Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Strategi 'Healthier SG' bangkitkan isu kos, kelonggaran pilih doktor utama

Kos daripada pemeriksaan lebih kerap serta kelonggaran untuk memilih doktor utama adalah antara keprihatinan yang dibangkitan pada lewat petang Rabu (15 Jun) dalam sesi pendampingan awam mengenai strategi baru jagaan kesihatan Singapura.
 

Anggaran Waktu Membaca:
 Strategi 'Healthier SG' bangkitkan isu kos, kelonggaran pilih doktor utama

Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli bercakap kepada para peserta di sesi pendampingan awam Healthier SG pada 15 Jun 2022. (Gambar: CNA/Vanessa Lim)

SINGAPURA: Kos daripada pemeriksaan lebih kerap serta kelonggaran untuk memilih doktor utama adalah antara keprihatinan yang dibangkitan pada lewat petang Rabu (15 Jun) dalam sesi pendampingan awam mengenai strategi baru jagaan kesihatan Singapura.

Strategi yang dipanggil 'Healthier SG' itu diumumkan pada Mac semasa Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan Kementerian Kesihatan (MOH).

Ia bertujuan memberi tumpuan kepada jagaan pencegahaan, menangani cabaran penduduk yang kian menua dan menambah baik tahap kesihatan.

Penduduk akan dijemput untuk mendaftarkan diri dengan seorang doktor keluarga pilihan mereka dan mengamalkan pelan jagaan seperti pemeriksaan secara berkala.

Tiga kelompok jagaan kesihatan Singapura akan menyokong klinik swasta yang beroperasi di kawasannya dan menyepadukannya ke dalam sistem kesihatan keseluruhan, misalnya dengan membolehkan perkongsian data.

Strategi baru itu akan melibatkan perubahan ketara dari segi pendanaan di mana kelompok jagaan kesihatan akan menerima yuran yang sudahpun ditentukan terlebih dahulu bagi setiap penduduk yang tinggal di kawasan yang dikendalikannya.

Sebelum ini, MOH menyatakan ini akan menyediakan "insentif semula jadi" bagi hospital untuk berusaha memastikan para penduduk kekal sihat menerusi jagaan pencegahan.

Ketika bercakap kepada wartawan di luar sesi pendampingan awam 'Healthier SG', Menteri Kedua Kesihatan Masagos Zulkifli berkata MOH sudahpun mendampingi sekitar 500 peserta melalui lima sesi awam sejauh ini.

“Sesi pendampingan kami sejauh ini sudah membangkitkan beberapa keprihatinan...Sebagai contoh, bagaimana jika mereka sudah mempunyai seorang doktor syarikat atau (sekiranya) mereka mempunyai beberapa doktor, bagaimana mereka membuat pilihan?" kata Encik Masagos sambil menambah bahawa persoalan-persoalan tersebut akan dipertimbangkan.

“Kami boleh melihat bagaimana kami dapat merangkumkannya agar untuk kedua-dua doktor dan penduduk, mereka tahu cara yang terbaik untuk memilih doktor mereka dan bagi doktor, bagaimana untuk menguruskan pesakit yang mungkin mempunyai lebih daripada seorang doktor," ujar Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

“Kami mungkin memerlukan sebuah sistem IT yang baik supaya maklumat boleh diakses, dengan perlindungan yang mencukupi untuk keselamatannya tetapi juga pada masa yang sama, membolehkan pelbagai doktor untuk menguruskan jenis penyakit yang berbeza-beza," tambah beliau.

Dalam usaha membangunkan strategi barunya, MOH menjalankan rundingan dengan pihak berkepentingan - termasuk klinik swasta, pekerja jagaan kesihatan dan rakan kongsi masyarakat - sepanjang beberapa minggu lalu untuk mendapatkan pandangan mereka tentang bagaimana jagaan kesihatan boleh ditambah baik buat semua penduduk.

Maklum balas yang dikumpulkan daripada sesi-sesi tersebut akan dikaji dan disertakan ke dalam Kertas Putih, yang bakal dibentangkan dalam perbahasan di Parlimen pada hujung tahun ini, menurut MOH.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan