Skip to main content

Singapura

Suasana kurang ceria di Masjid Petempatan Melayu Sembawang tanpa pelaksanaan ibadah korban

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 27 May 2026 09:01PM Dikemas Kini : 19 Jun 2026 01:29PM
SINGAPURA: Wajah beberapa jemaah yang datang solat Aidiladha bersama anak-anak mereka kelihatan hampa, tanpa kambing hidup yang dapat mereka saksikan di hadapan mata.

Kedengaran suara anak-anak kecil yang bertanya, "Dekat dalam khemah itu tak ada kambing? Kenapa tak ada kambing? Saya nak tengok kambing!"

Ada kalangan bapa yang hadir di Masjid Petempatan Melayu Sembawang yang sempat bertanyakan wartawan di mana anak-anak mereka dapat "tengok kambing".

Sentimen di Masjid Petempatan Melayu Sembawang siang tadi (27 Mei), tanpa pelaksanaan ibadah korban, tampak kurang ceria.
Related article image
Kalangan jemaah sewaktu Khutbah Aidiladha. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)

SEMUA PERSEDIAAN SUDAH SIAP TAPI KAMBING TIADA

Khemah dan kandang-kandang untuk kambing dan ibadah korban sudahpun siap dipasang sejak tiga minggu lalu, dan para sukarelawan juga sudah dilatih di masjid itu minggu lalu.

Kedua-duanya diuruskan pihak vendor, yakni The Meat Brothers (TMB).

Masjid Petempatan Melayu Sembawang merupakan satu daripada empat masjid yang terjejas.

Menurut Naib Pengerusi Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Encik Muhammad Elias M Ibrahim, "The Meat Brothers (TMB) telah memaklumkan kami bahawa terdapat 170 peserta yang telah mendaftar bagi ibadah korban tahun ini di Masjid Petempatan."

Kambing jenis Dorper campuran dan Merino dari Perth Australia, menunggu masa untuk menaiki pesawat bagi diterbangkan masuk ke Singapura.

Namun, keizinan yang diperlukan dari pihak berkuasa Australia untuk mengeksport ke Singapura lambat diterima.

Pada 23 Mei, pihak vendor memberi kemaskini dalam bentuk sebuah hantaran Facebook bahawa mereka belum menerima keizinan mengeksport yang diperlukan dari pihak berkuasa Australia.

"Kami amat bersimpati terhadap mereka yang terjejas. Tiada vendor mahupun Sohibul Korban yang ingin insiden seperti ini berlaku. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat setempat atas kesabaran, kefahaman dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh ini," luah Encik Elias kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Jelas terpampang papan tanda bagi para sohibul korban yang mungkin masih belum tahu, akan cara menuntut bayaran bagi kambing korban yang sudah ditempah.

"Bagi mereka yang terjejas dan menghubungi masjid, kami salurkan mereka ke vendor (TMB) untuk urusan selanjutnya," jelas Encik Elias.

Pihak masjid Petempatan juga mengambil kesempatan itu untuk memberi penjelasan, terutama apabila menerima pertanyaan tentang isu tempahan korban.

"Saya nak tekankan bahawa Masjid Petempatan hanya sediakan tempat. Semua urusan komersil bagi korban termasuk proses permit dilaksanakan oleh pihak vendor. Namun, walaupun vendor yang bertanggungjawab mengurus dan melaksanakan perkhidmatan korban di sini, dan pihak masjid bersama MUIS hanya menyediakan lokasi, kami tetap komited untuk terus menyokong masyarakat, khususnya mereka yang terjejas, dalam apa jua cara sebaik mungkin," ujar Encik Elias.

Selain Masjid Petempatan Melayu Sembawang, tiga lagi masjid - Al-Firdaus, Pusara Aman dan Jamae Chulia terjejas dengan isu bekalan kambing korban kendalian The Meat Brothers.

Berita Mediacorp telah menghubungi The Meat Brothers bagi butiran lanjut.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita