Suara Rakyat dedah manifesto untuk 'kembalikan pekerjaan, CPF kepada warga S'pura'
Dengan tiga hari lagi menjelang Hari Mengundi, parti Suara Rakyat (PV) mendedahkan manifestonya, yang memperincikan lima "tugas penting untuk menjadikan Singapura tempat tinggal kita semula".
3 anggota Parti Suara Rakyat (PV) (Gambar: Louisa Tang)
SINGAPURA: Dengan tiga hari lagi menjelang Hari Mengundi, parti Suara Rakyat (PV) mendedahkan manifestonya, yang memperincikan lima "tugas penting untuk menjadikan Singapura tempat tinggal kita semula".
Parti pembangkang itu mengetengahkan 10 calon di tiga kawasan undi dalam Pilihan Raya Umum pertamanya. Salah satunya, GRC Pasir Ris-Punggol, adalah satu-satunya GRC yang menyaksikan saingan tiga penjuru.
Dalam sebuah video yang dimuat naik ke laman Facebook parti itu pada Isnin (6 Julai), ketua PV Lim Tean menyifatkan saranan pertamanya - mengembalikan pekerjaan kepada warga Singapura - sebagai "tumpuan" manifesto setebal sembilan halaman parti itu.
Beliau juga mengkritik Pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) atas cara ia menangani pandemik COVID-19, dengan kata pengantar dalam manifestonya yang menyatakan Singapura "hari ini dipimpin oleh lelaki dan wanita yang lemah dalam pemerintahan yang tidak dapat membawa negara kita ke hadapan".
“(Manifesto ini) tidak mengandung formula ajaib atau janji menggunung, tetapi usulan yang masuk akal yang meletakkan keyakinan pada bakat dan
dan kepintaran rakyat Singapura. Sudah tiba waktunya untuk menghidupkan semula semangat itu dan kebijaksanaan Singapura,” tulisnya.
Jika terpilih, Suara Rakyat ingin mengetengahkan usulan-usulan ini:
Kembalikan pekerjaan kepada warga S'pura
- Membekukan pengeluaran semua pas S baru dan mengurangkan dengan banyak jumlah pas pekerjaan untuk pekerja asing. Pas S diberikan kepada pekerja asing dengan tahap kemahiran pertengahan yang memperolehi gaji minimum $ 2,400 sebulan, manakala pas kerja diberikan kepada golongan karyawan, pengurus dan eksekutif asing dengan gaji sekurang-kurangnya $3,900 sebulan
- Menyokong pemansuhan sepenuhnya Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh India-Singapura (CECA), yang menjadi "laluan sehala bagi warga India untuk mendapatkan pekerjaan di Singapura"
- Mengajukan pelaksanaan gaji minimum yang mesti sekurang-kurangnya menampung taraf kehidupan asas di Singapura selepas potongan bagi caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF). Jumlah itu adalah sekitar S$1,379 untuk warga emas, menurut kajian oleh Universiti Nasional Singapura
Kembalikan CPF pada usia 55
- Menggesa "Pemerintah memenuhi janji asal untuk mengembalikan CPF pada usia 55 tahun"
- Menggesa agar CPF diuruskan oleh "karyawan terbaik dalam industri pengurusan dana" agar warga Singapura boleh menikmati pulangan lebih tinggi.
- Pembaharuan dasar imigresen
- Menggesa pembaharuan menyeluruh bagi dasar-dasar imigresen untuk memastikan jumlah penduduk di Singapura tidak melebihi enam juta
Kurangkan kos sara hidup dan perniagaan
- Mengajukan pembaharuan agar kos tinggi tidak melumpuhkan syarikat-syarikat kecil dan mikro
- Menggesa pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas barang-barang asas seperti makanan, khidmat perubatan, pakaian kanak-kanak, buku dan lain-lain
- Menyokong penurunan GST dari 7 kepada 5 peratus demi membantu mereka yang terjejas oleh krisis COVID-19
Perkukuh kebertanggungjawapan, ketelusan
- Memansuhkan Pilihan Raya 2017 yang "sangat tidak diyakini", yang diperuntukkan khas bagi calon Melayu dan menyebabkan Presiden Halimah Yacob menang tanpa bertanding
- Menggesa kod tatalaku yang tidak membenarkan saudara mara menteri atau pemegang jawatan politik memegang jawatan berkaitan pemerintah
- Memperjuangkan undang-undang untuk memastikan institusi seperti Pejabat Pilihan Raya dan Biro Siasatan Amalan Rasuah "bebas daripada kawalan Eksekutif"
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.