Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Suami isteri akui jual barangan tiruan dari Cina, cuba hapuskannya bila polis tiba

Sepasang suami isteri yang memulakan satu perniagaan menjual barangan di pasaran online Qoo10, kemudian bertukar menjadi peniaga beg jenama tiruan dari China untuk meraih untung.

Anggaran Waktu Membaca:
Suami isteri akui jual barangan tiruan dari Cina, cuba hapuskannya bila polis tiba

Satu contoh senarai koleksi beg-beg Longchamp di Qoo10. (Gambar: Qoo10)

Diterbitkan : 27 Nov 2020 09:29PM Dikemas Kini : 27 Nov 2020 09:35PM

SINGAPURA: Sepasang suami isteri yang memulakan satu perniagaan menjual barangan di pasaran online Qoo10, kemudian bertukar menjadi peniaga beg jenama tiruan dari China untuk meraih untung.

Apabila polis menerima khabar tentang operasi haram itu dan mengetuk pintu pasangan tersebut, mereka membuang 20 beg jenama ke dalam tong sampah bersama produk-produk kosmetik palsu.

Li Shun, seorang warga China dan penduduk tetap Singapura yang berusia 29 tahun dan isterinya Lim Seow Seow, 35 tahun, mengaku bersalah atas pelbagai dakwaan pada Khamis (26 Nov).

Lim mengaku bersalah atas tuduhan mengganggu proses keadilan dengan menghapuskan bukti, mengimport barangan jenama tiruan untuk perdagangan dan memiliki barangan tersebut buat perdangangan.

Seperti isterinya, Li juga mengaku bersalah atas tuduhan bersubahat dengan isterinya. Ini dilakukannya dengan mengganggu proses keadilan di mana dia meminta isterinya membuang barangan tersebut. Dia juga mengimport dan memiliki barangan berjenama tiruan untuk dijual di bawah Akta Cap Dagangan. Enam dakwaan lain terhadap mereka akan diambil dalam pertimbangan semasa hukuman dijatuhkan.

Pihak mahkamah dimaklumkan bahawa Li ingin memulakan perniagaan online di Singapura untuk menambah pendapatan keluarganya pada 2013 tetapi tidak boleh melakukannya kerana dia hanyalah seorang pemegang permit kerja.

Isterinya kemudian mendapat status Penduduk Tetap Singapura dan dia menggunakan butiran-butiran isterinya untuk memulakan perniagaan. Pada mulanya, mereka menjalankan perniagaan online yang sah menjual barangan tidak berjenama. Namun, perniagaan mereka lembap.

PERNIAGAAN BERTAMBAH BAIK DENGAN BARANGAN JENAMA TIRUAN

Dari 2015, Li membawa masuk barangan berjenama palsu daripada para pembekal dari Guangzhou, China, dan menemui beg-beg Longchamp dan Kipling yang mutunya seperti di butik tetapi lebih rendah daripada yang asli.

Mereka mula menjual barangan tersebut dan perniagaan semakin berkembang maju. Ini membuatkan Li membuat tempahan dan menjual beg jenama tiruan lain. Dia mempelbagaikan perniagaannya pada Jun 2019 dan mula menjual produk kosmetik palsu.

Isterinya membantu Li untuk menjalankan perniagaan mereka dengan membuat tempahan bagi produk-produk dan menjejaki kiriman produk mereka menggunakan akaun banknya untuk tujuan pembayaran.

Pada mulanya, mereka menempah produk-produk daripada pembekalnya dua kali seminggu dan ini akan dihantar ke rumah mereka. Namun, Kastam Singapura memberitahu Li pada 1 Okt 2019 bahawa kirimannya sedang ditahan.

Selepas itu, Li menyewa tempat simpanan untuk meletak barangan palsunya bagi mengelak pengesanan. Antara 2015 hingga Okt 2019, apabila mereka ditahan, pasangan itu meraih keuntungan antara S$60,000 hingga S$70,000 dari jualan barangan palsu.

Pada pertengahan Oktober tahun lalu, pihak polis menerima maklumat risikan dari Kastam Singapura mengenai barangan yang disyaki palsu di China, yang diimport seseorang yang menyenaraikan alamat pasangan tersebut.

POLIS DATANG KETUK PINTU

Sekitar 11.30 pagi pada 16 Okt 2019, pihak polis mengetuk pintu rumah pasangan tersebut dan Lim menghubungi suaminya untuk memberitahunya yang dia tidak mengenali siapa yang berada di pintu.

Li mengesyaki pegawai Kastam Singapura tiba untuk membuat serbuan di rumah mereka. Lantas, dia menyuruh isterinya supaya tidak membuka pintu dan membuang barangan itu ke dalam tong sampah di rumah mereka.

Lim menuruti arahan suaminya dan hanya membuka pintu untuk pihak polis setelah Li pulang ke rumah. Mereka berdua kemudian mengaku kepada polis bahawa mereka sudah membuang barangan tersebut ke dalam tong sampah.

Polis menyerbu rumah pasangan itu serta kawasan-kawasan lain yang mereka gunakan untuk menyimpan barangan palsu tersebut sebelum menahan pasangan itu.

Pada keseluruhannya, mereka menemui 20 beg palsu Longchamp, Adidas atau Fila di tong sampah serta empat lagi botol produk kosmetik palsu Lancome and Estee Lauder. Ia ditutup dengan beg karung surat yang mengandungi alamat pembeli.

Mereka juga menemui 42 lagi beg tiruan berjenama seperti Marc Jacobs dan Longchamp dalam sebuah gudang di lapangan terbang, lebih 50 beg di dalam kereta mereka dan hampir 30 beg dalam sebuah kemudahan menyimpan barang.

Pada keseluruhannya, polis menemui 123 barangan tiruan yang pasangan tersebut bertujuan untuk menjual.

Pihak pendakwa meminta supaya Li dikenakan penjara enam bulan dan tambahan seminggu, manakala bagi isterinya sembilan bulan penjara.

Hakim menunda penghukumannya kepada 30 Dis bagi pihak yang dituduh untuk membayar kembali wang yang diambilnya.

Hukuman bagi mengganggu proses keadilan adalah penjara maksimum selama tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya. Hukuman sama dikenakan ke atas seseorang yang bersubahat dalam kesalahan tersebut.

Bagi kesalahan memiliki atau mengimport barangan palsu untuk dijual, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, didenda sehingga S$100,000, atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan