Skip to main content

Singapura

Struktur asas hab masyarakat baharu di Yishun siap dibina, dijangka dibuka pada 2027

Hab masyarakat bersepadu baharu di Yishun sudah melangkaui satu tahap pembinaan penting dengan siapnya struktur asasnya dan dijangka dibuka pada tahun depan, menurut Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada Sabtu (18 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Struktur asas hab masyarakat baharu di Yishun siap dibina, dijangka dibuka pada 2027

Bahagian luar Chong Pang City pada 18 April 2026. (Gambar: CNA/Ili Mansor)

SINGAPURA: Hab masyarakat bersepadu baharu di Yishun sudah melangkaui satu tahap pembinaan penting dengan siapnya struktur asasnya dan dijangka dibuka pada tahun depan, menurut Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada Sabtu (18 Apr).

Apabila ia siap kelak, Chong Pang City akan menempatkan sebuah kelab masyarakat, pusat penjaja dan pasar, selain kolam renang, gimnasium serta bilik-bilik aktiviti gim, taman permainan, dewan serbaguna, plaza masyarakat berbumbung dan trek berlari anak di aras atas yang berbumbung.

Ia juga akan mempunyai sebuah pasar raya, pilihan tempat makan serta ruang pendidikan dan rekreasi.

Pembangunan setinggi sembilan tingkat itu akan menyediakan kira-kira 4,200 meter persegi ruang komersial, dengan tender bagi unit-unit tersebut dijangka dibuka pada suku kedua tahun ini.

Hab masyarakat itu direka dengan ciri-ciri inklusif dan mesra warga emas, termasuk tanjakan yang boleh diakses kerusi roda di kolam renang serta bilik persalinan yang dilengkapi katil tukar yang boleh dilaraskan ketinggiannya secara elektrik.

Chong Pang City juga bakal menjadi pembangunan bersepadu pertama pemerintah yang menerima pensijilan Platinum Super Low Energy, dengan penjimatan tenaga sehingga 40 peratus berbanding bangunan konvensional.

Ciri-ciri kemampanannya termasuk panel fotovoltan dan prasarana pengecasan kenderaan elektrik. Sistem fotovoltan suria itu dijangka menjana 600,000kWh tenaga boleh diperbaharui setiap tahun, bersamaan dengan bekalan elektrik bagi sekitar 120 flat empat bilik selama setahun.

Kelengkapan cekap air dan sistem pengumpulan air hujan juga dijangka mengurangkan penggunaan air, menurut SLA.

Majlis bagi menandakan siapnya struktur utama bagi Chong Pang City disempurnakan oleh Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Sabtu. Beliau disertai Anggota Parlimen Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Nee Soon yang lain, iaitu Goh Han Yan, Jackson Lam dan Lee Hui Ying.

Encik Shanmugam berkata pembangunan itu melambangkan satu lagi fasa pembaharuan bagi kawasan tersebut, menyusuli usaha naik taraf sebelum ini pada 1990an, termasuk penambahbaikan pada muka kedai dan prasarana.

Beliau menambah bahawa sebuah gerbang dengan unsur Cina yang sebelum ini dialihkan akan dipasang semula apabila pembangunan itu siap.

"Dengan menghimpunkan kemudahan masyarakat, rekreasi dan gaya hidup dalam satu pembangunan bersepadu, para penduduk akan menikmati kemudahan yang lebih besar, akses yang lebih baik serta lebih banyak ruang untuk berinteraksi," kata Encik Shanmugam.

"Ia akan memperkukuh semangat kemasyarakatan Chong Pang yang kukuh serta menyokong keperluan penduduk lama dan keluarga baharu di kawasan tersebut."

Projek itu diterajui oleh SLA, dengan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Persatuan Rakyat dan Majlis Sukan Singapura sebagai rakan penempatan bersama.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita