Skip to main content

Singapura

Suami kerja di SG di ICU, terlibat kemalangan dalam perjalanan pulang ke JB

Anggaran Waktu Membaca:
Suami kerja di SG di ICU, terlibat kemalangan dalam perjalanan pulang ke JB

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 23 Oct 2024 11:54PM Dikemas Kini : 24 Oct 2024 01:22AM
SINGAPURA: Seorang rakyat Malaysia kini terlantar di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Universiti Nasional (NUH selepas terlibat dalam kemalangan di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE), pada Khamis.

Akif-Zarr Ukasyah Shuhaimi, 28 tahun, sedang dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru dari tempat kerja apabila digilis sebuah motosikal berkuasa besar setelah terjatuh dari motosikalnya kerana cuba mengelak daripada kemalangan lain.

Beliau yang berasal dari Kelantan dan bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat makanan dan minuman (F&B) di Bencoolen Street, baru mendirikan rumah tangga tiga minggu lepas.

Akif-Zarr mengalami kecederaan serius tulang belakang, patah tangan kiri selain pendarahan dalaman akibat kecederaan paru-paru.

Isterinya, Nur Syahirah Md Zohir yang bekerja di Kulim, Kedah berkata keluarganya diminta membayar sekurang-kurangnya 50 peratus kos rawatan di NUH sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. 

“Sebelum ini suami memang dinasihatkan untuk tidak dipindahkan kerana masih belum stabil. Hospital baru sahaja maklumkan petang tadi bahawa Akif-Zarr sudah boleh dipindahkan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di NUH pada Rabu (23 Okt).

Bil setakat 23 Okt berjumlah S$110,537.60.

Nur Syahirah yang kelihatan sugul berkata mereka sekeluarga kini runsing memikirkan bil hospital yang perlu diselesaikan.

Ibu Akif-Zarr, Ku Amazon Tuan Yusof, yang bekerja sebagai guru di sebuah sekolah negeri di Kelantan berkata mereka sekeluarga kini berulang alik dari Johor Bahru setiap hari bagi melawat anak keduanya itu.

Beliau berkata mereka kini menumpang di rumah kawan Akif-Zarr dan akan berada di hospital sehingga waktu melawat berakhir pada 8.00 malam setiap hari.

“Doktor beritahu masih ada beberapa pembedahan yang perlu dilakukan. Kami hasrat untuk buat di Johor nanti. Keutamaan kami, selesaikan bil di sini dan kemudiannya fikirkan langkah seterusnya.

“Doktor juga ada minta kami sediakan kerusi roda. Kami sekeluarga ada ikhtiar untuk jual apa yang ada namun semua tu perlukan masa, dan kami kesuntukan waktu,” katanya.

Ku Amazon berkata buat masa ini walaupun dalam keadaan yang lemah, Akif-Zarr sudah mampu berkomunikasi dengan menulis.

“Kami berterima kasih pada NUH sebab bagi rawatan selain prihatin. Pekerja sosial juga ada jumpa tanya keadaan kami. Kami juga berterima kasih pada yang telah dan akan menyumbang,” katanya.
Sumber : Bernama/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita