Stesen LRT Teck Lee akan tingkatkan ketersambungan dengan kampus SIT di Punggol
Stesen LRT Teck Lee akan dibuka untuk mempertingkatkan ketersambungan pengangkutan awam di Punggol, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Selasa (7 Mei), sekitar 19 tahun selepas stesen itu dibina.
Bersama dengan perubahan pada laluan bas, peningkatan pada pengangkutan awam akan memudahkan perjalanan para mahasiswa ke kampus baharu Institut Teknologi Singapura (SIT) yang ditempatkan di Punggol, serta "pihak-pihak berkepentingan yang lain", kata LTA.
LTA bagaimanapun tidak mendedahkan bila stesen itu akan dibuka, tetapi berkata butiran lanjut akan diumumkan apabila ia dimuktamadkan kelak.
Sungguhpun demikian, terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa stesen itu mungkin akan dibuka menjelang hujung tahun ini, tepat pada masanya untuk menyediakan khidmat kepada para mahasiswa yang akan berpindah ke kampus baharu itu.
Catatan di laman SIT pada minggu lalu menyatakan bahawa stesen LRT itu akan mula beroperasi pada Ogos, bersama dengan Stesen MRT Punggol Coast di Laluan Timur Laut menjelang hujung tahun ini.
Para pengguna Reddit menarik perhatian bahawa SIT telah menggugurkan Stesen LRT Teck Lee dari lamannya, sekali gus mencetuskan tanda tanya bila stesen itu akan dibuka.
Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, jurucakap SIT berkata: "Maklumat mengenai Stesen LRT Teck Lee digugurkan kerana butirannya belum lagi dimuktamadkan."
Namun, jurucakap itu berkata kampus SIT di Punggol akan "dilengkapi dengan pilihan pengangkutan bas awam dan kereta api apabila tahun akademik bermula pada September".
SIT akan berpindah ke kampus Punggol secara berperingkat mulai separuh kedua tahun ini, menurut jurucakap tersebut.
Stesen Teck Lee telah dibangunkan sejak sistem LRT Punggol dibuka pada 2005. Ia adalah satu-satunya stesen di laluan LRT itu yang belum lagi dibuka kepada orang ramai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.