Skip to main content

Singapura

Strategi nasional perlu untuk cegah perbuatan bunuh diri di SG, kata kumpulan sokongan kesihatan mental

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Sep 2024 04:48PM Dikemas Kini : 10 Sep 2024 08:44PM
SINGAPURA: Sebuah kumpulan masyarakat telah menggesa pemerintah supaya menubuhkan sebuah pejabat nasional, khusus bagi mencegah perbuatan bunuh diri di Singapura.

Pejabat nasional khas itu, katanya, perlu ditubuhkan di bawah naungan Kementerian Kesihatan (MOH).

Ia akan menyelaras semua usaha pencegahan bunuh diri dan mempunyai peruntukan kewangan khas.

Menurutnya, tadbir urus yang kukuh amat penting bagi melakar dan melaksanakan dasar-dasar untuk mencegah bunuh diri.

Penubuhan pejabat nasional itu merupakan satu daripada beberapa saranan yang terkandung dalam Kertas Putih yang menggariskan strategi-strategi bagi menangani isu bunuh diri yang semakin membimbangkan.

Diberi nama Project Hayat, Kertas Putih itu dilancarkan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia pada 10 September oleh kumpulan berasaskan masyarakat, SG Mental Health Matters, yang diketuai mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Cik Anthea Ong.

Ia akan dibentangkan kepada pemerintah pada akhir September.

Laporan tersebut disiapkan menerusi wawancara dengan para pakar, perbincangan kumpulan-kumpulan fokus dan pandangan dari 500 orang di Singapura.

Tinjauan Project Hayat mendapati bahawa lebih 80 peratus responden berpendapat, langkah mencegah bunuh diri adalah hal yang penting bagi negara.

Bagaimanapun, kurang 25 peratus responden berkata Singapura telah melakukan usaha yang mencukupi untuk mencegah bunuh diri.

Sekitar separuh responden pula tahu cara untuk mendapatkan khidmat sokongan.

Selain itu, sebahagian besar responden juga percaya lebih banyak usaha untuk mencegah bunuh diri perlu dilakukan di sekolah-sekolah dan tempat kerja.

Saranan-saranan lain dalam Kertas Putih itu termasuk pemantauan dan penilaian data serta lebih banyak latihan dan penggunaan teknologi bagi mencegah bunuh diri.
Sumber : CNA/MU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita