Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suami, isteri & anak remaja antara 88 suspek dadah diberkas

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tiga sekeluarga adalah antara 88 individu yang diberkas dalam serbuan dadah yang dilancarkan di merata Singapura, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Jumaat (13 Jan). 

Dadah terkawal yang dianggarkan bernilai lebih S$56,000 dirampas sewaktu operasi tersebut yang dijalankan antara 9 hingga 13 Januari di beberapa kawasan termasuk Chai Chee, Dover dan Lavender. 

Rampasan itu termasuk 37 gram heroin, 204 gram 'Ice', 39 gram ganja, 97 gram ketamin, 53 pil Ecstasy, 224 gram uncang minuman yang disyaki mengandungi dadah MDMA, 9 pil Erimin-5 dan dua botol cecair yang disyaki mengandungi GHB.

TIGA SEKELUARGA DIBERKAS

Pada Rabu (11 Jan), seorang lelaki, 46 tahun, dan seorang wanita, 47 tahun, diberkas di sebuah bangunan komersil di Jalan Bukit Merah kerana disyaki terbabit dengan kesalahan-kesalahan berkaitan dadah. 

Enam penyedut mengandungi kira-kira 3 gram heroin dan pelbagai peralatan dadah ditemui pada lelaki berkenaan. 

CNB kemudian menyerbu rumah wanita tersebut dan memberkas suaminya, 48 tahun, anak lelaki mereka, 18 tahun, dan seorang lelaki berusia 50 tahun. 

Sebanyak 5 gram heroin, 28 gram ganja dan sejumlah kecil dadah Ice serta pelbagai peralatan dadah dirampas dari unit berkenaan. 

Kelima-lima individu itu diuji positif bagi dadah terkawal semasa ujian air kencing. 

PAKET MINUMAN YANG DIUBAH

Pada Rabu juga, para pegawai CNB menyerbu sebuah unit kediaman di Jalan Sultan dan memberkas seorang lelaki warga Singapura berusia 52 tahun kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah. 

Sebanyak 31 gram Ice, 6 gram ganja, 30 gram ketamin, 18 pil Ecstasy, 2 gram bahan yang dipercayai adalah dadah terkawal dan pelbagai peralatan dadah ditemui di unit tersebut. 

Lelaki berkenaan dibawa ke kenderaannya yang diletak di sekitar kawasan tersebut dan kira-kira 30 gram ketamin dan 224 gram uncang minuman yang dipercayai mengandungi MDMA, dirampas. 

"Dadah membawa kesan teruk pada individu, keluarga dan masyarakat - pesalah dirampas peluang untuk menjalani kehidupan mereka sepenuhnya, hubungan musnah dan masyarakat menanggung padah yang berat akibat kesan-kesan meluas angkara penyalahgunaan dadah," menurut Superintenden Lee Pin How dalam satu kenyataan media. 

"CNB akan meneruskan usaha untuk memastikan masyarakat selamat dan bebas dadah demi rakyat dan anak-anak kita." 

Siasatan ke atas suspek-suspek yang diberkas sedang diteruskan. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan