Skip to main content

Singapura

Subsidi Skim Bantuan Pekerjaan, keistimewaan pas kerja ditarik balik jika majikan 'berselindung' tentang pemberhentian pekerja

Subsidi Skim Bantuan Pekerjaan dan keistimewaan pas kerja akan dibatalkan jika  terdapat syarikat-syarikat yang "merahsiakan pemberhentian pekerja mereka", menurut Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Khamis (4 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Jun 2020 03:23PM Dikemas Kini : 04 Jun 2020 10:48PM

SINGAPURA: Subsidi Skim Bantuan Pekerjaan dan keistimewaan pas kerja akan dibatalkan jika terdapat syarikat-syarikat yang "merahsiakan pemberhentian pekerja mereka", menurut Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo pada Khamis (4 Jun).

Pemberhentian pekerja mesti berpandukan undang-undang tenaga manusia dan para majikan mempunyai kewajipan untuk membayar faedah pemberhentian pekerja yang digariskan dalam kontrak pekerjaan atau perjanjian secara kolektif, kata Cik Teo.

"Sekalipun semasa tempoh COVID-19, tidak kira apa saja nama yang diberikan kepada pemberhentian pekerja, seseorang pekerja dianggap dibuang kerja jika majikan tidak dapat menunjukkan rancangan untuk mengisi kerja kosong dalam masa terdekat," menurut Cik Teo di Parlimen pada Khamis.

Para majikan tidak boleh "sewenang-wenangnya berbuat demikian", tegas Cik Teo.

Cik Teo berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Patrick Tay dan Joan Pereira mengenai layanan yang adil bagi para pekerja apabila mereka diberhentikan kerja atau dipotong gaji.

Menurut Cik Teo, sesetengah majikan mungkin tidak mampu membayar faedah pemberhentian kerja disebabkan oleh kedudukan kewangan masing-masing.

Beliau menekankan bahawa pemberhentian pekerja sepatutnya dijadikan sebagai ikhtiar terakhir dan syarikat-syarikat harus mengubah suai kos masing-masing. Beliau turut menarik perhatian kepada makluman berhubung cara-cara menguruskan tenaga kerja lebihan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

MOM memerlukan para majikan untuk memaklumkan kementerian tersebut mengenai langkah-langkah menjimatkan kos yang ingin dilaksanakan. Ini bagi memastikan nasihat perikatan tiga pihak dapat dilaksanakan dengan adil dan secara bertanggungjawab, menurut Cik Teo.

Sumber : CNA/NA/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita