Skip to main content

Singapura

Stesen MRT Loyang di Laluan Rentas Pulau mula dibina suku keempat

Kerja-kerja pembinaan stesen MRT Loyang di Laluan Rentas Pulau dijangka bermula pada suku keempat tahun ini, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (13 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Stesen MRT Loyang di Laluan Rentas Pulau mula dibina suku keempat

(Gambar: LTA)

Diterbitkan : 13 Sep 2021 05:38PM Dikemas Kini : 13 Sep 2021 06:02PM

SINGAPURA: Kerja-kerja pembinaan stesen MRT Loyang di Laluan Rentas Pulau dijangka bermula pada suku keempat tahun ini, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (13 Sep).

Khidmat penumpang di stesen tersebut pula dijadual bermula pada 2030.

Stesen bawah tanah itu akan ditempatkan di Loyang Avenue di mana terdapat banyak jajaran paip perbekalan dipasang di bawah jalan raya, tambah LTA. "Beberapa lencongan trafik" perlu dijalankan untuk menyusun semula paip-paip tersebut.

Apabila siap nanti, stesen Loyang dapat menjimatkan masa perjalanan antara Kawasan Perindustrian Loyang dan Hougang, sebanyak 35 minit kepada 20 minit, kata LTA.

Masa perjalanan antara Kawasan Perindustrian Loyang dan Serangoon North, pula dikurangkan sebanyak 50 minit kepada 25 minit.

KEADAAN TANAH YANG MENCABAR

LTA menyatakan bahawa ia menjangkakan "struktur memantapkan tanah" dan kerja-kerja penggalian bagi stesen Loyang akan dijalankan dengan keadaan amat "mencabar". Ini kerana keadaan batu di kawasan itu selalunya lebih lembut di tempat ia bertukar dari "aluvium lama" yang secara amnya lembut dan granit Bukit Timah yang keras.

Maka itu, jentera khas diperlukan untuk menjalankan kerja-kerja penggalian, jelas LTA.

"LTA dan pihak kontraktor akan memantau kerja-kerja tersebut secara teliti bagi memastikan ia dilakukan dengan selamat dan mengurangkan sebarang gangguan," tambah penguasa itu.

Related article image
(Gambar: LTA)

(Gambar: LTA)

JEJAMBAT LOYANG

Kerja-kerja pembinaan juga akan melibatkan sebahagian Jejambat Loyang dibangunkan merentasi di bahagian atas stesen Loyang.

Ia sebahagian daripada penambahbaikan infrastruktur pengangkutan sepanjang Koridor Utara Changi, menurut LTA. Jejambat pengangkutan itu terletak di Loyang Avenue, antara Ekspreswe Tampines dan Loyang Way.

Penghadang bunyi bising akan dipasang pada jejambat untuk mengurangkan kesan bunyi trafik kepada kawasan penduduk berhampiran, kongsi LTA lagi.

"Sesudah siap nanti, penduduk dan pemandu di Changi boleh menjangkakan lebih banyak kemudahan, masa perjalanan lebih singkat dan ketersambungan dalam dan antara bandar yang lebih baik," tambah LTA.

Related article image
(Gambar: LTA)

(Gambar: LTA)

Kontrak bernilai S$748 juta bagi reka bentuk dan pembinaan stesen Loyang dan terowong serta sebahagian Jejambat Loyang diberi kepada syarikat usaha sama Woh Hup-Dongah Geological Engineering.
Woh Hup juga terlibat dalam pembinaan stesen-stesen Tanjong Katong dan Bayshore di Laluan Thomson-East Coast, tambah penguasa tersebut.

Dongah pula sedang membangunkan stesen Great World di Laluan Thomson-East Coast dan diberi kontrak bagi reka bentuk dan pembinaan stesen Pasir Ris di Laluan Rentas Pulau.

Fasa pertama Laluan Rentas Pulau sepanjang 29 kilometer akan mempunyai 12 stesen dari Aviation Park hingga Bright Hill.

Ia akan memanfaatkan lebih 100,000 isi rumah di kawasan-kawasan perumahan dan perindustrian seperti Loyang, Tampines, Pasir Ris, Defu, Hougang, Serangoon North dan Ang Mo Kio.

Ruang riadah seperti Taman Pantai Changi dan Taman Bishan-Ang Mo Kio juga akan lebih mudah dikunjungi dengan menggunakan pengangkutan awam.

Laluan Rentas Pulau bakal menjadi laluan MRT Singapura yang kelapan.

Ia akan memenuhi keperluan pembangunan sedia ada dan akan datang di koridor timur, timur laut dan barat, yang menghubungkan hab-hab utama seperti Daerah Tasik Jurong, Daerah Digital Punggol dan kawasan Changi.

Hampir separuh stesennya akan dijadikan pusat pertukaran bagi laluan-laluan lain.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita