Skip to main content

Singapura

Subsidi tambahan bagi prasekolah akan dinaikkan mulai Jan 2020

Ibu bapa boleh menjangkakan yuran prasekolah yang lebih rendah mulai Januari 2020 kerana jumlah subsidi bagi semua kumpulan pendapatan yang layak akan dinaikkan, menurut Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Rabu (28 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Aug 2019 05:08PM Dikemas Kini : 28 Aug 2019 10:12PM

SINGAPURA: Ibu bapa boleh menjangkakan yuran prasekolah yang lebih rendah mulai Januari 2020 kerana jumlah subsidi bagi semua kumpulan pendapatan yang layak akan dinaikkan, menurut Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Rabu (28 Ogos).

Peningkatan subsidi itu diumumkan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong perkahwinan dan keibubapaan. Di bawah skim baru itu, keluarga dengan pendapatan kasar sekitar S$3,000 sebulan perlu membayar S$3 sebulan bagi setiap anak di pusat prasekolah pengendali utama (anchor operator), dengan subsidi tambahan maksimum akan dinaikkan dari S$400 hingga S$467.

Ini selain daripada subsidi asas bernilai S$300.

Buat masa ini, keluarga dengan pendapatan kasar S$3,000 sebulan membayar sekitar S$70 sebulan bagi setiap anak di prasekolah pengendali utama.

Keluarga dengan pendapatan kasar bulanan sebanyak S$5,000 layak mendapat subsidi tambahan maksimum sebanyak S$340 - satu penambahan sebanyak S$240.

Mereka yang mempunyai pendapatan bulanan kasar melebihi S$5,000 yang buat masa ini tidak layak mendapat subsidi tambahan, juga akan layak menerimanya.

Keluarga dengan pendapatan kasar sehingga S$8,000 sebulan akan layak menerima subsidi tambahan maksimum bernilai S$190.

Bagi keluarga dengani pendapatan kasar sebanyak S$12,000 sebulan, mereka layak mendapat subsidi tambahan maksimum bernilai S$80.

Mereka yang masih tidak dapat berbuat demikian boleh memohon bantuan kewangan seterusnya, menurut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee.

SKIM PENGENDALI UTAMA DILUASKAN

Dalam ucapannya semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan perbelanjaan tahunan Singapura sebanyak S$1 bilion bagi pendidikan awal kanak-kanak akan "meningkat lebih seganda" sepanjang beberapa tahun mendatang sebagai sebahagian usaha Pemerintah untuk menjadikan pendidikan prasekolah lebih dimampui.

Beliau turut mengumumkan had pendapatan kasar isi rumah akan dinaikkan kepada S$12,000 sebulan, berbanding S$7,500 buat masa ini untuk layak mendapatkan subsidi tambahan dan S$6,000 bagi Skim Bantuan Yuran Tadika (KiFAS).

Ini akan memperluaskan subsidi yang sudah diuji kemampuan penerimanya kepada lagi 30,000 isi rumah, atau lebih 60 peratus isi rumah di sini.

Encik Desmond Lee turut mengumumkan ECDA akan memperluaskan skim pengendali rakan kongsi bagi pengendali pusat jagaan kanak-kanak dan sebilangan tadika bermutu pada 2021 kerana tempoh pusat pengendali rakan kongsi berakhir pada 2020.

HAD YURAN DITURUNKAN

Had yuran bagi rakan kongsi pengendali jagaan kanak-kanak juga akan diturunkan mulai Januari 2021. Buat masa ini, had yuran bagi jagaan kank-kanak sepenuh hari adalah S$856 selepas GST.

Buat masa ini, terdapat lima pengendali utama dan 23 pengendali rakan kongsi. Setakat sehingga Ogos, pengendali-pengendali tersebut menguruskan 822 pusat jagaan bayi, pusat jagaan kanak-kanak dan tadika.

Encik Desmond Lee juga berkata Pemerintah merancang untuk menurunkan had yuran di prasekolah yang disokong pemerintah kepada sekitar S$300 sebulan "dalam jangka pertengahan" untuk menjadikannya setara dengan yuran sekolah rendah dengan penjagaan murid selepas sekolah.

Beliau menambah 80 peratus murid prasekolah akan mendapat tempat di pusat prasekolah yang disokong pemerintah menjelang 2025. Ini termasuk pengendali utama, rakan pengendali dan tadika MOE, yang membentuk 50 peratus tempat prasekolah sekarang.

Lebih banyak prasekolah pengendali utama akan dibina di kawasan yang mempunyai permintaan, terutama sekali di estet-estet dengan keluarga muda, tambah beliau. Ruang di kolong-kolong blok juga akan terus diperuntukkan bagi prasekolah.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita