Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Struktur bangunan Tanjong Pagar runtuh: Pekerja yang maut sedang jalan di laluan luar tapak binaan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang pekerja yang maut apabila tembok konkrit di Tanjong Pagar runtuh pada 15 Jun, sedang berjalan di laluan di luar tapak binaan tersebut, menurut Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) pada Jumaat (23 Jun).

"Pada 15 Jun, sebahagian tembok di tingkat dua sebuah bangunan yang sedang dibina runtuh," menurut Majlis WSH dalam satu makluman.

"Seorang pekerja yang sedang berjalan di laluan pejalan kaki di sebelah tapak binaan tersepit di bawah tembok yang jatuh. Dia dikeluarkan dari runtuhan itu dan disahkan mati di tempak kejadian."
LANGKAH BERJAGA-JAGA YANG PATUT DIAMBIL SYARIKAT BINAAN

Dalam maklumannya, Majlis WSH menasihatkan syarikat-syarikat binaan tentang langkah berjaga-jaga yang patut diambil ketika menjalankan kerja-kerja perobohan.

Majlis itu juga menyenaraikan enam langkah yang patut dikuatkuasakan syarikat-syarikat untuk mengelak kejadian bangunan runtuh seperti di Tanjong Pagar.

Pertama, mereka harus menjalankan tinjauan terperinci sebelum perobohan dilakukan untuk menilai kestabilan bangunan dan persekitarannya sebelum sebarang kerja perobohan dimulakan. Sokongan tambahan juga harus dipasang untuk mengelakkan sebarang struktur atau komponen daripada tidak menjadi stabil ketika perobohan.

Kedua, mereka harus membuat rancangan perobohan yang memperincikan urutan perobohan serta caranya, serta mempertimbangkan sokongan struktur dan keadaan bangunan yang ingin dirobohkan.

Kesemua pekerja harus dimaklumkan tentang kenyataan kaedah dan urutan kerja yang selamat.

Ketiga, mereka harus meletakkan sistem permit untuk bekerja untuk memastikan kesemua syarat selamat bekerja dicapai.

Keempat, mereka harus menggunakan pendekatan merobohkan dinding dari atas ke bawah untuk mengurangkan kemungkinan mana-mana bahagian tembok besar daripada roboh dan menjalankan kerja-kerja dalam cara yang selamat dan terkawal yang tidak menjejas integriti struktur yang lain.

Kelima, mereka harus mengawal aktiviti-aktiviti perobohan untuk memastikan ia dijalankan menurut kenyataan kaedah secara selamat.

Akhir sekali, mereka harus mempertimbangkan untuk menghantar kontraktor perobohan, wakil perundingan dan kakitangan penyeliaan mereka menghadiri kursus dikendalikan oleh Persatuan Kontraktor Singapura Berhad, tambah majlis itu.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan