Skip to main content

Singapura

Stesen MRT Punggol Coast dibuka rasmi; penumpang jimat 15 minit ke pusat bandar

Stesen MRT Punggol Coast dibuka pada Selasa (10 Dis), menjadikan jumlah keseluruhan stesen MRT di Laluan Timur Laut (NEL) sejauh 22km sebanyak 17 secara keseluruhannya.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Stesen MRT Punggol Coast dibuka pada Selasa (10 Dis), menjadikan jumlah keseluruhan stesen MRT di Laluan Timur Laut (NEL) sejauh 22km sebanyak 17 secara keseluruhannya.

Majlis pelancarannya telah diadakan pada pagi Selasa (10 Dis) bagi menandakan pembukaan stesen baharu itu yang akan memulakan khidmatnya pada pukul 3.00 petang.

Stesen Punggol Coast dilengkapi dengan dua pintu masuk: satu di New Punggol Road dan satu lagi dalam kawasan Daerah Digital Punggol. Ia menyediakan lebih 300 tempat letak basikal dan berada dalam jarak berjalan kaki dari Pusat Pertukaran Bas Punggol Coast.

Semasa berucap di majlis pelancarannya pada Selasa, Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat berkata Lanjutan Laluan Rentas Pulau (CRL)-Punggol sejauh 7.3km, yang mula dibina pada 2023 dan dijangka dibuka pada akhir 2032, akan memanfaatkan pusat pertukaran bas baharu itu untuk melengkapi laluan rel tambahan di Stesen MRT Punggol.

Ini telah disediakan lebih awal, sebelum siapnya Laluan Timur Laut (NEL) lebih 20 tahun lalu, kata Encik Chee.

“Fakta ini mungkin tidak begitu diketahui umum, tetapi … ia menunjukkan perancangan jangka panjang yang diusahakan di sebalik pembangunan infrastruktur pengangkutan kita.

“Matlamatnya adalah untuk menawarkan pilihan pada masa akan datang kerana di Singapura, kita bukan sahaja mengambil berat tentang generasi sekarang tetapi juga generasi akan datang, supaya apabila tiba masanya, kita boleh merangka ketersambungan antara NEL dan CRL dengan lebih mudah,” katanya.

“Beginilah, sepanjang dekad yang lalu, pemerintah telah membina infrastruktur Singapura secara progresif dan sistematik – kami melaksanakan rancangan kami untuk generasi hari ini, sambil sentiasa mengambil kira pembangunan seterusnya untuk anak dan cucu kita,” tambah Encik Chee.

“Kami melakukan ini untuk pembangunan infrastruktur; kami juga berbuat demikian apabila melindungi rizab kami dan bersedia menghadapi cabaran masa depan
seperti perubahan iklim.”

Semasa menyampaikan ucapannya, Encik Chee turut menarik perhatian kepada projek-projek yang sedang dijalankan termasuk CRL, yang akan dibuka secara berperingkat mulai 2030, dan kerja-kerja berterusan untuk menghubungkan semua stesen MRT di Laluan Circle pada separuh pertama 2026.

“Projek-projek ini mencerminkan kepercayaan dan komitmen teguh kami kepada rakyat Singapura bahawa pengangkutan awam yang mudah diakses penting untuk ketersambungan yang dipertingkatkan dan bandar-bandar yang lebih sesuai untuk didiami,” katanya.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan pada Oktober bahawa penumpang yang melakukan perjalanan dari Punggol North ke Outram Park akan mengambil masa kira-kira 45 minit di Laluan Timur Laut (NEL) berbanding sekitar 60 minit sebelum pembukaan stesen baharu itu.

Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras Keselamatan Negara Teo Chee Hean, yang turut menghadiri majlis pelancaran itu, berkata stesen baharu itu meningkatkan ketersambungan Punggol dan menjadikan bandar itu lebih bertenaga.

"Para penduduk kami yang tinggal di sekitar stesen baharu itu akan menikmati penjimatan masa 15 minit bagi setiap perjalanan apabila melakukan perjalanan ke destinasi-destinasi di Laluan Timur Laut (NEL) seperti Orchard Road dan Outram Park," katanya.

Encik Teo, yang juga Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol berkata beberapa bas yang beroperasi di bandar itu telah memperluaskan laluan dan meningkatkan kapasiti. Perkhidmatan bas baharu juga telah diperkenalkan.

“Semua ketersambungan yang lebih baik ini akan memberi manfaat kepada para penduduk kami, dan menyokong Taman Perniagaan JTC dan kampus baharu SIT, memberi manfaat kepada pekerja dan pelajar juga,” katanya.

"Selain manfaat kepada penumpang, pasukan reka bentuk LTA turut mengambil perhatian khusus untuk menjadikan stesen itu sebagai nadi pengangkutan yang bertenaga yang akan memikat lebih ramai orang," katanya.

"Kami mempunyai plaza masyarakat berbumbung di atas stesen MRT dan ini akan menyemarakkan lagi suasana."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita