Stesen West Coast di Laluan Rentas Pulau akan mula dibina pada suku pertama 2024

Gambar: LTA
SINGAPURA: Kerja-kerja binaan bagi stesen West Coast Laluan Rentas Pulau (CRL) dijangka bermula pada suku pertama tahun depan.
Demikian menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Rabu (6 Dis).
Stesen MRT tersebut akan terletak di West Coast Road di tapak bekas Sekolah Menengah Tanglin.
"Disebabkan jarak dekatnya dengan prasarana yang sedia ada seperti bangunan perumahan dan komersil, kerja-kerja lencongan lalu lintas dan utiliti yang diperlukan akan dilaksanakan secara berfasa dalam membendung kesan tersebut terhadap para penduduk dan pihak berkepentingan yang lain," nyata LTA.
Ia menambah bahawa kerja-kerja tersebut dijangka "mencabar" disebabkan keadaan tanah di tapak itu yang bercampur, termasuk tanah liat laut lembut dan batu-bata sedimen keras.
"Bagi memastikan keselamatan dan kestabilan tanah, struktur penahan dan penstabilan bumi akan dibina sebelum penggalian dan pembinaan struktur stesen tersebut," kata pihak pengausa itu.
"LTA dan kontraktor tersebut akan memantau secara teliti kerja-kerja tersebut dan menguatkuasakan langkah-langkah mitigasi yang diperlukan demi memastikan ia siap dengan selamat dan tepat pada waktunya.

CRL merupakan laluan MRT kelapan di Singapura.
Stesen West Coast adalah sebahagian daripada Fasa 2 CRL, yang dijangka memulakan khidmat penumpang pada 2032.
Ia sebelum ini diumumkan bahawa kerja-kerja binaan bagi stesen Clementi dan King Albert Park, yang kedua-duanya merupakan stesen pertukaran di bawah Fasa 2 projek tersebut, juga akan bermula pada fasa pertama 2024.
Gamuda Berhad cawangan Singapura telah diberikan kontrak bernilai sekitar S$510 juta bagi reka bentuk dan pembinaan stesen West Coast.

LALUAN RENTAS PULAU
CRL, yang merupakan laluan bawah tanah sepenuhnya, akan menyediakan khidmat kepada pembangunan sedia ada dan akan datang di koridor timur, timur laut dan barat, sekali gus menghubungkan hab utama seperti Daerah Tasik Jurong, Daerah Digital Punggol dan kawasan Changi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.