Skip to main content

Singapura

Stesen MRT Canberra dibuka pada Sabtu

Stesen MRT Canberra, stesen terbaru Singapura, akan mula beroperasi pada Sabtu (2 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Stesen MRT Canberra dibuka pada Sabtu

Stesen MRT Canberra mula beroperasi pada 2 Nov 2019 (Gambar: Rauf Khan)

Diterbitkan : 01 Nov 2019 06:07PM Dikemas Kini : 01 Nov 2019 06:14PM

SINGAPURA: Stesen MRT Canberra, stesen terbaru Singapura, akan mula beroperasi pada Sabtu (2 Nov).

Terletak antara stesen Yishun dengan Sembawang, Canberra adalah stesen MRT ke-27 dibina sepanjang Laluan Utara-Selatan (NSL).

Ia dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan bagi penduduk kawasan itu sehingga 10 minit untuk ke bandar atau Jurong East. Terdapat lebih 17,000 keluarga dalam jarak 10 minit berjalan kaki dari stesen tersebut.

Dibina oleh syarikat China State Construction Engineering Corporation dengan belanja S$90 juta, reka bentuk stesen oleh syarikat senibina DP Architects menyerupai sebuah kapal sebagai memperingati warisan sejarah maritim kawasan itu.

Pada awal kurun ke-20, kawasan tersebut menempatkan Pangkalan Tentera Laut Singapura, yang kemudian menjadi Limbungan Kapal Sembawang pada 1968 selepas Singapura merdeka.

Ciri-ciri unik lain stesen itu termasuk jambatan yang membolehkan para penumpang terus sampai ke bahagian platform kereta api.

Ia merupakan yang pertama seumpamanya bagi sebuah stesen kereta api di atas permukaan tanah.

Awal tahun ini, landasan lintas sepanjang 72 meter dibina antara stesen Sembawang dan Canberra. Ini membolehkan kereta api melintas antara landasan jika perlu, misalnya jika berlakunya sebarang kerosakan.

STESEN KEDUA DIBINA PADA LANDASAN SEDIA ADA

Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan hadir bagi upacara pembukaan stesen Canberra pada Jumaat.

Encik Khaw, yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Sembawang, berkata rancangan bagi stesen terbaru itu - stesen MRT ke-139 di Singapura - wujud sejak beberapa tahun lalu.

Namun menurut beliau, ia tidak dibina sehingga terdapat projek perumahan dengan "jumlah mencukupi" di kawasan berdekatan.

"Oleh kerana setiap laluan MRT adalah pelaburan berbilion dolar, kita mengambil pendekatan konservatif dan berhemat," kata beliau.

Ini dilakukan untuk mengelakkan stesen itu daripada kurang dimanfaatkan dan menelan kos operasi yang tinggi, kata Encik Khaw. Beliau menambah, pihak berkuasa mempunyai "tanggungjawab berat" untuk mengurangkan beban kewangan ke atas penumpang dan pembayar cukai.

Beliau turut menarik perhatian Canberra adalah stesen MRT pertama dianugerahkan rating Platinum di bawah Tanda Hijau oleh Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) bagi kategori Stesen Transit.

Ciri-ciri mesra alam stesen baru itu - seperti penghawa dingin dan sistem cahaya jimat tenaga - membantu kurangkan kos operasi stesen dan mengekalkan harga tambang yang dimampui, kata beliau.

Canberra adalah stesen kedua dibina atas laluan MRT sedia ada. Stesen pertama sedemikian, Dover, dibina sepanjang Laluan Timur Barat (EWL) pada 2001.

Pada Mei, dua lagi stesen diumumkan akan dibina sepanjang NSL menjelang pertengahan tahun-tahun 2030-an.

Stesen Brickland akan dibina antara stesen Choa Chu Kang dengan Bukit Gombak, untuk kegunaan penduduk di kawasan Keat Hong, Bukit Batok West dan kawasan Brickland yang sedang dibina di Tengah.

Stesen kedua, Sungei Kadut, akan dibina antara stesen Yew Tee dengan Kranji. Ia akan menjadi stesen pertukaran ke Laluan Downtown dan dimanfaatkan seiring pembangunan kawasan perusahaan di kawasan Sungei Kadut.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita