Skip to main content

Singapura

Suami, bapa berperanan sokong wanita capai aspirasi

Tanggungjawab menjaga keluarga dan menguruskan rumah tangga di samping membesarkan dan mendidik anak-anak bukan terletak di atas bahu kaum Hawa sahaja.

Anggaran Waktu Membaca:
Suami, bapa berperanan sokong wanita capai aspirasi

Eruandee Prayitna (kiri) dan Khalid Awang (kanan). (Gambar: Eruandee Prayitna, Khalid Awang)

Diterbitkan : 17 Jun 2021 03:56PM Dikemas Kini : 20 Jun 2021 06:23AM

SINGAPURA: 'Tangan yang mengayun buaian dapat menggoncang dunia'.

Sekalipun bersifat lemah lembut dan keibuan, kaum Hawa mampu menyumbang tenaga dan idea untuk membangunkan negara.

Namun ini hanya akan dapat dicapai dengan sokongan padu masyarakat, terutama sekali orang paling dekat dengan mereka, iaitu suami atau bapa kepada anak-anak mereka.

Lantaran itu tanggungjawab menjaga keluarga dan menguruskan rumah tangga di samping membesarkan dan mendidik anak-anak bukan terletak di atas bahu kaum Hawa sahaja.

Sebaliknya, ia perlu dipikul sama oleh kaum Adam supaya wanita dapat membina diri sebagai seorang individu berjaya bukan sekadar untuk dirinya sendiri, tetapi juga keluarga, masyarakat dan ibu pertiwi.

TIADA ISTILAH 'INI KERJA ORANG PEREMPUAN', 'INI KERJA ORANG LELAKI'

Bagi bapa kepada tiga orang anak, Khalid Awang, beliau berpegang teguh kepada prinsip “pengurusan rumah tangga adalah tanggungjawab bersama” antara suami dan isteri. Sama ada isteri memilih untuk keluar bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa, tanggungjawab itu tetap perlu digalas bersama.

Related article image
(Gambar: Khalid Awang)

Encik Khalid (berkemeja batik) bersama isteri dan tiga anaknya. (Gambar: Khalid Awang)

Di rumah Encik Khalid sendiri, tiada istilah ‘ini kerja orang perempuan’ atau ‘ini kerja orang lelaki’.

“Saya melihat kerja-kerja mengurus rumah dan keluarga bukan sebagai peranan dan tanggungjawab berdasarkan jantina. Sebaliknya, sebagai peranan dan tanggungjawab individu. Saya tidak akan kata, anak perempuan perlu cuci pinggan mangkuk. Tidak. Anak lelaki juga perlu lakukannya. Masing-masing ada peranan individu,” kata Encik Khalid yang menyara keluarganya sebagai seorang usahawan.

Sejak anak-anak beliau kecil lagi, Encik Khalid bersama isterinya, Cik Nor Raihan Jumari, sepakat untuk menjadi peran contoh terbaik kepada anak-anak mereka. Pasangan itu mengambil pendekatan saling menyokong dan hormat-menghormati antara satu sama lain dalam pelbagai aspek kehidupan mereka.

Encik Khalid bersama isteri, Nor Raihan Jumari. (Gambar: Khalid Awang)

Cik Nor Raihan adalah seorang pensyarah kanan di Institut Nasional Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Politeknik Ngee Ann.

“Isteri saya adalah faktor berpengaruh dalam keluarga saya dan ke atas anak-anak saya. Anak perempuan saya akan dapat melihat bahawa ini adalah ciri-ciri (terbaik) seorang wanita - iaitu menjadi seseorang yang boleh berjaya. Anak-anak lelaki saya pula akan tahu bahawa ini caranya melayani wanita, sepertimana saya melayani isteri saya,” ujar Encik Khalid, 53 tahun.

PERLU ANJAKAN MINDA UBAH TANGGAPAN TRADISIONAL

Encik Khalid juga percaya bahawa untuk merubah tanggapan masyarakat daripada peranan tradisional lelaki dan wanita dalam keluarga memerlukan anjakan minda.

Kaum lelaki perlu melihat kehidupan dalam rumah tangga “bukan seperti hubungan antara tuan dan khadamnya”. Sebaliknya sebagai satu kerjasama yang terjalin antara suami dan isteri, kata beliau.

Related article image
(Gambar: Khalid Awang)

Encik Khalid bersama anak perempuannya. (Gambar: Khalid Awang)

Ini bertambah penting sedang dunia berdepan dengan norma-norma baru menyusuli pandemik COVID-19.

“Dalam apa jua jenis pengurusan tugas, perancangan adalah kuncinya. Jadi, untuk menyokong para ibu dalam peranan dan tanggungjawab di rumah, kedua-dua ibu dan bapa perlu duduk berbincang dan membuat perancangan.

“Cara terbaik (untuk menyokong isteri) adalah dengan bertanya apakah bantuan yang diperlukan dan kemudian lakukannya dengan sepenuh hati, ujar Encik Khalid.

AMAL "SISTEM PERKONGSIAN" DALAM KELUARGA

Seorang lagi bapa, Encik Eruandee Prayitna, juga akur bahawa penting untuk suami isteri saling bergandingan tangan dalam pelbagai aspek rumah tangga supaya tanggungjawab itu seimbang dan tidak berat hanya pada isteri. Ini juga membolehkan para ibu untuk berehat secukupnya dan melakukan kegiatan untuk diri sendiri dari semasa ke semasa.

Related article image
(Gambar: Eruandee Prayitna)

Encik Eruandee Prayitna bersama isteri, Nooraini Md Arif. (Gambar: Eruandee Prayitna)

Keluarga Encik Eruandee juga mengamalkan “sistem perkongsian”, di mana setiap anggota keluarga berkongsi kerja-kerja rumah. Sudut dalam rumah dibahagi-bahagikan dan setiap anggota keluarga bertanggungjawab membersihkan sudut masing-masing.

Semasa anak-anaknya masih kecil, Encik Eruandee dan isteri membahagi-bahagikan tanggungjawab. Encik Eruandee menguruskan hal-hal persekolahan anak-anak, disiplin dan sebagainya.

Manakala isteri beliau, Cik Nooraini Md Arif, pula menjaga aspek kesihatan dan kebersihan di rumah selain memasak.

“Sekarang, isteri saya masih memasak tetapi kadangkala beliau akan mengajak anak-anak sama-sama membantu, khususnya pada hujung minggu, di mana kami akan makan malam sekeluarga,” kata Encik Eruandee, 47 tahun, yang bertugas sebagai Ketua Pelibatan dan Pendampingan di pusat kebapaan Dad's For Life.

BILA IBU & BAPA ADA KESEIMBANGAN, ITU PETANDA BAIK UNTUK KELUARGA

Menurut Encik Eruandee, satu lagi cabaran dalam kehidupan berkeluarga di Singapura hari ini adalah perlunya dwipendapatan. Maka itu, Dad’s For Life banyak berbincang mengenainya dalam bengkel-bengkel anjurannya.

“Para ibu mungkin mahu memberi tumpuan kepada kerjaya atau mempertingkatkan kelayakan mereka supaya dapat naik pangkat. Apabila ini berlaku, kami menggalak para bapa supaya memberi sokongan padu kepada pasangan mereka dengan memikul lebih banyak tanggungjawab dalam keluarga sepanjang tempoh tersebut.

“Apabila ibu dan bapa kedua-duanya ada keseimbangan kerja dan keluarga, ia petanda baik untuk seisi keluarga, lebih-lebih lagi bagi anak-anak,” ujar Encik Eruandee.

Related article image
(Gambar: Eruandee Prayitna)

Encik Eruandee Prayitna bersama isteri dan tiga anaknya. (Gambar: Eruandee Prayitna)

Untuk mengorak langkah ke arah itu, kaum Adam boleh mengambil beberapa langkah, kata Encik Eruandee. Ini termasuk:

  1. Secara aktif mendengar perspektif kaum wanita
  2. Mencabar dan memecahkan stereotaip jantina dan berani bersuara apabila mendengar ungkapan stereotaip terhadap wanita dan ibu
  3. Ringan tulang di rumah - pikul tanggungjawab melakukan kerja-kerja rumah dan menjaga anak-anak

“Banyak kajian mendapati anak-anak kepada bapa yang aktif atau lebih terlibat dalam keluarga dapat membesar dengan harga diri yang tinggi, kurang terjejas dengan tekanan daripada rakan-rakan sebaya, lebih bersifat belas ihsan dan memiliki tahap kognitif yang lebih cekap,” kata bapa tiga anak itu.

Related article image
(Gambar: Eruandee Prayitna)

Encik Eruandee Prayitna bersama isteri dan tiga anaknya. (Gambar: Eruandee Prayitna)

Hakikatnya, peranan yang dimainkan para suami atau bapa amat penting untuk meraikan wanita, isteri dan ibu sekali gus membolehkan mereka mencapai kejayaan dan potensi mereka yang sebenar.

SERTAI GERAKAN #CelebratingSGWomen

Di Singapura, kaum wanita juga sudah memperlihatkan kemajuan besar dengan adanya sokongan-sokongan Pemerintah serta anggota masyarakat secara amnya.

Sekalipun demikian, masih banyak yang boleh dilakukan untuk menyokong kaum wanita dari segenap lapisan masyarakat untuk mencapai aspirasi dan terus berusaha untuk memastikan undang-undang dan dasar-dasar maju seiring dengan peredaran masa.

Lungsuri go.gov.sg/CelebratingSGWomen untuk mengetahui lebih lanjut tentang gerakan yang menyokong dan meraikan wanita.

Dapatkan lebih banyak maklumat tentang tahun 2021 yang telah dikhaskan sebagai Tahun Merai Wanita SG dan ketahui bagaimana anda boleh menjadi sebahagian daripada gerakan itu.

Anda juga boleh menunjukkan sokongan kepada para wanita SG dengan mengambil bahagian dalam gerakan #MakeTheNorm. Kami mempelawa anda berkongsi kisah bagaimana anda berjaya merubah norma jantina di rumah dan/atau di tempat kerja menerusi wadah media sosial anda. Contohnya, termasuk bagaimana:

  • Anda dan pasangan saling mendukung satu sama lain untuk memainkan peranan berkongsi tanggungjawab menjaga anak dan melakukan kerja-kerja rumah,
  • Anda memastikan peluang-peluang bimbingan dan kemajuan diberikan sama rata kepada rakan-rakan sekerja wanita,
  • Anda memberi inspirasi kepada generasi masa depan untuk terus menghormati wanita dengan menganggap mereka setaraf dengan anda

Anda juga boleh ‘tag’ kawan-kawan dan rakan-rakan kerja untuk menggalak mereka mengambil bahagian dan berkongsi bagaimana mereka #MakeTheNorm dan #CelebratingSGWomen. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita