Suami kepada rakyat S'pura dalam ICU selepas ditembak dalam serangan Christchurch
Suami kepada seorang wanita rakyat Singapura kini dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU) di Hospital Christchurch, selepas beliau ditembak dalam serangan pengganas di Masjid Al Noor pada Jumaat (15 Mac).
Suami Cik Hamimah Ahmat kini berada di ICU di Hospital Christchurch, New Zealand. (Gambar: Aqil Haziq Mahmud)
CHRISTCHURCH: Suami kepada seorang wanita rakyat Singapura kini dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU) di Hospital Christchurch, selepas beliau ditembak dalam serangan pengganas di Masjid Al Noor pada Jumaat (15 Mac).
Cik Hamimah Ahmat berkata hari ini (18 Mac) bahawa suaminya Zekeriya Tuyan, rakyat Turki yang juga merupakan seorang penduduk tetap Singapura, berada dalam keadaan stabil namun masih "serius". Pasangan suami isteri itu berada dalam lingkungan usia 40-an tahun.
Encik Tuyan, yang masih dalam keadaan tidak sedar, dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal menyusuli serangan tersebut. Bagaimanapun selepas menjalani beberapa pembedahan, Cik Hamimah berkata, keadaannya bertambah baik sedikit pada petang Sabtu (16 Mac).
"Sejauh ini, keadaannya bertambah baik sedikit," kata Cik Hamimah kepada Mediacorp.
"Tetapi saya rasa buat masa ini, kami hanya dapat menunggu berita. Doktor-doktor sedang berusaha sedaya upaya untuk mencegah sebarang komplikasi, (lebih-lebih lagi dengan) jenis pembedahan dan luka kecederaan yang dialaminya."
Jika keadaan Encik Tuyan terus kekal stabil, Cik Hamimah berkata para doktor mungkin dapat mencabut semua wayar dan tiub dalam tempoh seminggu atau dua minggu akan datang.
Cik Hamimah cuba berada di sisi suaminya sejak beberapa hari lalu, namun ia ternyata agak sukar kerana pasangan itu mempunyai dua orang anak lelaki yang berusia empat dan sembilan tahun.
Cik Hamimah berkata, anak bongsunya tidak begitu memahami apa yang berlaku.
Anak sulungnya bagaimanapun tahu bahawa seramai 50 orang terkorban akibat serangan itu, namun tidak memahami apa yang mencetuskannya. Namun, beliau tahu bahawa bapanya terjejas dan kini "sakit".
Oleh itu, Cik Hamimah harus membahagikan masa untuk suaminya dan juga dua orang anaknya. "Saya perlu melakukannya kerana saya harus tampak berani di depan anak-anak saya yang kecil," katanya. "Saya tiada pilihan lain."
SEPATUTNYA PULANG PADA JUN INI
Kehidupan keluarga pasangan itu agak mencabar. Cik Hamimah terpaksa membesarkan dua orang anaknya secara bersendirian di Singapura, tempat beliau bertugas sebagai seorang ahli terapi pertuturan dan bahasa di sebuah hospital Pemerintah. Encik Tuyan pula ialah seorang pekerja teknologi maklumat (IT) di Christchurch.
Mereka bertemu di Singapura ketika Encik Tuyan bekerja di sini selama 10 tahun.
Cik Hamimah sebelum ini menerima biasiswa untuk meyambung pengajian ke peringkat ijazah kedoktoran di Universiti Canterbury.
Selepas selesai pengajian, beliau pulang ke Singapura kerana perlu memenuhi syarat bon biasiswanya. Ibunya yang hampir mencecah usia 90 tahun pula kurang sihat.
Encik Tuyan juga sepatutnya pulang ke Singapura, namun beliau tidak dapat mencari pekerjaan di Singapura. Oleh itu, beliau bercadang untuk terus menetap di Christchurch kerana suka dengan kerja yang dilakukan dan sedang menambah pengalaman.
"Rancangannya adalah untuk beliau pulang ke Singapura menjelang Jun ini," katanya. "Beliau rindukan saya dan anak-anak."
BIASANYA SOLAT JUMAAT DI MASJID AL NOOR
Pada sebelah pagi Jumaat (15 Mac) waktu Singapura, Cik Hamimah menghantar anak bongsunya ke pusat jagaan kanak-kanak. Pada hari itu, beliau tidak bekerja kerana mengambil cuti. Anak sulungnya pula tidak ke sekolah kerana melakukan pembelajaran secara online.
Cik Hamimah melungsuri Facebook dan ternampak catatan oleh Canterbury Muslim Trust Group.
Ketika itulah beliau mendapat tahu tentang tragedi tersebut.
"Saya tahu suami saya biasanya pergi ke masjid itu untuk melakukan solat Jumaat," katanya. "Saya cuba untuk menghubunginya tetapi beliau tidak menjawab. Beberapa kali lagi, tetapi beliau masih tidak menjawab."
Akhirnya, salah seorang rakannya yang bekerja di Hospital Christchurch menghubunginya untuk memberitahu bahawa Encik Tuyan sedang di bilik pembedahan. Cik Hamimah kemudian diminta datang ke hospital itu secepat mungkin, kerana dikhuatiri Encik Tuyan mungkin tidak dapat diselamatkan.
Sejurus selepas Cik Hamimah tiba di Christchurch pada pagi Sabtu (16 Mac) waktu tempatan, beliau terus bergegas ke hospital.
SERING BERHUBUNG MELALUI SKYPE
Meskipun mereka terpisah sejauh lebih 8,000 kilometer, Encik Tuyan sering meluangkan masa dengan anak-anaknya menerusi Skype, biasanya pada hujung minggu.
Malah Cik Hamimah membiarkan saja mereka berhubung menerusi perbualan video sepanjang hari, dan pada masa itulah, suaminya mengajar anak sulungnya membaca Quran.
Mereka juga berjumpa sebanyak dua kali setiap tahun - biasanya pada cuti sekolah pada bulan Jun dan Disember.
Kali terakhir keluarga itu bertemu adalah pada Disember 2018 apabila Encik Tuyan pulang ke Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.