Skip to main content

Singapura

Stesen minyak SG pelbagaikan tawaran demi penuhi keperluan pemandu EV, pelanggan lain

Stesen-stesen minyak di Singapura mempelbagaikan tawaran mereka bukan sahaja untuk menarik para pemandu, tetapi juga pelanggan lain yang mengunjungi stesen minyak dan penduduk yang tinggal berdekatan.
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Nov 2025 07:07PM Dikemas Kini : 17 Nov 2025 05:54PM
SINGAPURA: Stesen-stesen minyak di Singapura mempelbagaikan tawaran mereka bukan sahaja untuk menarik para pemandu, tetapi juga pelanggan lain yang mengunjungi stesen minyak dan penduduk yang tinggal berdekatan.

Para pengendali berkata strategi itu membolehkan mereka bersiap sedia bagi menghadapi peralihan ke kenderaan elektrik (EV), apabila para pemandu dijangka meluangkan lebih masa di stesen-stesen minyak sementara mengecas kenderaan mereka.

Di stesen minyak Cnergy di Dunman Road di Katong, yang dibuka pada bulan lalu, sebuah mural yang memaparkan rumah-rumah kedai warisan di Joo Chiat memberi penghargaan kepada warisan Peranakan di kawasan itu.

Terdapat rancangan untuk mengubah satu sudut stesen itu - yang kini menempatkan mesin layan diri minuman dan snek - kepada gerai makanan kecil-kecilan yang menyajikan masakan Peranakan pada awal tahun depan.

Pemilik Cnergy adalah Union Gas Holdings, yang menceburi perniagaan stesen minyak pada 2009 dengan sebuah kios di Old Toh Tuck Road.

CEO syarikat itu Teo Hark Piang berkata matlamat bagi stesen-stesennya adalah supaya ia selari dengan masyarakat setempat.

“Ia bergantung kepada jenis perkhidmatan yang disediakan di stesen minyak anda. Seperti di stesen minyak kami (di Katong), kami memberi tumpuan terutamanya kepada makanan dan minuman,” katanya.

“Ia bukan hanya untuk para pemandu ... kami juga melihat peningkatan dalam jumlah pelanggan lain yang berkunjung dan penduduk berdekatan yang datang untuk membeli makanan dan minuman.”

Kedua-dua stesen minyak Cnergy dilengkapi dengan empat pengecas pantas EV.

Syarikat itu merancang untuk membuka lagi dua stesen minyak - di Queensway menjelang 2026 dan di Marsiling menjelang 2027.

Pengecas jenis arus terus (DC) pantas lazimnya boleh mengecas bateri EV ke paras 80 peratus dalam masa kira-kira 30 minit.

EV merangkumi kira-kira empat daripada setiap 10 pendaftaran kereta baharu pada separuh pertama 2025, meningkat 63 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.

Singapura akan menghentikan pendaftaran kenderaan petrol baharu menjelang 2030 dan menyasarkan populasi kenderaan tenaga bersih sepenuhnya menjelang 2040.

MENCIPTA SEMULA ‘PERHENTIAN PIT’

Di cawangan Shell di Telok Blangah, sebuah “pod gim” membolehkan para pelanggan untuk bersenam sementara menunggu.

Menurut pihak pengendali, kemudahan itu adalah yang pertama seumpamanya di sebueah stesen minyak di Singapura.

Shell sudah pun memasang alat pengecas EV di 28 daripada 56 stesennya — dan lebih banyak akan ditambah — bagi memenuhi keperluan pengguna kenderaan elektrik yang semakin meningkat.

Encik Doong Shiwen, pengurus besar Shell bagi bahagian mobiliti dan kemudahan di Singapura berkata syarikat itu mendapati para pemandu EV sering menunggu tanpa berbuat apa-apa di stesen semasa kenderaan mereka dicas.

“Mereka bertanya kepada kami: ‘Bolehkah anda sediakan sesuatu untuk saya lakukan sementara menunggu?’” kata beliau.

Syarikat tenaga itu sebelum ini memperkenalkan restoran pandu lalu McDonald’s, satu kerjasama dengan pasaran wain Vivino, serta pelbagai konsep "pop-up" sebagai sebahagian daripada usaha untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada para pelanggan.

Encik Doong berkata aktiviti seperti " kedai pop-up" membantu menambah “sedikit keceriaan” ke stesen-stesen berkenaan, sambil merujuk kepada sebuah inisiatif Hari Kebangsaan baru-baru ini yang menampilkan sebuah kedai ais krim tradisional.

Beliau menambah bahawa usaha sedemikian juga merupakan satu cara untuk menyokong perniagaan tempatan.

POTENSI SEBAGAI RUANG MASYARAKAT

Profesor Madya Walter Theseira dari Sekolah Perniagaan, Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS), berkata peralihan daripada petrol kepada EV akan berlaku secara berperingkat, memberi masa kepada para pengusaha stesen untuk menyesuaikan diri dan mencari cara baharu untuk kekal relevan.

Beliau menjelaskan bahawa model perniagaan stesen minyak sejak dahulu lagi bergantung kepada jualan perkhidmatan tambahan dan kemudahan selain bahan api.

Para pengendali juga sedang mempelbagaikan sumber pendapatan mereka terutama sekali dengan jualan bahan api yang merosot akibat penggunaan kenderaan yang lebih cekap tenaga.

“Margin keuntungan daripada perkhidmatan tambahan ini selalunya lebih tinggi berbanding jualan petrol itu sendiri,” kata beliau.

Apabila jualan bahan api merosot, para pengendali yang gagal menyesuaikan diri mungkin terpaksa gulung tikar.

Memandangkan banyak stesen minyak terletak di kawasan kediaman utama, tapak tersebut berpotensi besar dapat diubah suai bagi kegunaan masyarkat, kata Profesor Madya Theseira.

Namun, menukar stesen minyak menjadi sebuah stesen pengecas EV sepenuhnya mungkin tidak realistik bagi Singapura, kerana kemudahan sedemikian biasanya lebih praktikal bagi perjalanan jarak jauh seperti di lebuh raya Malaysia, tambahnya.

“Idea untuk mempunyai hab pengecasan EV (khusus) tidak begitu praktikal. Di Singapura, para pengguna lebih gemar membawa kenderaan mereka ke pusat beli-belah, sambungkan pengecas, kemudian pergi makan atau menyelesaikan urusan mereka,” kata beliau.

Menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), terdapat kira-kira 180 stesen minyak di seluruh negara.

URA memaklumkan bahawa rancangan masa depan bagi tapak-tapak tersebut akan mengambil kira keperluan guna tanah yang semakin berkembang, termasuk peningkatan penggunaan EV di Singapura.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita