Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Subsidi rawatan COVID-19 ditarik balik secara berperingkat sedang S'pura kembali seperti biasa

Sedang Singapura secara bertahap-tahap kembali kepada keadaan biasa dan penduduk belajar menyesuaikan diri untuk hidup dengan COVID-19, skim-skim pembiayaan rawatan yang ada kaitan dengan koronavirus akan dikemas kini.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sedang Singapura secara bertahap-tahap kembali kepada keadaan biasa dan penduduk belajar menyesuaikan diri untuk hidup dengan COVID-19, skim-skim pembiayaan rawatan yang ada kaitan dengan koronavirus akan dikemas kini.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (10 Jun).

Sebagai sebahagian daripada respons pandemik pemerintah, rawatan-rawatan COVID-19 disediakan "pada kadar yang sangat rendah atau secara percuma", jelas MOH dalam kenyataan media pasukan bertindak berbilang kementeriannya.

Ini menjangkaui sokongan jagaan kesihatan sedia ada dari segi Subsidi Pemerintah, MediSave, MediShield Hayat dan MediFund (S+3M).

"Sedang kehidupan kembali seperti biasa dan kita terus hidup dengan COVID-19 sebagai penyakit endemik, kami perlu menarik balik dasar subsidi pandemik secara bertahap-tahap, dan kembali kepada rangka kerja pembiayaan jagaan kesihatan S+3M," dedah kementerian itu.

SUBSIDI PHPC, POLIKLINIK

Sejak Februari 2020, lebih 1,000 Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) diaktifkan untuk menyediakan jagaan bersubsidi bagi para pesakit dengan gejala jangkitan pernafasan, sama ada disebabkan COVID-19 atau tidak.

Para penduduk Singapura membayar kadar bersubsidi S$10 sahaja manakala warga emas Generasi Perintis dan Generasi Merdeka dikenakan bayaran kadar lebih rendah pada S$5.

Bermula 1 Julai, subsidi di PHPC dan poliklinik bagi rawatan jangkitan pernafasan akan kembali ke paras sebelum COVID-19.

Yuran-yuran bersubsidi tidak lagi akan diberikan tetapi rakyat Singapura akan terus menerima subsidi sedia ada di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) di klinik-klinik doktor (GP) CHAS.

Ini tidak menjejas ujian pantas antigen (ART) dan ujian reaksi rantaian polimerase (PCR).

PHPC dan poliklinik akan terus menyediakan ujian swab yang dibiayai pemerintah bagi individu layak yang bergejala, secara percuma, menurut MOH.

TELEPERUBATAN BAGI INDIVIDU PROTOKOL 2

Buat masa ini, kes-kes Protokol 2 yang membuat permintaan bagi teleperubatan menikmati subsidi penuh. Kes-kes Protokol 2 adalah mereka yng mengalami gejala ringan, berisiko rendah dan menjalani pemulihan COVID-19 di rumah.

MOH menyatakan ia akan mengembalikan dasar subsidi kepada aturan sebelum COVID-19 bermula 1 Julai.

Subsidi penuh bagi teleperubatan akan dihentikan tetapi rakyat Singapura akan terus menerima subsidi CHAS jika mereka mengunjungi klinik GP CHAS bagi mendapatkan rawatan.

Individu di bawah Protokol 1 - iaitu mereka yang berisiko tinggi atau dengan simptom teruk, tetapi dibenarkan pulang untuk pulih dan di bawah pemantauan teleperubatan - akan dapat terus menikmati jagaan teleperubatan bersubsidi penuh.

PERLINDUNGAN RAWATAN DI HOSPITAL

Rakyat Singapura, penduduk tetap atau pemegang pas jangka panjang yang mendapatkan rawatan kecemasan bagi COVID-19 di jabatan-jabatan kecemasan hospital awam sekarang ini tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi jabatan kecemasan.

Ini hanya dikenakan bagi mereka yang lengkap divaksin, atau disahkan tidak layak secara perubatan bagi vaksinasi.

Bermula 1 Julai, ini tidak akan lagi dilaksanakan bagi mereka yang tidak perlu dimasukkan ke hospital selepas melawat jabatan kecemasan. MOH menyatakan langkah itu akan membantu mereka menangani permintaan bagi khidmat sedemikian.

Mereka yang dinilai perlu dimasukkan ke kemudahan rawatan COVID-19 atau hospital akan terus mendapatkan bil bersubsidi penuh oleh pemerintah bagi jabatan kecemasan, mereka yang dimasukkan ke hospital dan/atau kemudahan rawatan.

Hanya mereka yang lengkap divaskin atau disahkan tidak layak secara perubatan bagi vaksinasi, layak bagi subsidi itu.

Sebagai sebahagian daripada pemantauan COVID-19, MOH menyatakan pihaknya akan terus memantau jujukan virus yang diperkenalkan ke dalam dan menular dalam kalangan masyarakat dengan meminta sebilangan individu yang dijangkiti mengambil ujian swab PCR yang dibiayai pemerintah bagi penjujukan genom.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan