Suami tampil kata kes keguguran isteri 'mungkin tidak berlaku' di A&E NUH
Pada Khamis (31 Mac), suami wanita berkenaan - iaitu pengguna Facebook Mee Pok Tah, menulis dalam satu catatan bahawa "fakta-fakta... sudahpun diperjelaskan" selepas beberapa mesyuarat bersama pihak hospital.
SINGAPURA: Suami kepada seorang wanita hamil, yang kehilangan anak dalam kandungannya, hari ini (31 Mac) berkata keguguran itu "mungkin tidak berlaku" di Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) Hospital Universiti Nasional (NUH).
Lelaki itu memuat naik satu catatan ke Facebook pada 21 Mac lalu bahawa isterinya yang sedang sarat mengandung 36 minggu dikejarkan ke hospital kerana mengalami pendarahan. Dia mendakwa isterinya ditinggalkan tanpa pengawasan selama dua jam selepas tiba di jabatan kecemasan NUH.
Insiden itu mencetuskan permohonan maaf daripada pihak NUH.
Hari ini, suami wanita berkenaan - iaitu pengguna Facebook Mee Pok Tah, menulis dalam satu catatan bahawa "fakta-fakta... sudahpun diperjelaskan" selepas beberapa mesyuarat bersama pihak hospital.
"Pertama sekali, berhubung pendarahan yang banyak, isteri saya mengalami pendarahan yang banyak sewaktu dia berada di rumah tetapi apabila dia tiba di (jabatan kecemasan) hospital, pendarahan sudah reda tetapi tidak sehingga ke tahap darah berhenti mengalir," katanya.
Dia menambah para jururawat tidak memeriksa isterinya secara berkala.
“Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pihak hospital, kami menyedari bahawa keguguran mungkin tidak berlaku di (jabatan kecemasan) hospital," kata suami itu.
“Saya menyedari dan meminta maaf bahawa catatatn asal saya di (Facebook) sudah menimbulkan spekulasi tidak diingini dan penderaan terhadap kakitangan. Selepas pencerahan mengenai fakta-fakta itu dengan pihak hospital, saya ingin berterima kasih kepada mereka kerana menyelamatkan isteri saya."
Lelaki berkenaan menambah perkara itu "sudahpun dihuraikan" dan bahawa pasangan berkenaan tidak mahu mengulas lanjut kes tersebut.
Menurut catatan asal yang tular, wanita hamil itu dimasukkan ke NUH pada 15 Mac lalu kerana mengalami pendarahan. Lelaki itu berkata isterinya dibiarkan tanpa pengawasan selama kira-kira dua jam sebelum dia dibawa ke wad bersalin.
Para doktor kemudian memberitahu pasangan itu bahawa wanita berkenaan mengalami keguguran.
NUH meminta maaf atas insiden itu sambil menyatakan bahawa ia "seharusnya melakukan lebih banyak lagi untuk menyediakan pemantauan dan jagaan lebih rapi".
Hospital itu menambah ia akan menyemak semula prosesnya "agar insiden seumpama itu tidak akan berulang lagi".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.