Stesen Hume kini dibuka kepada orang ramai
Stesen Hume dibuka kepada orang ramai pada Jumaat (28 Feb) selepas para penduduk "bersabar dan bertahan" lebih sedekad lamanya, kata Cik Low Yen Ling.

Lukisan stesen MRT Hume di Laluan Downtown (Gambar: LTA)
Bercakap semasa majlis pembukaannya, beliau berkata apabila Laluan Downtown pertama kali dibina, tiada stesen MRT dirancang untuk kawasan itu, dan stesen Hume merupakan "stesen kosong" yang hanya ada struktur.
"Sekalipun demikian, kesabaran dan permintaan tidak putus asa daripada penduduk kita dari 2021 hingga 2019 berhasil mengubah fikiran pihak berkuasa," kata Cik Low, yang merupakan Anggota Parlimen bagi kawasan yang terletak di bawah GRC Chua Chu Kang.
Beliau, yang juga Datuk Bandar Daerah Barat Daya, turut menzahirkan rasa berterima kasih kepada pelbagai kumpulan di Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), yang mendengar permintaan beliau menerusi debat-debat di parlimen sejak 2012.
Pada Mac 2019, MOT dan LTA mengumumkan bahawa stesen MRT Hume akan dibina, kata beliau.
Beliau menambah kawasan Hume bukan sekadar tempat tinggal bagi para penduduk yang jumlahnya kian meningkat, tetapi juga ada sejarah penting dan potensi untuk tumbuh.
Cik Low menambah, pembukaan stesen itu mungkin tidak akan berlaku tanpa mereka yang bekerja di sebalik pembinaannya.
Kerja-kerja mula dijalankan pada Januari 2021, dan Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat mengumumkan bulan lalu bahawa stesen tersebut akan dibuka lebih awal daripada yang dijadualkan.
Beliau berkata untuk mengelak gangguan dan atas sebab-sebab keselamatan, pekerja pembinaan terpaksa menangani banyak cabaran seperti bekerja pada waktu-waktu kerja biasa selepas khidmat MRT dihentikan, dari pukul 1.30 pagi hingga 4.30 pagi.
APA YANG PENDUDUK BOLEH JANGKAKAN?
Stesen Hume dibuka pada pukul 3.00 petang pada Jumaat (28 Feb).
Apabila Mediacorp tiba di stesen itu, SBS Transit, menyerahkan model kereta api mini diperbuat daripada kertas kepada para pengunjung.
Stesen Hume ada dua pintu masuk: Satu berdepan dengan Upper Bukit Timah Road dan satu lagi menghadap Hume Avenue.
Laluan berbumbung bagi pejalan kaki juga ada untuk memberi akses ke perhentian bas berdekatan, selain tempat perhentian untuk kereta-kereta mengambil dan menurunkan penumpang.
Bagi mengayuh basikal, stesen itu menyediakan 60 tempat meletak basikal berdekatan pintu masuknya.
Ciri-ciri mudah akses yang disediakan termasuk cermin dalam lif untuk membantu pengguna kerusi roda apabila mereka mengundur, selain butang lif yang diletakkan di tempat yang mudah dicapai.
Stesen itu dianugerahi sijil Emas Tanda Hijau BCA bagi ciri-cirinya yang mesra alam sekitar, seperti panel solar, lampu cekap tenaga dan sistem penyejuk hibrid.
Dengan siapnya stesen Hume, DTL kini ada sebanyak 35 stesen yang sedang beroperasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.