Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Stesen Kereta Api Bukit Timah dibuka semula selepas dibaik pulih

Stesen Kereta Api itu adalah sebahagian daripada ruang baru seluas 4.3 hektar untuk masyarakat dan terletak sekitar pertengahan Koridor Kereta Api sepanjang 24 kilometer (km) yang dibuka rasmi hari ini (1 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
 Stesen Kereta Api Bukit Timah dibuka semula selepas dibaik pulih

Bangunan stesen kereta api yang dipulihara di nadi masyarakat baru Stesen Kereta Api Bukit Timah. (Gambar: URA)

SINGAPURA: Stesen Kereta Api Bukit Timah yang bersejarah sudahpun dibuka semula setelah menjalani kerja-kerja pemulihan.

Ia masih lagi menampilkan platform dan landasan kereta api asal seperti mana keadaannya 11 tahun yang lalu apabila tanah kereta api itu dipulangkan kepada Singapura.

Stesen Kereta Api itu adalah sebahagian daripada ruang baru seluas 4.3 hektar untuk masyarakat dan terletak sekitar pertengahan Koridor Kereta Api sepanjang 24 kilometer (km) yang dibuka rasmi hari ini (1 Jul).

Disifatkan sebagai nadi masyarakat oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Lembaga Taman Negara (NParks), ruang tersebut merangkumi Stesen Kereta Api dan Kuarters Kakitangan Kereta Api "yang dipulihkan dengan penuh kepekaan" serta juga kemudahan, kebun dan kawasan halaman berumput yang baru ditambah di pekarangannya.

“Tepat 11 tahun yang lalu pada tanggal hari ini, bekas tanah kereta api di mana kami berpijak sekarang sudahpun dipulangkan kepada Singapura, memberikan kami peluang luar biasa untuk membayangkan semula bagaimana untuk memanfaatkan tanah sepanjang 24km yang tidak tergangggu ini, dari Woodlands di bahagian utara hinggalah ke Tanjong Pagar di bahagian selatan," kata Menteri Pembangunan Negara merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial Desmond Lee di pelancaran nadi masyarakat tersebut.

“Sejak dari itu, kami sudahpun bekerjasama secara meluas sepanjang beberapa tahun lamanya dengan warga Singapura dari semua latar belakang untuk merancang dengan teliti dan mempertingkatkan Koridor Kereta Api supaya ia menjadi sebuah tempat yang boleh dinikmati setiap orang."

Tema berulang yang bangkit daripada sesi-sesi pendampingan bersama kumpulan pihak berkepentingan berbeza dan masyarakat lebih meluas adalah "untuk mengekalkan serta meningkatkan bangunan dan warisan asal Koridor Kereta Api itu," menurut agensi-agensi tersebut dalam kenyataan media bersama.

MERCU TANDA WARISAN DIPULIHKAN PENUH PEKA

Dibina pada 1932 dan merupakan salah satu daripada dua stesen kereta api sedia ada di Singapura, bangunan Stesen Kereta Api Bukit Timah mengekalkan ciri-ciri asalnya.

Bangunan itu, bersama ciri-ciri utama seni bina dan kereta apinya, sudahpun diubah tujuannya untuk menjadi sebuah galeri warisan bagi para pelawat mempelajari tentang sejarahnya serta sejarah Koridor Kereta Api, menurut URA dan NParks.

Ciri-ciri bangunan tersebut yang dipulihkan termasuk tuil penukaran landasan, pondok tiket dan bahkan replika gambar rajah isyarat di dalam bilik isyarat di mana pegawai bertanggungjawab ke atas stesne dahulunya mengawal lalu lintas kereta api.

Di bahagian depan bangunan itu, pelawat akan mendapati isyarat stesen, tiang token dan replika gerabak kereta api yang pernah melalui landasan stesen kereta api tersebut.

Sementara itu, Kuarters Kakitangan Kereta Api yang dipulihara, iaitu bekas blok perumahan kakitangan, juga diubah untuk menjadi sebuah kafe dengan membawakan suasana desa yang menyenangkan. Kafe itu dijadual dibuka kepada umum mulai awal Julai, menurut URA dan Nparks.

URA juga memulihkan ciri-ciri seni bina utama bangunan tersebut dan menambah tanjakan untuk "menjadikan bangunan-bangunan lebih mudah diakses kerana rumah-rumah pada masa lalu biasanya dinaikkan setapak atas tanah untuk mencegah banjir daripada berlaku tatkala hujan lebat," jelas agensi-agensi tersebut.


REKA BENTUK LEBIH INKLUSIF

URA dan NParks menarik perhatian sesi pendampingan itu juga mendapati masyarakat awam mahu Koridor Kereta Api itu menjadi sebuah "ruang yang lebih mudah diakses kepada pelawat dari semua peringkat usia dan dengan pelbagai keupayaan".

Maka itu, untuk menjadikan tapak itu lebih inklusif bagi pengguna yang berbeza-beza, jalan raya dan laluan akses yang lama dibina semua bagi tujuan keselamatan serta "mudah diakses tanpa hadangan".

Pekarangan yang dipulihkan itu juga memanfaatkan penggunaan reka bentuk pencahayaan yang sensitif untuk "membolehkan pelawat menikmati dan menghargai nadi masyarakat tersebut dengan selamat pada sebelah malam sementara mengekalkan persekitaran yang sesuai bagi haiwan yang aktif ketika waktu malam.

Namun, hanya dua bangunan dipulihara itu dan laluan berjalan kaki serta tempat duduk dinyalakan dengan lampu. Laluan Koridor Kereta Api utama bagaimanapun tidak akan diterangi pencahayaan pada waktu malam.

KEBUN BARU, SETEM PERINGATAN

Nadi masyarakat Stesen Kereta Api Bukit Timah juga akan meliputi dua kebun baru - Kebun Kampung serta Kebun Herba dan Rempah-ratus. Ini di samping menyediakan sebuah halaman masyarakat dan sebuah halaman acara.

Sempena memperingati pembukaannya, NParks berganding bahu dengan Singapore Post (SingPost) untuk melancarkan satu keluaran setem bagi memaparkan Koridor Kereta Api yang diperbaharui itu.

PENINGKATAN PADA KORIDOR KERETA API

Di pembukaan nadi masyarakat itu, Encik Lee juga mengumumkan laluan dipertingkat antara Hillview dengan Kranji akan dibuka menjelang hujung 2022. Menjelang 2023 pula, akan terdapat laluan akses, tempat berteduh dan tandas yang baru di sepanjang laluan tersebut.

Menjelang pertengahan 2023, sebuah jambatan pejalan kaki yang baru akan dibina merentasi Hillview Road bagi "keterhubungan yang lancar" antara pusat beli-belah Rail Mall dengan Hillview Road.

Bahagian Koridor Kereta Api itu akan turut meliputi "laluan akses" dan sebuah dek pencerapan dengan pemandangan Bukit Timah Hill, tambah Encik Lee.

Dua tempat akses baru juga akan diperkenalkan, tambah beliau.

“Yang pertama adalah 9 Mile Platform, terletak di antara Rail Mall dengan jambatan kekuda Upper Bukit Timah, yang akan siap menjelang hujung tahun ini," kata Encik Lee.

“Yang kedua adalah nadi masyarakat Buona Vista di taman perniagaan one-north, yang akan siap menjelang hujung 2023. Ia akan disepadukan dengan pembangunan kegunaan bercampur sains bioperubatan di kawasan tersebut."

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan