Stesen pam bawah tanah Syed Alwi siap dibina, mampu tampung 4 kolam renang Olimpik
Kawasan Jalan Besar, yang mempunyai tanah rendah, kini dilengkapi dengan kemudahan automatik sepenuhnya yang mampu menampung sehingga empat kolam renang Olimpik ketika hujan lebat.
Stesen Pam Syed Alwi, dengan sistem pam dan pintu airnya, berfungsi sebagai penyelesaian praktikal untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan Jalan Besar dan Little India. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Agensi air kebangsaan, PUB, pada Isnin (23 Jun) mengumumkan bahawa stesen pam Syed Alwi sudah siap dibina.
Stesen pam Syed Alwi terletak di bawah tanah dan mengambil ruang sekitar 1,190 meter persegi, iaitu bersamaan satu perenam saiz padang bola sepak.
Rancangan bagi stesen itu pertama kali diumumkan pada 2021, sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh Singapura untuk menyesuaikan diri dengan keadaan hujan lebat yang semakin kerap dan ekstrem akibat perubahan iklim.
Ini merupakan stesen pam ketiga di Singapura.
Dua lagi stesen yang terletak di Poole Road dan Wimborne Road dibina pada 1990-an untuk meningkatkan daya tahan banjir di kawasan Tanjong Katong.
Rancangan awal bagi tapak di sepanjang Syed Alwi Road adalah untuk membina sebuah tangki tadahan, iaitu struktur yang menyimpan air untuk tempoh masa tertentu.
Stesen pam berfungsi secara berbeza. Ia sentiasa mengepam keluar air dan tidak menyimpannya bagi jangka masa yang panjang.
Agensi itu turut menyatakan bahawa sistem saliran di Syed Alwi Road sudah dinaik taraf pada 2014.
Paras jalan raya juga dinaikkan bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut, manakala Terusan Rochor diperluas dan didalamkan pada 2015 bagi meningkatkan kapasiti salirannya, menurut kenyataan tersebut.
Langkah-langkah meningkatkan perlindungan banjir di kawasan berhampiran termasuk Veerasamy Road, Hindoo Road dan Desker Road.
Menaik taraf infrastruktur saliran dan menaikkan paras tanah melalui pembangunan semula tidak sentiasa dapat dilaksanakan kerana ia bergantung kepada kekangan tapak serta ketersediaan tanah, kata Cik Gayathri Kalyanaraman, yang juga Timbalan Pengarah Perancangan Saliran di Jabatan Tadahan dan Saluran Air PUB.
Kawasan Jalan Besar menggambarkan cabaran tersebut, tambahnya, sambil menjelaskan bahawa saliran dan terusan di kawasan tersebut sudah dinaik taraf, namun sebarang penambahbaikan lanjut tidak akan berkesan disebabkan oleh topografi rendah kawasan itu.
“Memandangkan terdapat banyak bangunan warisan di kawasan ini, stesen pam Syed Alwi merupakan pendekatan alternatif bagi menyediakan perlindungan banjir yang mencukupi tanpa perlu membangunkan semula atau menaikkan paras tanah,” katanya.
Dua longkang di Syed Alwi Road sebelum ini mengalir terus ke Terusan Rochor. Namun, terusan tersebut turut menerima aliran dari kawasan lain.
Sekiranya berlaku hujan lebat, limpahan air boleh menyebabkan aliran balik ke dalam longkang di kawasan rendah di Jalan Besar serta sebahagian daripada kawasan Little India.
Masalah tersebut kini akan ditangani menerusi stesen pam baharu, yang dilengkapi dua pintu air yang akan ditutup bagi menghalang aliran balik.
Semasa hujan lebat, air hujan yang turun di kawasan berdekatan akan mengalir masuk ke stesen pam melalui tiga saluran masuk, mengalihkan air ribut dari hulu Terusan Rochor ke dalam tangki bawah tanah. Air tersebut akan melalui jeriji logam yang boleh menapis sisa-sisa bersaiz besar.
Apabila paras air dalam tangki mencecah 4.5 meter, stesen itu akan mula mengepam air keluar ke bahagian hilir terusan.
Stesen tersebut direka bentuk untuk disepadukan dengan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) berdekatan yang sedang dibina, dan akan turut menampilkan bumbung hijau, dataran terbuka dan dinding hijau, menurut PUB dalam kenyataan medianya.
Dalam satu ucapan prarakam yang dimainkan semasa Minggu Air Antarabangsa Singapura pada Isnin (23 Jun), Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Grace Fu, berkata bahawa usaha memperkukuh keupayaan penyesuaian dan daya tahan terhadap banjir merupakan satu “keutamaan mendesak”, dan negara sedang membangunkan pelan penyesuaian nasional bagi membimbing strategi jangka panjang.
“Banjir, kemarau dan cuaca ekstrem akan terus menguji sistem dan keteguhan kita. Namun ia juga memberi peluang untuk tindakan bersama. Bukan sahaja dengan membina hadangan banjir yang lebih kukuh, tetapi juga dengan mewujudkan sistem yang lebih bijak, masyarakat yang lebih teguh, dan menerapkan daya tahan ke dalam cara kita merancang, membina dan hidup.”
Cik Fu sebelum ini menyatakan pada Februari bahawa Singapura akan membelanjakan sekitar S$150 juta bagi projek menaik taraf saliran dalam tahun kewangan 2025, untuk memperkukuh daya tahan negara terhadap banjir susulan peningkatan risiko akibat perubahan iklim.
Ketika itu, beliau berkata bahawa PUB mengambil “pendekatan yang pelbagai” dalam usahanya meningkatkan daya tahan banjir Singapura.
Sejak 2011, pemerintah membelanjakan sekitar S$2.5 bilion untuk menaik taraf infrastruktur saliran negara, dan kini sedang meneliti semula pelan infrastruktur saliran bagi semakan seterusnya dari 2026 hingga 2030, kata menteri itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.