ITU SUBVARIAN ARCTURUS?

Arcturus – atau XBB.1.16 ialah subvarian virus Omicron yang sedang dipantau WHO "kerana ia mempunyai potensi berubah dan perlu diawasi dengan baik".

Ia pertama kali dikesan pada Januari, dan ditambahkan kepada senarai varian di bawah pemantauan WHO pada 22 Mac.

Ia adalah gabungan semula atau hibrid daripada varian BA.2.10.1 dan BA.2.75, yang merupakan keturunan daripada varian Omicron BA.2.

Terdapat kira-kira 800 penjujukan virus itu dari 22 negara, kata WHO semasa sidang media pada 29 Mac.

Kebanyakannyadari India, di mana XBB.1.16 telah menggantikan varian lain yang sedang menular.

Profilnya serupa dengan varian XBB.1.5 tetapi mempunyai mutasi tambahan dalam protein spike, yang dalam kajian makmal menunjukkan ia lebih mudah berjangkit, serta potensi menyebabkan penyakit.

Satu kajian dari Universiti Tokyo menunjukkan bahawa varian itu merebak kira-kira 1.17 hingga 1.27 kali lebih cekap daripada varian XBB.1 dan XBB.1.5, dan mencadangkan bahawa ia berpotensi merebak ke seluruh dunia dalam masa terdekat.

Keputusan ujian dari universiti itu juga menunjukkan bahawa varian tersebut "lebih berdaya tahan" terhadap pelbagai antibodi COVID-19.

"Ini adalah sesuatu yang perlu kita ambil perhatian," kata Dr Maria van Kerkhove, ketua teknikal WHO mengenai COVID-19, dalam sidang media pada 29 Mac. "Ia telah beredar di udara selama beberapa bulan."

Dr van Kerkhove menambah bahawa badan itu tidak melihat perubahan teruk dalam kalangan individu atau penduduk, tetapi menekankan bahawa "kita harus tetap berwaspada".

DI MANAKAH SUDAH ARCTURUS DIKESAN?

Subvarian Arcturus telah dikesan di lebih 20 negara lain, termasuk Singapura, India, Nepal, Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom.

Kebanyakan kes dilaporkan di Nepal dan India, yang menyaksikan lonjakan jangkitan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Di Singapura, Kementerian Kesihatan berkata gelombang jangkitan COVID-19 sekarang disebabkan oleh campuran subvarian XBB, termasuk XBB.1.5, XBB.1.9 dan XBB.1.16.

Bagaimanapun, ia menambah bahawa buat masa ini tiada bukti meningkatnya kes teruk akibat varian tersebut.
APAKAH SIMPTOM ARCTURUS DAN ADAKAH VAKSIN BERKESAN TERHADAPNYA?

Menurut Televisyen New Delhi, mereka yang dijangkiti varian Arcturus boleh mengalami gejala seperti sakit tekak, selesema, demam, keletihan, batuk, sakit kepala, sakit otot dan perut tidak selesa.

Ramai pesakit juga melaporkan kedaan di mata mata menjadi gatal dan merah atau konjunktivitis, iaitu gejala yang tidak kelihatan dalam gelombang COVID-19 sebelumnya.

WHO menyatakan laporan setakat ini tidak menunjukkan peningkatan dalam kemasukan ke hospital, ke ICU atau kematian akibat XBB.1.16.

Penolong dekan penyelidikan dan profesor bersekutu di Institut Teknologi New York, Dr Rajendram Rajnarayanan dipetik oleh majalah Fortune sebagai berkata vaksin penggalak yang menyasarkan varian Omicron seharusnya menawarkan "sedikit perlindungan jika baru mendapatkan suntikan dos baru-baru ini".

Bagaimanapun, beliau juga menarik perjhatian bahawa virus itu akan terus berubah sejak vaksin dikeluarkan tahun lepas.

BAGAIMANAKAH KEADAAN DI INDIA?

Pada Khamis, India melaporkan 10,158 kes baru - lonjakan 30 peratus daripada 7,830 kes yang dilaporkan pada hari sebelumnya - dengan kes meningkat dengan mendadak di Maharashtra dan Delhi, kata saluran berita ABP negara itu.

Ini menjadikan jumlah kes aktif kepada 44,998.

Pegawai kesihatan berkata keadaan COVID-19 di negara itu sedang menuju ke peringkat endemik dan kes jangkitan mungkin terus meningkat buat 10 hingga 12 hari akan datang.

Selepas itu ia akan reda.

Kemasukan ke hospital adalah rendah dan dijangka kekal begitu, walaupun terdapat peningkatan kes, tambah mereka.

Jangkitan akibat subvarian Arcturus meningkat daripada 21.6 peratus pada Februari kepada 35.8 peratus pada Mac, tetapi tiada insiden kemasukan ke hospital atau kematian telah dilaporkan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan