Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suami isteri kes Tradenation diberkas di M'sia; diserahkan kepada SPF

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Aug 2022 07:35PM Dikemas Kini : 11 Aug 2022 11:28PM

SINGAPURA: Pasangan suami isteri yang terjebak dengan kes penipuan barangan mewah sudahpun diberkas di Malaysia dan diserahkan kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) setelah lebih lima minggu melarikan diri dari Singapura.

Pasangan tersebut yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan barangan mewah melarikan diri selepas menggelapkan berjuta-juta dolar wang mangsa mereka. 

SPF pada Khamis (11 Ogos) menyatakan bahawa pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang luar negara untuk memberkas dan membawa pulang pasangan itu ke Singapura. 

Waran tangkap dikeluarkan terhadap pasangan tersebut pada 16 Julai. 

Pada Rabu (10 Ogos), SPF menyatakan pihaknya menerima maklumat daripada Polis Diraja Thailand bahawa pasangan tersebut mungkin menginap di sebuah hotel di Johor Bahru. 

"SPF dengan pantas mendapatkan bantuan Polis Diraja Malaysia untuk mengenal pasti lokasi pasangan tersebut. Waran tangkap dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia di Johor Bahru pada Khamis (11 Ogos)," tambah SPF. 

Pasangan itu berdepan dengan tuduhan bersubahat untuk melakukan penipuan dan meninggalkan negara ini secara haram. Mereka akan didakwa di mahkamah pada Jumaat (12 Ogos). 

Warga Singapura, Pi Jiapeng diberkas buat pertama kali pada Jun kerana disyaki terbabit dalam tuduhan menipu. Pasportnya dirampas dan dia kemudian dibebaskan dengan ikat jamin. 

Isterinya, warga Thailand, Siriwipa Pansuk, juga menyerahkan pasportnya kepada pihak polis dan dia turut membantu siasatan. 

Pasangan itu bagaimanapun tidak lagi dapat dihubungi dan melarikan diri dari Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Tuas pada 4 Julai. 

Pi, 26 tahun, dan Pansuk, 27 tahun, bersembunyi dalam kompartmen kontena sebuah lori yang berdaftar di Malaysia. 

Pasangan tersebut dimasukkan ke dalam senarai notis merah Interpol pada 21 Julai. 

SPF sebelum ini mengesahkan bahawa ia sedang bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang luar negara untuk mengesan pasangan itu dan mendapatkan semula hasil jenayah mereka.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan