Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Store@Woodlands bantu 200 keluarga dengan barangan percuma pilihan mereka sendiri setiap bulan

Jika lazimnya para penerima bantuan akan mendapat habuan makanan yang sudah siap dibungkus dan mengambil apa sahaja kandungannya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jika lazimnya para penerima bantuan akan mendapat habuan makanan yang sudah siap dibungkus dan mengambil apa sahaja kandungannya.

Kali ini mereka boleh memilih sendiri barangan yang diperlukan dari sebuah pasar raya khas menerusi satu inisiatif baru.

Dipanggil Store@Woodlands, ia mula dibuka pada awal bulan Julai di Blok 852 Woodlands Street 83 dan memperkenalkan satu format bantuan makanan yang lebih berstruktur.

Ia untuk membantu para penduduk berpendapatan rendah dengan cara yang lebih berkesan.

Pasar raya itu menawarkan lebih 30 jenis barangan yang makanan dan minuman yang seperti sardin, biskut, teh dan banyak lagi. Keperluan lain seperti tisu serta lampin bayi dan dewasa juga ada.

Ia semua merupakan usaha terbaru yang dirintis anggota parlimen (AP) GRC Sembawang, Mariam Jaafar untuk membantu penduduknya yang berpendapatan rendah.

Menurut beliau, ia adalah usaha lanjutan kepada inisiatif bantuan makanan yang dilakukan sebelum ini dan dilaksanakan dengan cara yang lebih berkesan.

Pemilihan jenis makanan dan jenama juga diambil kira untuk memenuhi citarasa penduduk, seberapa boleh.

"Mereka (penduduk) memberitahu saya bila mereka datang dapat habuan, kadang-kadang jenama yang mereka tidak kenal dan mereka was-was sedikit. Kadang-kadang dia kata tak sedap. Saya rasa walaupun ini bantuan makanan untuk jadi betul-betul manfaat, mesti makanan yang mereka akan makan bukan?

"Kalau kita beri makanan yang mereka tak suka, akhirnya dia kena beli juga. Jadi saya rasa mesti ikhlaslah," kata Cik Mariam.

KONSEP UNIK UNTUK BERI BANTUAN DENGAN LEBIH BERKESAN

Konsepnya serupa dengan berbelanja di kedai atau pasar raya. Namun ada beberapa syarat yang dikenakan.

Setiap keluarga yang memerlukan akan diberi sekeping kad untuk digunakan selama tiga bulan.

Mereka boleh memilih sendiri dan mengambil sehingga sembilan produk setiap bulan.

Setiap produk juga dilabel dengan kod bar khusus yang menilai 'harga' sesuatu produk. Rata-rata, kebanyakan barang bernilai satu kredit kecuali barangan lebih mahal seperti lampin.

Sebuah kaunter juga disediakan, lengkap dengan sistem "pembayarannya" yang tersendiri untuk mengimbas setiap produk yang diambil.

Relawan yang bertugas kemudian akan mencatatkan kredit yang digunakan dalam kad yang diberikan.

Ini bagi memudahkan proses pengambilan barangan dan sesuai untuk semua golongan usia.

MENGAPA TIDAK DIBERI BAUCAR MEMBELI BELAH SAHAJA?

Apabila ditanya mengapa pihaknya memilih untuk mendirikan sebuah kedai fizikal berbanding dengan pemberian baucar sahaja, ini jawapan Cik Mariam:

"Kalau kita beri baucar, kita tidak tahu apa yang mereka beli tapi kalau kita buat begini, kita dapat lihat apa yang mereka suka. Jadi lain kali kalau kita nak buat pengagihan, kita tahu apa yang penduduk kita suka,"

Dengan sokongan dan sumbangan oleh para relawan, syarikat-syarikat dan badan keagamaan, projek itu dapat direalisasikan.

Ia beroperasi setiap hari Isnin dari jam 7 hingga 9 malam dan hari Ahad terakhir setiap bulan dari jam 1 hingga 3 petang. Ini kerana pasar raya itu sebenarnya sebahagian daripada ruang di pejabat PCF di blok tersebut dan hanya boleh digunakan selepas waktu pejabat. Dengan menggunakan ruang yang sedia ada, selain kos elektrikal, tiada sebarang kos tambahan yang perlu ditanggung.

Cik Mariam juga berharap usaha itu dapat membangkitkan semangat kemasyarakatan dan menjadi peluang untuk beramah mesra dengan para penduduk.

"Bila mereka datang ke pasar raya ini, kita dapat berbual sedikit, tanya khabar anaknya, anak cucu mereka. Jadi lebih rasa macam meriah, lebih macam semangat kemasyarakatan dan kampung lebih kuat." tambah Cik Mariam.

DAPAT JIMAT S$200 SEMINGGU

Inisiatif ini dijangka dapat membantu sekitar 200 keluarga memerlukan di Woodlands dan antara yang dibantu termasuklah keluarga Cik Bibah Mohd Atan, 57 tahun.

Bermula tahun ini, beliau sebelum ini menerima bantuan dalam bentuk habuan makanan selepas suaminya jatuh sakit dan tidak boleh bekerja.

Sebagai satu-satunya pencari nafkah untuk keluarga, beliau berasa sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan.

"Alhamdulillah pasal keluarga saya tujuh orang. Jadi kita dapat jimat, kalau satu minggu dalam S$200. Kalau minggu ini untuk dua minggu kita ambil habuan makanan di sini, kita dapat jimat duit mungkin untuk bayar bil (rumah) dan bil perubatan," kata Cik Bibah yang menjaga empat orang anak dan seorang warga emas di rumah.

Anak bongsunya yang berusia 21 tahun, Izz Ziyad Sharel turut menyambut baik format bantuan yang lebih berstruktur sebegitu dan memberi kebebasan untuk mereka memilih barangan yang diperlukan.

"Format ini lebih baik kerana sedang kami memilih, kami boleh lihat kandungan makanan itu. Ada yang 'health conscious' jadi kita tengok gula berapa banyak jadi kita boleh pilihlah mana yang keluarga kita perlukan dan apa yang lebih baik untuk keluarga kita," jelas Izz Ziyad.

Beliau yang sedang menuntut di sebuah politeknik tempatan turut bersyukur dan berazam untuk berbakti semula kepada masyarakat.

"Walaupun saya seorang yang sedang dibantu oleh GRC ini, saya akan datang untuk menyumbangkan masa saya sebagai cara untuk berterima kasih," tambah Izz Ziyad.

Selain datang sendiri ke pasar raya itu, BERITAmediacorp juga difahamkan penduduk yang sukar untuk ke sana atas sebab-sebab kesihatan atau keuzuran, para relawan sedia mengambil pesanan barang-barang yang diinginkan dan akan membuat penghantaran langsung ke rumah.

PENDUDUK KAWASAN LAIN JUGA 'TERPIKAT' IKUT SERTA

Sejak beliau memuat naik beberapa gambar semasa pembukaan tidak rasmi Store@Woodlands di laman Facebooknya, Cik Mariam menerima banyak kata-kata galakan dari masyarakat media sosial. Bahkan, ada penduduk di kawasan lain yang berharap dapat menerima bantuan daripada inisiatif ini. Namun, beliau menjelaskan ia hanya dibuka buat penduduk di kawasan Woodlands sahaja buat masa ini.

"Saya tahu memang setiap divisyen ada program dan inisiatifnya tersendiri. Ini cuma cara yang saya rasa selepas mempelajarinya dekat Woodlands, ini yang saya nak tubuhkan di Woodlands," jelas Cik Mariam.

Store@Woodlands itu juga akan meluaskan lagi pilihan produk selepas menerima dua peti sejuk yang disumbangkan oleh salah sebuah syarikat pembekal ayam segar.

Ini membolehkan pasar raya itu menawarkan produk makanan segar dan beku, telur dan juga sayur-sayuran.

CARA-CARA MEMBERI SUMBANGAN

Dalam pada itu, orang ramai juga boleh menyokong usaha itu dengan menyumbang dana ke lelaman give.asia/storewlds.

Setakat jam 10 malam pada Ahad (25 Jul), sebanyak S$16,388 sudahpun berjaya dikumpulkan.

Selain menderma wang, orang ramai juga boleh memberi sumbangan dalam bentuk produk makanan di tiga pusat yang ditetapkan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan