Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Subsidi pemerintah bagi perjanjian eksklusif Taylor Swift di SG "tidak setinggi" spekulasi orang ramai: Edwin Tong

Anggaran Waktu Membaca:
Subsidi pemerintah bagi perjanjian eksklusif Taylor Swift di SG "tidak setinggi" spekulasi orang ramai: Edwin Tong

(Gambar: AFP, CNA/Marcus Mark Ramos)

SINGAPURA: Apakah jumlah yang dibayar Singapura untuk menjadikan negara ini satu-satunya tempat bagi konsert Taylor Swift di rantau ini?

Ia "tidak setinggi" seperti yang dilaporkan, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong kepada Mediacorp dalam wawancara pada Jumaat (1 Mac).

Perdana Menteri Thailand Sretta Thavisin pada bulan lalu dipetik mengatakan bahawa Singapura mencapai perjanjian untuk membayar bintang pop itu sehingga AS$3 juta (S$4 juta) bagi setiap satu daripada enam pertunjukannya, sebagai pertukaran untuk menjadikan konsertnya eksklusif kepada Singapura di Asia Tenggara.

Mediacorp dimaklumkan bahawa jumlah tersebut lebih dekat dengan AS$2 juta (S$2.7 juta) daripada AS$3 juta (S$4 juta) bagi kesemua enam pertunjukan.

Pada 20 Februari, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan ia "menyokong acara tersebut menerusi geran", namun tidak mendedahkan jumlah geran itu atau syarat yang disertakan.
Pada Jumaat, Encik Tong berkata bahawa penganjur konsert tahu "apa yang dilakukan" ketika mereka memilih lokasi untuk mengadakan pertunjukan dan lokasi yang mana untuk tidak mengadakannya.

"Apa yang saya ingin katakan adalah: Jumlah yang anda lihat online, ia tidak setinggi apa yang menjadi spekulasi ramai."

Encik Tong berkata beliau akan berbicara tentang perkara itu dengan lebih lanjut di parlimen pada Isnin (4 Feb) depan.

"BUKAN SEKADAR GERAN"

"Bagi setiap penganjur, mereka membuat kira-kira sendiri,' kata Encik Tong."Mereka membuat keputusan sama ada mereka ingin datang, berapa malam mereka ingin ke sini, ke mana lagi mereka ingin pergi.

"Sebenarnya, ia bukan hanya sekadar geran atau perjanjian, tetapi pakej keseluruhan."

Beliau menambah bahawa penganjur mempunyai pengalaman dan mengetahui apa yang mereka inginkan dari segi lokasi, dan terdapat faktor yang tidak boleh dikawal Singapura.

"Saya rasa sekiranya terdapat permintaan yang kukuh, dan ia popular, maka saya ingin melihat sama ada kita boleh melanjutkan jumlah pertunjukan. Akhirnya, ia berhasil."
 
KEPUTUSAN KOMERSIL

Peminat di Asia Tenggara kecewa apabila penyanyi dan penulis lagu itu mengumumkan bahawa Singapura adalah satu-satunya perhentiannya di rantau ini.

Selepas berita mengenai perjanjian itu tersebar, seorang penggubal undang-undang di Filipina meluahkan kekecewaannya.

Wakil Dewan Rakyat Filipina Joey Salceda dilaporkan berkata bahawa "ia bukan perkara yang dilakukan jiran yang baik", dan menggesa negaranya untuk membangkang tindakan tersebut kepada kedutaan Singapura.

Encik Tong berkata, Singapura bekerja keras untuk mendapatkan perjanjian yang sesuai buat negara ini. Menteri itu menambah bahawa beliau belum bercakap dengan pihak berkuasa dari negara-negara jiran, namun berkata keputusan berkaitan konsert Taylor Swift adalah keputusan komersil.

"Kita harus melihatnya daripada sudut kepentingan Singapura dan warganya. Mengikut perkiraan kami, ia penting untuk kita mengadakan pertunjukannya di sini."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan